Skip to main
Logo Malaysiakini

Sektor kreatif terima dana RM1.4 juta melalui geran ArtsFAS Yayasan Hasanah

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Yayasan Hasanah hari ini mengumumkan bahawa ia akan memberi dana sejumlah RM1.4 juta kepada 21 organisasi seni, budaya dan warisan melalui inisiatif seni Arts for All Seasons atau Seni Sepanjang Musim (ArtsFAS) bagi menggiatkan semula ekonomi sektor kreatif.

Kira-kira 1,355 pengamal seni, budaya dan warisan dijangka akan menerima manfaat melalui program julung-julung kali ArtsFAS ini, membolehkan peluang ekonomi dipertingkatkan di samping memberikan sebuah penghayatan kesenian dan kebudayaan buat rakyat Malaysia.

Sebanyak 31 persembahan, produksi teater, bengkel, forum akademik, pameran, webinar, persembahan berkumpulan, sesi perbincangan dan pelbagai acara lain akan diadakan di Kuala Lumpur, Sabah, Pulau Pinang, Melaka dan Langkawi antara Oktober dan Disember, menjanjikan satu pengalaman yang mempesonakan untuk setiap lapisan masyarakat.

Konsert Ulang Tahun ke-20 HANDS 2017, Angin Nomad di Lambang Sari, Istana Budaya

Hands Percussion dan Sutra Foundation adalah antara tarikan utama ArtsFAS, manakala "Hikayat Si Miskin Menjadi Raja", sebuah Bangsawan oleh Rahman B dari The Actors Studio akan menjadi persembahan istimewa di bawah barisan program ArtsFAS yang amat dinantikan.

"Acara kesenian tidak seharusnya terhenti walaupun adanya pandemik. Berikutan dengan itu, kami ingin mengajak seramai mungkin rakyat Malaysia untuk menyokong dan menghargai warisan seni dan budaya kita, dan pada masa yang sama menyokong komuniti artis yang merupakan barisan hadapan kebudayaan kita, melalui ArtsFAS," kata Dato' Shahira Ahmed Bazari, Pengarah Urusan Yayasan Hasanah.

Menurut Dato' Shahira, ArtsFAS akan merangkumi bentuk kesenian komuniti dan dari pelbagai daerah yang disasarkan untuk memelihara ekspresi kreatif tradisional. "Ini adalah ruang untuk memberi penghormatan kepada pelbagai seni, warisan dan budaya moden dan tradisional," ujar beliau, sambil menambah bahawa, "melalui teknologi, pertukaran pengetahuan serta acara umum, kita boleh menggalakkan kesedaran dan pendidikan yang lebih meluas mengenai bentuk seni yang berbeza di Malaysia - terutamanya bagi memberi inspirasi kepada generasi muda." Turut dirancang adalah sesi perbincangan ilmiah dan webinar akademik tentang cabang kreatif dan kebudayaan.

“Kami gembira dapat bekerjasama dalam membantu artis-artis dan pengamal seni tempatan untuk meneruskan projek mereka pasca pandemik. Kami berharap bahawa industri kreatif akan terus menerima sambutan, latihan dan sokongan geran dalam pelbagai bentuk di bawah Rancangan Malaysia ke-12, memandangkan sektor ini memainkan peranan penting dalam perjalanan kita ke arah pemulihan," kata Dato' Shahira.

Pengarah Urusan Yayasan Hasanah - Dato Shahira Ahmed Bazari

Beliau menambah bahawa Yayasan Hasanah akan bekerjasama rapat dengan beberapa rakan kongsi sewaktu tempoh ini, untuk menggiatkan semula sektor kreatif.

Awal tahun ini, Yayasan Hasanah mengumumkan ia akan memberi sokongan kepada organisasi terpilih untuk menerima pendanaan projek sehingga RM250,00 melalui ArtsFAS, di mana 129 permohonan telahpun diterima. Geran ini membolehkan para artis menjalankan projek mereka, di samping menyediakan ruang tambahan untuk mempersembahkan bakat kreatif dan hasil kerja mereka melalui tayangan perdana online, strim langsung interaktif, serta acara di ruang fizikal.

ArtsFAS akan melancarkan portal webnya yang baharu, menghubungkan 21 penggiat seni dengan masyarakat awam agar lebih ramai akan hadir untuk menyaksikan pertunjukan seni yang bakal berlangsung. Jadual untuk semua persembahan, pameran, forum dan tayangan bakal didapati secara online.

“Sejak tahun lepas lagi, kami telah bersiap sedia untuk kembali membuat persembahan. Oleh itu, kami amat berterima kasih atas inisiatif oleh Yayasan Hasanah ini melalui ArtsFAS dalam menyediakan platform untuk kami mengetengahkan persembahan kami untuk tontonan rakyat Malaysia. Seni kami ini memasukkan unsur budaya tempatan dan memupuk kerjasama dalam kalangan artis dan ahli muzik kami yang berbilang kaum bagi melahirkan sebuah gabungan irama - dan inilah maksud Malaysia yang bersatu-padu,"

jelas Bernard Goh, pengasas Hands Percussion, sebuah kumpulan genderang Malaysia yang terkenal.

Untuk maklumat lanjut, sila lawati laman Facebook dan Instagram Yayasan Hasanah. Sila muat turun gambar dan video di sini.


Kandungan ini disediakan oleh Yayasan Hasanah.

Berminat untuk menyiarkan pengumuman anda di Malaysiakini? Hubungi kami di [email protected] atau WhatsApp di talian +60 17-323 0707 untuk sebarang pertanyaan.