Skip to main
Logo Malaysiakini

Anugerah Ilham Desa 2020 (AID 2020)

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kementerian Pembangunan Luar Bandar melalui Institut Kemajuan Desa (INFRA) akan menganjurkan Anugerah Ilham Desa 2020 (AID 2020) bertempat di INFRA pada 22 Disember 2021. Acara kemuncak penganugerahan AID 2020 terpaksa ditunda ke tahun 2021 kerana pandemik Covid 19 yang melanda Malaysia dan dunia dan pada tahun 2020 Malaysia melalui tempoh PKP yang panjang yang menghalang pelaksanaan AID 2020 secara sepenuhnya.

Sebanyak enam kampung telah dipertandingkan pada kali ini. AID 2020 menjadi lebih menarik kerana ia mempertandingkan semula kampung yang pernah menjadi juara AID sejak tahun 2000 hingga 2015.

Enam kampung yang menjadi finalis bagi AID 2020 adalah terdiri daripada dua kampung di Semenanjung Malaysia/Malaysia Barat iaitu Kampung Kilim di Langkawi, Kedah yang menjadi juara pada tahun 2009 dan Kampung Peruas di Raub, Pahang yang menjadi juara pada tahun 2013. 

Empat kampung yang seterusnya adalah berada di Malaysia Timur iaitu Sabah, Sarawak dan Labuan.

Kampung-kampung tersebut adalah Kampung Batu Puteh, Kinabatangan, Sabah yang menjadi juara pada tahun 2003, Kampung Sinisian, Kundasang, Sabah yang menjadi juara pada tahun 2007, Kampung Long Bedian, Marudi, Sarawak yang menjadi juara pada tahun 2001 dan finalis terakhir adalah dari Kampung Lubuk Temiang, Labuan yang menjadi juara pada tahun 2011.

Anugerah Ilham Desa (AID) telah dimulakan pada tahun 2000, pada awalnya ia dikenali sebagai Pertandingan Idea Bernas dan kemudiannya dijenamakan semula sebagai Anugerah Ilham Desa (AID) pada tahun 2009.

Bertemakan “Komuniti Kreatif, Desa Inovatif”, kampung - kampung yang menyertai pertandingan ini akan mengetengahkan projek-projek yang diilhamkan oleh penduduk kampung dengan menggunakan daya kreativiti dan inovasi mereka. Projek-projek akan dinilai menerusi kriteria penyediaan rekod pengurusan projek yang sistematik dan kemampanan projek dalam menghadapi pelbagai cabaran masa hadapan.

Antara projek yang dilaksanakan ialah seperti penggunaan kaedah bubu dalam kaedah penangkapan ikan, cenderamata dan alat muzik berasaskan buluh dan kayu, industri inap desa dan homestay dalam komuniti kampung, industri perniagaan dan peruncitan komuniti berpusat di kampung dan pembangunan industri agro pelancongan di sungai melalui kaedah ternakan ikan dalam sangkar.

Panel penilai adalah terdiri daripada Pegawai-pegawai KPLB, KEMAS, dan Agensi KPLB. Projek yang dinilai paling menonjolkan daya kreativiti dan inovasi dalam projek dan yang paling membawa impak kepada keseluruhan kampung tersebut dari segi ekonomi dan sosial penduduknya akan merangkul kejuaraan kali ini.

Juara AID 2020 akan membawa pulang hadiah wang tunai RM 30,000 berserta sijil dan piala iringan. Tempat kedua dan ketiga masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM 20,000 dan RM 10,000 berserta sijil dan piala iringan. Tiga saguhati diberikan kepada kampung yang dinobatkan sebagai tempat keempat hingga keenam masing-masing akan membawa pulang hadiah wang tunai RM 4,000, sijil dan piala iringan.

Impak AID adalah untuk memberikan penghargaan dan pengiktirafan KPLB kepada warga desa yang mempunyai daya usaha untuk membangunkan eknomomi dan sosial setempat melalui projek yang kreatif dan berinovasi serta berimpak tinggi. AID juga dilihat sebagai satu wadah pemangkin kepada usaha warga desa meningkatkan aktitiviti ekonomi dan sekaligus menjana pendapatan warga setempat melalui projek-projek ekonomi yang dibimbing tersebut.


Kandungan ini disediakan oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar. Berminat untuk menyiarkan pengumuman anda di Malaysiakini? Hubungi kami di [email protected] atau WhatsApp di talian +60 17-323 0707 untuk sebarang pertanyaan.