Dutch Lady Milk Industries Berhad anugerahkan kontrak pembinaan bernilai lebih RM100
Pengeluar tenusu terkemuka Malaysia, Dutch Lady Milk Industries Berhad (DLMI) telah melantik kontraktor tempatan, Seremban Engineering Berhad (SEB) sebagai kontraktor utama untuk membina kilang pembuatan produk tenusu halal baharunya di Techpark, Bandar Enstek, Negeri Sembilan.
Kontrak bernilai lebih RM100 juta itu merangkumi semua kerja-kerja sivil, struktur dan seni bina yang akan dikendalikan oleh SEB untuk membina hab pembuatan produk tenusu halal baharunya yang berkeluasan kira-kira 13 hektar. Kontrak ini bernilai 25% daripada jumlah RM400 juta pelaburan DLMI. Hab pembuatan tenusu halal baharu itu dijangka akan mula beroperasi pada tahun 2024.
Pengumuman itu dibuat semasa majlis tertutup hari ini yang dihadiri oleh pihak pengurusan DLMI dan SEB di pejabat korporat DLMI di Petaling Jaya dan turut disaksikan oleh YBhg. Dato’ Haji Najmuddin Sharif bin Sarimon, Ketua Pegawai Eksekutif Invest Negeri Sembilan dan Puan Zetty Hamimi Zakaria, Pengarah di Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Negeri Sembilan.
SEB yang memiliki rekod prestasi selama 42 tahun merupakan syarikat tersenarai awam di Bursa Malaysia yang mengkhusus dalam fabrikasi peralatan dan keluli, perkhidmatan kejuruteraan dan pemasangan kilang. Pada tahun 2019, SEB telah diambil alih oleh MIE Industrial Sdn Bhd, sebuah syarikat kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) dalam industri minyak dan gas.
Pengarah Urusan DLMI Ramjeet Kaur Virik berkata DLMI teruja dengan pencapaian ini sejak 59 tahun kewujudan syarikat di Malaysia kerana ia menjadi bukti kepentingan negara selaku hab tenusu halal.
“Kerja-kerja pembinaan telah bermula di hab pembuatan tenusu halal baharu kami ini yang bakal membolehkan proses pembuatan dilakukan secara lebih efisien. Secara tidak langsung, ini akan menggandakan kapasiti pengeluaran kami. DLMI mengalu-alukan kerjasama dengan SEB kerana ianya mewujudkan peluang berkolaborasi dengan rakan kongsi lain untuk membina hab pembuatan tenusu halal masa depan Malaysia, seterusnya Mengkhasiatkan Nusa dan Bangsa untuk generasi kita akan datang,” kata Ramjeet.
Negeri Sembilan menjadi destinasi pelaburan pilihan DLMI kerana dasar negeri yang mesra perniagaan selain faktor jaraknya yang berdekatan dengan Lembah Klang. Kemudahan baharu DLMI di Techpark, Bandar Enstek ini turut terletak di lokasi yang strategik dan dihubungkan dengan infrastruktur yang sangat baik dan rangkaian jalan raya ke semua pusat bandar dan pelabuhan. Hab industri halal yang semakin berkembang di Techpark @ Enstek yang turut menjadi tuan rumah pelbagai jenama makanan dan minuman (F&B) lain juga menjadi penentu dalam mempengaruhi keputusan DLMI membina kemudahan baharu itu di Negeri Sembilan.
“Kami berterima kasih kepada pihak kerajaan negeri atas sokongan berterusan yang diberikan kepada DLMI dalam memastikan kejayaan perpindahan hab kami ke Enstek kelak. Kami berharap kemudahan pembuatan baharu ini akan membantu meningkatkan profil pelaburan Negeri Sembilan dan Malaysia sebagai hab berteknologi tinggi yang dapat menarik para pengilang tempatan dan asing,” tambah Ramjeet.
Ketua Pegawai Eksekutif SEB, Wong Wai Hung berkata, “Kami berbesar hati dianugerahkan kontrak ini oleh DLMI untuk membina hab tenusu halal baharu mereka. Ia adalah peluang yang cukup bermakna bagi kami untuk memperlihatkan kepakaran pembinaan kami dan menyediakan penyelesaian infrastruktur untuk kemudahan revolusioner ini, yang akan membantu DLMI memacu matlamatnya untuk terus Mengkhasiatkan Nusa dan Bangsa.”
“Hab pembuatan baharu kami akan kalis masa hadapan dengan piawaian Industri 4.0, menggabungkan teknologi hijau bertaraf dunia dan automasi dalam semua aspek kilang, selain berupaya memastikan kami berupaya mengendalikan kemudahan pengilangan dengan kecekapan yang tinggi dan jejak karbon yang rendah,” tambah Ramjeet.
DLMI selama ini telah membina pangkalan pelanggan yang setia dan melancarkan banyak inovasi produk halal yang menarik demi manfaat rakyat Malaysia, mencipta jenama yang dikenali dan disukai oleh segenap lapisan generasi, berpandu kepada matlamat yang jelas – Mengkhasiatkan Nusa dan Bangsa.
Ramjeet menambah bahawa DLMI secara konsisten menyokong agenda kesihatan negara yang ditetapkan oleh pihak kerajaan, terutamanya dalam aspek memerangi peningkatan penyakit tidak berjangkit seperti tumbesaran terbantut dan obesiti di kalangan kanak-kanak.
“Kehadiran pandemik COVID-19 turut menyerlahkan lagi kepentingan pemakanan dan imuniti khususnya dalam persekitaran endemik untuk tahun-tahun yang mendatang. Oleh itu, DLMI sentiasa mencari cara-cara baharu berdasarkan penyelidikan saintifik dan kepengggunaan untuk terus menyediakan rangkaian produk-produk tenusu yang lebih luas buat rakyat Malaysia.”
Kemudahan baharu bertaraf dunia itu akan memacu komitmen jangka panjang syarikat dengan lebih berkesan untuk terus Mengkhasiatkan Nusa dan Bangsa, meningkatkan penggunaan susu domestik serta memainkan peranan penting untuk membantu kerajaan membina industri tenusu tempatan yang bermandiri, sebagai sebahagian daripada matlamat Malaysia untuk mengukuhkan agenda keselamatan makanan negara.
DLMI yang telah wujud di negara ini dan menjadi ikon tempatan sejak tahun 1963 dan terus hidup berpegang dengan komitmen untuk Mengkhasiatkan Nusa dan Bangsa dan mewujudkan kesedaran di kalangan orang ramai tentang bahaya penyakit tidak berjangkit seperti obesiti, kekurangan zat makanan dan tumbesaran terbantut seperti yang dilaporkan dalam kajian Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019 oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia.
DLMI dimiliki oleh syarikat induk Belanda Royal FrieslandCampina sebanyak 51 peratus, yang merupakan salah satu syarikat tenusu terbesar di dunia dengan sejarah warisan dan kepakaran tenusu Belanda selama 150 tahun.
Kandungan ini disediakan oleh Neruda Communications.
Berminat untuk menyiarkan pengumuman anda di Malaysiakini? Hubungi kami di [email protected] atau WhatsApp di talian +60 17-323 0707 untuk sebarang pertanyaan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai