Kestabilan Politik memudahkan agenda membantu rakyat
Rim, Melaka: Keprihatinan rakyat adalah keutamaan Calon Perikatan Nasional (PN), Azalina Abdul Rahman yang kini bertanding tiga penjuru di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.25 Rim dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini.
Menurut Azalina, fokus utamanya jika diberi mandat untuk menjadi wakil rakyat DUN Rim adalah kebajikan rakyat serta memperbaiki taraf hidup penduduk di sini. Selain itu, untuk memastikan keberkesanan dalam misi menyelesai masalah rakyat adalah kestabilan politik.
“Sebab waktu ini kestabilan politik adalah lebih penting kerana apabila politik stabil maka agenda membantu rakyat dapat difokus dan diperkasakan”, kata Azalina yang ditemui di Bilik Gerakan Utama Perikatan Nasional DUN Rim pada Selasa.
Mengutamakan kebajikan rakyat
Sebagai anak jati DUN Rim, Azalina yang kini berumur 44 tahun sentiasa mencuba sedaya upaya untuk menyelami masalah rakyat supaya dapat memahami situasi sebenar yang dihadapi oleh penduduk di sekitar kawasannya. Menurutnya, isu kebajikan merupakan isu yang perlu diambil serius selaras dengan 6 tunjang yang diikrarkan oleh Perikatan Nasional, jadi, kemesraan beliau bersama rakyat merupakan satu kelebihan untuk beliau berbincang bersama penduduk bagi menyelesaikan masalah serta isu yang berbangkit di kawasan DUN Rim.
Selain daripada isu kebajikan, masalah capaian internet di kawasan ini merupakan antara fokus Azalina untuk membantu penduduk terutamanya kaum wanita dan belia yang ingin menjana pendapatan menerusi perniagaan dalam talian. Menurutnya, internet adalah penting untuk menyumbang kepada pembangunan ekonomi kawasan DUN Rim.
Pendekatan menyelesaikan isu bekalan air
“Sebenarnya sudah ada tangki air di kawasan tersebut cuma ia tidak boleh digunakan kerana tidak diperbaiki, jadi mungkin saya melihat perkara tersebut perlu diperhalusi dan andaikata memang tangki tersebut rosak, mungkin saya nak sediakan tangki-tangki yang lebih besar dan mampu menampung keperluan penduduk-penduduk di Kampung Seri Kesang, Taman Seri Kesang”, kata Azalina.
SOP yang ketat bukan penghalang untuk berjumpa rakyat dan membantu pemuda dan wanita
Menurut Azalina, sebagai sukarelawan Skuad Prihatin Negara, aktiviti untuk bertemu rakyat telah dilaksanakan awal sebelum pilihan raya lagi. Azalina juga membantu menyelesaikan masalah rakyat seperti memberi modal kepada golongan muda dan wanita yang ingin memulakan perniagaan serta menyediakan khemah perniagaan percuma untuk mereka yang ingin membuka warung di tepi jalan.
Azalina berkata, SOP yang ketat telah memberi peluang kepadanya untuk mengunjungi rumah dan berjumpa dengan setiap penduduk di kawasan DUN Rim. Cara ini adalah efektif baginya, kerana dapat mendengar pendapat dan cadangan penduduk serta dapat membantu menyelesaikan masalah mereka dengan lebih spesifik.
Kepimpinan sebagai wanita
Azalina berkongsi bahawa pengundi zaman sekarang inginkan pemimpin yang berintegriti, bersih dan bebas rasuah. Menurutnya, kesemua calon PN yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka telah menandatangani dokumen aku janji pada hari Sabtu lepas, sebagai komitmen memerangi rasuah. Ini menunjukan bahawa PN komited dalam usaha membantu rakyat. Menurutnya, walaupun seorang wanita, Azalina yakin dapat menggalas tanggungjawab sebaik mungkin jika diberi mandat.
Strategi menaikkan taraf DUN Rim sebagai destinasi pelancongan
Menurut Azalina, DUN Rim terkenal dengan Taman Ekstrem Tasik ChinChin yang mempunyai pelbagai aktiviti tarikan pelancong seperti aktiviti Flying Fox, Kanu (Canoe), dan kolam renang. Selain itu, Makam Pusara yang wujud beratus tahun lalu adalah antara destinasi bersejarah yang boleh dikunjungi oleh pelancong. Jika diberi mandat, Azalina berhasrat untuk meningkatkan aktiviti mempromosikan tempat-tempat menarik di DUN Rim agar dapat menarik perhatian pelancong dan secara tidak langsung dapat menyumbang kepada sektor ekonomi rakyat di sini.
Harapan kepada bakal pengundi DUN Rim
“Saya berharap pengundi di kawasan DUN Rim akan memberi kepercayaan penuh kepada saya, calon nombor 1, DUN Rim, untuk memberi perkhidmatan yang terbaik kepada semua kaum termasuk Melayu, India, Cina dan lain-lain”, kata Azalina.
[Kandungan Berjenama]
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai