Skip to main
Logo Malaysiakini

13 Ikrar Datuk Mohd Rafiq untuk warga Telok Mas

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Telok Mas, Melaka, 18 Nov 2021: Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen, calon nombor 1 DUN Telok Mas dari Perikatan Nasional telah melancarkan 13 ikrar beliau bagi menaik taraf kehidupan penduduk Telok Mas.

1. Hari Bertemu Rakyat

Menurut Datuk Mohd Rafiq, beliau akan berusaha sedaya upaya untuk menganjurkan hari bertemu dengan penduduk DUN Telok Mas sekurang-kurangnya 2 minggu sekali supaya dapat berinteraksi dan menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh penduduk dengan lebih efisien.

2. Gerai Prihatin Rakyat (GPR)

Dalam usaha mengurangkan kos sara hidup rakyat, beliau akan meneruskan Gerai Prihatin Rakyat (GPR) yang telah dijalankan sejak bulan Jun 2021. Menurutnya, inisiatif ini adalah keikhlasan PN untuk terus menjaga kebajikan rakyat. Tambahan pula, barangan dapur terpilih akan dijual di bawah harga pasaran jika diberi mandat untuk menjadi wakil rakyat Telok Mas.

3. Memperkasa Sektor Pelancongan

Dari segi memperkasakan sektor pelancongan, beliau akan menaik tarafkan infrastruktur serta mempromosikan destinasi menarik di Telok Mas seperti Pulau Besar dan medan ikan bakar. Bukan itu sahaja, beliau juga ingin memperkenalkan tempat pelancongan yang baharu seperti pulau-pulau kecil yang terdapat di sini kepada pelancong di dalam dan luar negara. Secara tidak langsung, ini akan menyumbang kepada sektor ekonomi di Telok Mas.

Menurutnya juga, medan ikan bakar telah menarik perhatian pelancong dari luar Melaka serta luar negara, jadi beliau akan berusaha untuk memperbaiki infrastruktur seperti memperbanyakkan tempat letak kereta serta meningkatkan kapasiti ruang makan untuk menampung kehadiran pelancong yang ramai.

4. Memperkasa Sektor Ekonomi

“Saya berikrar untuk memperkasakan ekonomi, menambah pendapatan rakyat di DUN Telok Mas dengan pelbagai cara. Saya juga akan memberi perhatian kepada golongan belia dan golongan wanita termasuk ibu tunggal untuk menyediakan peluang pekerjaan.

5. Kebajikan Nelayan dan Penjaja Kecil

DUN Telok Mas mempunyai banyak nelayan dan penjaja kecil yang bergantung kepada hasil pendapatan seharian untuk menyara hidup mereka. Oleh itu, Datuk Mohd Rafiq berhasrat untuk meningkatkan taraf infrastruktur dan menyediakan pelbagai kemudahan bagi memudahkan para nelayan dan penjaja kecil untuk melaksanakan kerja mereka.

6. Akses Jalur Lebar

Datuk Mohd Rafiq juga bertekad untuk meningkatkan kualiti akses jalur lebar dan infrastruktur WiFi bagi memastikan pendidikan anak-anak serta perniagaan atas talian dapat dipermudahkan.

“Kita mendapati bahawa akses jalur lebar ini amat penting. Contohnya, kelajuan internet terutamanya bagi kanak-kanak mengikuti kelas pembelajaran secar maya dan juga bagi peniaga-peniaga yang ingin menjana pendapatan melalui urus niaga online. Sekiranya saya terpilih sebagai ADUN Telok Mas saya akan meningkatkan kualiti akses jalur lebar dan infrastruktur WiFi bagi keselesaan warga Telok Mas.” beliau berkata.

7. Menaiktaraf Fasiliti Sukan

Menurut Datuk Mohd Rafiq, para belia di kawasan Telok Mas memerlukan persekitaran and fasiliti sukan yang berkualiti. Oleh itu, beliau akan menaikan taraf fasiliti sukan yang sedia ada serta membina fasiliti sukan yang baru jika dipilih sebagai ADUN Telok Mas.

8. Kelas Mengaji Percuma

Jika kita melihat dari segi komposisi kaum di Telok Mas, hampir 75% pengundi di sini, terdiri daripada orang Melayu. Jadi untuk memperkasakan syiar Islam, saya akan memperkenalkan kelas mengaji secara percuma kepada warga DUN Telok Mas,” beliau berkata.

9. Pendidikan

Calon anak tempatan ini juga menekankan bahawa pendidikan merupakan komponen yang amat signifikan untuk meningkatkan prestasi kecemerlangan pendidikan di Telok Mas. Antara usahanya adalah menyampaikan anugerah kecemerlangan pendidikan kepada pelajar cemerlang dan menganjurkan kursus motivasi serta kelas tambahan percuma kepada pelajar-pelajar dalam kalangan keluarga B40. 

10. Kursus Perkahwinan Percuma

Beliau juga ingin menganjurkan kursus perkahwinan percuma bagi membantu golongan bujang di Telok Mas yang ingin mendirikan rumah tangga. Inisiatif ini juga dapat membantu mengurangkan kos perbelanjaan perkahwinan mereka.

11. Perkhidmatan Ambulans dan Van Jenazah Percuma

“Antara masalah yang membebani rakyat adalah apabila mereka sakit atau mereka perlu mendapatkan rawatan secara berkala di hospital, mereka perlu membayar kos ambulans yang agak tinggi termasuk kos pengurusan jenazah. Sebagai wakil rakyat Telok Mas, saya akan menyumbang dari segi menyediakan perkhidmatan ambulans dan van jenazah secara percuma untuk meringankan beban warga Telok Mas,” beliau berkata.

12. Membanteras Dadah dan Premis Judi dalam Talian

Calon yang berusia 35 tahun itu berkata bahawa beliau akan bekerjasama dengan pihak berkuasa seperti polis dan agensi kawalan dadah untuk membanteras isu penyalahgunaan dadah serta premis-premis judi dalam talian. Selain daripada itu, beliau menerima aduan daripada rakyat mengenai golongan dewasa yang terlibat dalam ketagihan berjudi dalam talian yang menjejaskan kehidupan mereka.

Beliau juga akan bertindak dan berusaha sedaya upaya untuk membanteras premis judi dalam talian serta isu penyalahgunaan dadah dengan berkesan di kawasan Telok Mas.

13. Kebersihan dan Pengindahan

“Ikrar terakhir saya adalah untuk memastikan landskap kawasan Telok Mas bersih dan indah supaya kawasan ini dapat dijadikan lokasi destinasi pelancongan dan dapat menjamin keselesaan penduduk tempatan,” ujarnya.

Di samping melancarkan 13 ikrar tersebut, Datuk Mohd Rafiq juga ingin menekankan terhadap satu masalah yang dihadapi oleh penduduk kaum India di negeri Melaka, di mana mereka sudah menunggu sekian lama untuk mendapatkan kelulusan sekeping tanah bagi upacara menghanyutkan abu mayat ke dalam laut. Namun permintaan ini telah lama ditangguh jikalau diberi mandat, beliau akan menyelesaikan masalah tersebut secepat mungkin.

“Sekiranya PN dapat membentuk kerajaan Melaka nanti, kami akan meluluskan permohonan sebidang tanah bagi masyarakat India pada mesyuarat EXCO kerajaan negeri Melaka yang pertama,” ujarnya. 

[Kandungan Berjenama]