Membuat keputusan lebih baik bersama Dia (dan bukan untuk dia)
Hari ini, di bawah sepanduk “Membuat keputusan lebih baik bersama Dia (dan bukan untuk dia)” (“Together, making better decisions with Her (and not for her)”), Cancer Research Malaysia (CRMY) dan Roche (Malaysia) Sdn Bhd berganding bahu menganjurkan kempen bagi meningkatkan kesedaran umum bahawa keputusan rawatan kanser pada hari ini tidak hanya bergantung pada nasihat doktor kepada pesakit, sebaliknya melibatkan para doktor, pesakit dan insan tersayang bagi mencapai hasil rawatan yang lebih positif. Sebahagian daripada kempen berkenaan, CRMY melancarkan dua Buku Bantuan Untuk Membuat Keputusan untuk penghidap kanser payu dara bagi membantu mereka membuat keputusan rawatan bersama doktor masing-masing.
Kanser yang juga digelar “The Big C” adalah satu ayat yang amat digeruni. Apabila wanita didiagnosis kanser payu dara, mereka sering kali berhadapan dengan rasa bingung, takut dan bimbang. Ramai yang berasa keliru dengan bahasa yang digunakan serta bagaimana untuk membuat keputusan berkenaan rawatan yang sesuai. Mereka sering kali meminta pandangan doktor, keluarga dan rakan-rakan untuk membuat keputusan dan ada kalanya, ketakutan terhadap rawatan kemoterapi dan berasaskan hospital akan menyebabkan individu terlibat untuk mendapatkan rawatan yang dianggap semulajadi tetapi hakikatnya mungkin tidak memberikan sebarang kesan.
“Terdapat pelbagai kemajuan dalam rawatan kanser payu dara dan kita bukan lagi di dalam situasi yang mana kesemua pesakit akan mendapat rawatan yang sama. Kajian kami di Malaysia mendapati para pesakit sering bingung dan memerlukan bantuan bagi memahami pilihan rawatan yang tersedia,” kata Prof Datin Paduka Dr. Teo Soo Hwang, Ketua Pegawai Sains CRMY.
“Kajian kami telah dijalankan sejak 3 tahun lalu dengan menemuramah pesakit di seluruh negara serta merangkumi semua latar belakang sosioekonomi. Hasilnya, tercipta Buku Bantuan Untuk Membuat Keputusan Kanser Payudara yang kini disediakan dalam pelbagai bahasa tempatan,” tambah Prof Lee Ping Yein, seorang pakar penjagaan kesihatan dan ketua penulis salah satu daripada dua buku bantuan berkenaan.
“Terdapat perkembangan signifikan dalam terapi yang disediakan, dan kini, tidak semua pesakit mendapat rawatan yang sama. Empat contoh signifikan adalah (1) pesakit kanser payu dara HER2 mungkin memerlukan kemoterapi sebelum pembedahan, (2) ada pesakit yang memerlukan ujian genetik tambahan untuk menilai sama ada mereka memerlukan kemoterapi, sementara (3) pesakit positif reseptor hormon mungkin memerlukan rawatan hormon dan tiada kemoterapi. Manakala (4) sesetengah individu yang mewarisi gen BRCA mungkin memerlukan terapi baharu yang mensasarkan fungsi gen terubah. Tetapi memahami bahasa perubatan mungkin sukar bagi sesetengah pihak, itu sebabnya Buku Bantuan yang bertujuan untuk menyediakan maklumat seimbang dalam format mudah difahami boleh menjadi sumber penting kepada pesakit di negara ini,” tambah Prof Madya Dr Adlinda Alip, Pakar Onkologi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan pakar dalam pasukan pembangunan buku bantuan berkenaan.
Buku bantuan berkenaan menyediakan maklumat tambahan yang menyokong maklumat yang disediakan para doktor. “Ia adalah sumber yang dibangunkan oleh pakar-pakar dalam pelbagai bidang, daripada doktor dalam kepakaran berbeza hingga ke jururawat dan pemandu arah. Mereka memberi tumpuan dalam membantu pesakit mengenal pasti perkara-perkara penting buat diri pesakit, dan dengan tahap kesedaran yang lebih tinggi, pesakit dapat membuat pilihan rawatan yang paling bersesuaian,” kata Prof Dr Nur Aishah Mohd Taib, Pakar Pembedahan Payu Dara di PPUM dan juga pakar dalam pembangunan buku bantuan tersebut.
“Pesakit juga terlibat dalam usaha mencipta Buku Bantuan Untuk Membuat Keputusan ini dan hasilnya, ia dapat memberikan maklumat jelas yang berfokus pada pesakit dan bukan sahaja daripada aspek perubatan. Ia juga memberi struktur untuk mengenal pasti matlamat rawatan individu,” tambah Dr Sylvia McCarthy, Pengarah Perubatan HOSPIS Malaysia dan salah seorang pakar dalam pasukan pembangunan Buku Bantuan tersebut.
Pada majlis pelancaran Buku Bantuan ini yang diadakan baru-baru ini, melibatkan organisasi-organisasi berkaitan pesakit, pasukan tersebut telah mengadakan satu tinjauan untuk memahami corak pesakit membuat keputusan sepanjang pengalaman penyakit mereka - daripada peringkat diagnosis sehingga rawatan. Daripada tinjauan 34 peserta, 94% merasakan adalah penting untuk memperkasakan pesakit agar mereka boleh membuat keputusan mengenai rawatan yang dikehendaki. Tinjauan itu turut mendedahkan bahawa pada masa ini, pakar perubatan (47%) merupakan pengaruh terbesar dalam membantu pesakit membuat keputusan, manakala 32% memaklumkan pesakit, doktor, penjaga dan komuniti mempunyai pengaruh dalam membolehkan mereka membuat keputusan rawatan. Responden juga mengenal pasti tiga bidang penting dalam mengemudi perjalanan kesihatan mereka: untuk mempunyai pemahaman yang lebih baik terhadap pilihan rawatan yang tersedia, sokongan kewangan dan mempunyai individu yang membantu membimbing pesakit dalam langkah seterusnya dalam setiap peringkat, daripada diagnosis sehingga rawatan. “Kami merasakan semua penemuan ini amat relevan dan seiring dengan objektif majlis kami hari ini,” tambah Prof Datin Paduka Dr Teo.
Potensi buku bantuan tersebut disokong oleh ramai pengamal perubatan lain termasuk Dr Natasha Mohd Hashim, Pakar Klinikal dan Onkologi Radiasi serta Prof Madya See Mee-Hoong, Pakar Bedah Onkoplastik, yang memaklumkan bahawa pendekatan Pasukan Pelbagai Disiplin (MDT) adalah kunci bagi merumus keputusan bersama kerana kejayaan rawatan terhadap kanser payu dara mungkin memerlukan pelbagai bentuk rawatan seperti pembedahan, radioterapi, kemoterapi dan terapi bersasar, selain memberikan pertimbangan berbeza terhadap aspek-aspek berkaitan seperti pemulihan dan sokongan emosi.
“Buku bantuan ini akan memberikan manfaat besar kepada doktor-doktor yang merawat serta pesakit yang perlu melalui pelbagai pendekatan bagi menangani penyakit tersebut dan membuat keputusan terhadap strategi terbaik yang perlu diambil. Sebagai contoh, dalam penyakit positif HER2, memberikan rawatan kemoterapi bersama anti-HER2 sebelum pembedahan adalah pilihan yang lebih baik kerana ia menggalakkan respons yang lebih positif dan mempertingkatkan jangka hayat pesakit. Kanser payu dara positif HER2 buat sekian lamanya telah dianggap sebagai kumpulan prognosis yang lemah. Tetapi, dengan wujudnya rawatan yang memberi tumpuan pada reseptor HR, lebih ramai pesakit dapat hidup dengan lebih lama,” tambah Dr Natasha.
Prof Madya See Mee-Hong berkata, peranan pakar-pakar bedah juga telah berubah pada hari ini. “20 tahun lalu, hampir semua pesakit disyorkan untuk menjalani pembedahan terlebih dahulu, diikuti oleh rawatan kemoterapi dan radioterapi. Tetapi ekoran perkembangan dalam bidang perubatan terkini, ramai pesakit yang berada di peringkat awal kanser payu dara khasnya yang positif HER2, disarankan untuk menjalani terapi bersasar dan kemoterapi sebelum pembedahan yang juga dikenali sebagai terapi neoadjuvant. Ini akan membolehkan doktor melihat sama ada rawatan berkenaan berkesan dan menyediakan fleksibiliti seterusnya dalam menyediakan pelan rawatan khusus bagi mengoptimumkan peluang kehidupan pesakit. Ini seterusnya membawakan pendekatan MDT dan membolehkan keputusan dibuat bersama pesakit,” katanya.
Dr Yatela Zainal Abidin, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sime Darby berkata, “Yayasan Sime Darby amat berbesar hati dengan jalinan usaha sama dengan CRMY selama 9 tahun bagi menghimpun dana melalui Kejohanan Golf LPGA Sime Darby. Penganjuran acara sukan itu bertujuan untuk mewujudkan pusat-pusat sehenti dan pembangunan alat bantuan bagi membantu pesakit kanser berpendapatan rendah. Kami berharap usaha sama berterusan dengan CRMY akan membantu memperluaskan lagi program-program yang dijalankan untuk memberi manfaat kepada lebih ramai wanita daripada keluarga berpendapatan rendah, khasnya mereka dalam kumpulan B40 yang amat memerlukan bantuan, serta diperkasakan untuk membuat keputusan mereka sendiri bagi mengatasi penyakit kanser payu dara yang dialami."
Cik Wong Sit Yin, Pengarah Akses Penjagaan Kesihatan dan Hubungan Korporat Roche (Malaysia) Sdn. Bhd. turut memuji inisiatif Buku Bantuan tersebut oleh CRMY. “Kami di Roche amat gembira kerana dapat menyokong acara pelancaran ini kerana kami percaya kesejahteraan pesakit merupakan teras perniagaan dan kami benar-benar percaya dalam membantu pesakit kanser payu dara untuk memilih rawatan yang terbaik bagi diri mereka. Pada tahun ini, seiring dengan sambutan ulang tahun ke-125 Roche, kami berharap kerjasama pada hari ini seperti yang terjalin dengan CRMY akan membantu membimbing Roche ke arah masa depan yang lebih sihat dan lestari bagi 125 tahun akan datang. Ia sejajar dengan usaha kami untuk memperkasakan lebih ramai pesakit serta meningkatkan peluang hidup buat semua.”
Pasukan pembangunan bagi Buku Bantuan Untuk Membuat Keputusan Kanser Payudara Peringkat Awal adalah Prof Dr Ng Chirk Jenn, Prof Lee Ping Yein, Prof Dr Nur Aishah Md Taib, Prof Dato Dr Yip Cheng Har, Prof Madya Dr Adina Abdullah, Prof Khatijah Lim Abdullah, Puan Lee Sian Boy, Prof Datin Paduka Dr. Teo Soo Hwang, Dr Ong Siu Ching dan Dr Yamuna Rajoo.
Pasukan pembangunan bagi Buku Bantuan Untuk Membuat Keputusan Kanser Payudara Peringkat Metastatik adalah Prof Lee Ping Yein, Prof Datin Paduka Dr. Teo Soo Hwang, Prof Madya Cheong Ai Theng, Prof Sazlina Shariff Ghazali, Dr Aneesa Abdul Rashid, Prof Dr Nur Aishah Md Taib, Prof Madya Dr Adlinda Alip, Prof Dr Ng Chirk Jenn, Dr Sylvia McCarthy, Dr Chen May Feng, Puan Maheswari Jaganathan, Dr Ong Siu Ching, Dr Yamuna Rajoo, Dr Ong Soo Ying dan Dr Pua Tze San. Susun atur buku bantuan tersebut telah direka oleh Encik Adam Wong dan Cik Emily Yeoh daripada Spring Design Malaysia.
Buku Bantuan ini boleh didapati bagi pesakit yang telah mendaftar dengan Cancer Research Malaysia. Untuk mendaftar, sila klik di sini. Untuk maklumat lanjut, layari laman www.cancerresearch.my. Sumbangan untuk menyokong Cancer Research Malaysia boleh dibuat di www.cancerresearch.my/donate.
Kandungan ini disediakan oleh Roche (Malaysia) Sdn Bhd.
Berminat untuk menyiarkan pengumuman anda di Malaysiakini? Hubungi kami di [email protected] atau WhatsApp di talian +60 17-323 0707 untuk sebarang pertanyaan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai