Projek Pembangunan untuk generasi muda di DUN Asahan
ASAHAN, MELAKA: Hanya tinggal beberapa hari lagi bagi calon-calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka untuk berkempen sebelum pengundi membuat pilihan mereka.
Menurut Dhanesh, manifesto beliau memberi fokus kepada empat perkara yang asas iaitu pembangunan infrastruktur, ekonomi sosial, belia dan sukan serta isu-isu kawasan tempatan.
“DUN Asahan mempunyai populasi penduduk yang agak tinggi, hampir kepada 25,000 orang dan mempunyai jumlah pengundi seramai 15,745. Terdapat beberapa perkara yang merupakan isu-isu yang sepatutnya diselesaikan sejak dulu tetapi masih tertangguh sampai sekarang.”
Masalah sistem perparitan dan bekalan air yang selalu terputus
Sistem perparitan dan saliran yang tidak terancang adalah salah satu isu tempatan yang merupakan punca banjir kilat kerap melanda kawasan itu.
Selain itu, bekalan air yang sentiasa terganggu juga adalah satu masalah bagi penduduk di Asahan untuk meneruskan aktiviti harian mereka. Oleh itu, masalah-masalah ini perlu ditangani dengan segera.
Sistem “Smart Farming” akan meningkatkan peluang pekerjaan
“Asahan dikenali sebagai hub pertanian dan penternakan, tetapi persoalannya apakah inisiatif yang boleh dibuat untuk membangunkan dan memastikan sektor ini dapat memberi peluang pekerjaan kepada generasi muda? Di sini saya ingin memperkenalkan sistem “Smart farming” ataupun pertanian moden yang dapat meningkatkan mutu hasil pertanian yang diusahakan. Lagipun kawasan ini mempunyai landskap yang berpotensi tinggi untuk menjadi satu hub pertanian dan perindustrian,” kata beliau.
Pembangunan perumahan bagi generasi muda
“Manifesto ketiga saya menekankan kepentingan bagi membangunkan kawasan perumahan di DUN Asahan. Kawasan FELDA kekurangan orang muda kerana tiada projek perumahan bagi generasi kedua. Setahu saya, anak muda sekarang ingin membeli rumah yang telah siap dibina. Oleh itu, untuk memastikan penduduk muda di kawasan Asahan tidak berhijrah ke bandar, inisiatif pembangunan perumahan ini amat diperlukan,” ujarnya.
Meningkatkan jaringan internet di Asahan
Jaringan internet yang efisien juga adalah penting bagi penduduk Asahan. Walau bagaimanapun masalah liputan dan capaian internet yang lemah masih berlaku di sini.
Penambahan stesen pam minyak dan mesin ATM
Selain itu, beliau juga menjelaskan bahawa fasiliti stesen pam minyak dan mesin ATM perlu ditambah. Penduduk di Asahan hanya mempunyai dua stesen pam minyak dan dua mesin ATM yang terletak di Selandar dan di Batang Melaka. Ini menyebabkan penduduk di Asahan perlu pergi jauh untuk mengisi minyak dan mengeluarkan duit.
Golongan belia perlu menilai calon secara keseluruhan sebelum mengundi
“Bagi DUN Asahan, persaingan 6 penjuru adalah agak tegar, tetapi ia bukan satu masalah bagi saya, kerana saya mempunyai pengetahuan yang luas dalam kerja-kerja belia dan mempunyai pengalaman bekerja dengan semua lapisan masyarakat daripada semua peringkat biarpun di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa. Pengalaman yang saya telah belajar selama 10 tahun dengan kerja-kerja belia, akan saya curahkan di DUN Asahan.”
“Di Asahan, kami mempunyai 37 peratus pengundi muda dalam lingkungan umur 21 hingga 40 tahun dan saya berharap semua pengundi muda akan keluar mengundi pada 20 November ini. Sebelum mengundi, anda perlu membuat penilaian, mengenali latar belakang dan pencapaian seseorang calon sebelum membuat pilihan anda. Pilihlah pemimpin yang berintegriti dan berwibawa.”
“Daripada kita menjanjikan bulan dan bintang, baik kita menyelesaikan masalah-masalah penduduk terlebih dahulu,” kata beliau.
SOP yang ketat
“Prosedur operasi standard yang ketat kali ini adalah untuk mengelakkan kes Covid-19 meningkat jadi kita perlu mematuhi SOP yang diperkenalkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dengan sepenuhnya. Terdapat banyak saluran yang lain yang boleh kami memberi maklumat kepada rakyat seperti melalui media sosial, pengedaran risalah dan juga turun padang.”
“Saya berharap PRN kali ini akan menjadi satu titik permulaan untuk mengubah landskap politik negara terutamanya di negeri Melaka. Oleh itu, keluar dan mengundi pada 20 November ini.”
[Kandungan Berjenama]
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai