Minggu Sains Negara Keluarga Malaysia 2022 Akademi Sains Malaysia perkenal bidang fokus “Kesihatan Planet”
Akademi Sains Malaysia (ASM) selaku agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memperkenalkan bidang fokus “Kesihatan Planet” sempena Minggu Sains Negara Keluarga Malaysia 2022 (MSNKM 2022) bermula April ini. MSNKM 2022 yang membawa tema “Merakyatkan Sains, Menginsankan Teknologi” akan berlangsung pada April sehingga Oktober 2022 secara maya dengan bidang fokus berlainan diperkenalkan setiap bulan menerusi www.minggusainsnegara.com.
Kesihatan Planet merujuk kepada kesalingbergantungan antara kesihatan manusia, haiwan dan alam sekitar dalam usaha mengekalkan kesejahteraan sejagat. Menerusi bidang fokus ini, ASM pada MSNKM 2022 ingin mewujudkan kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan Kesihatan Planet bagi menggalakkan setiap individu untuk memberi tumpuan dan melakukan usaha pemeliharaan bumi (termasuk ekosistem, biodiversiti, kesihatan dan perubahan iklim) yang berpaksikan sains, teknologi, inovasi dan ekonomi (STIE).
“Inisiatif yang berfokuskan bidang Kesihatan Planet ini amat tepat pada masanya untuk diperkenalkan berikutan pelbagai situasi terkini yang kita alami di Malaysia seperti perubahan iklim, penyakit berjangkit serta pandemik COVID-19. Menggunakan pendekatan STIE, ASM ingin mengarusperdanakan Kesihatan Planet dan mengajak semua untuk memahami apakah peranan masing-masing dalam mencari penyelesaian baharu dan kesiapsiagaan dalam mendepani cabaran berkaitan di masa akan datang,” kata Ketua Pegawai Eksekutif ASM, Puan Hazami Habib.
ASM sebagai agensi pelaksana MSNKM 2022 sepanjang bulan April akan melaksanakan beberapa program yang berkaitan dengan bidang fokus Kesihatan Planet. Antara program program tersebut adalah Webinar Kesihatan Planet, E-Game Kesihatan Planet, Ceritera Sains TikTok dan National Science Challenge 2022. Menerusi bidang fokus Pembudayaan dan Kesedaran, program yang dirancang adalah Webinar Kerjaya STEM oleh Ikon Sains dan Latihan Kaedah Pengajaran Sains Berasaskan Inkuiri (IBSE). Di bidang fokus Komunikasi Sains, sesi Borak Sains Jaringan Saintis Muda (YSN-ASM) bakal dianjurkan, sesi dialog Menteri MOSTI, Dato’ Sri Dr Adham Baba bersama ahli YSN-ASM dan pelancaran Modul Sains Komunikasi YSN-ASM sempena ulang tahun ke-10 YSN-ASM.
Program maya MSNKM 2022 terbuka kepada semua menerusi www.minggusainsnegara.com. Pendaftaran dan akses kepada setiap program ASM adalah percuma. Penganjuran MSN merupakan salah satu inisiatif MOSTI dalam usaha menyemarakkan aktiviti inovasi dan kreativiti negara selari dengan Pelan Tindakan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) yang menggariskan pelaksanaan pelbagai inisiatif, program dan aktiviti bagi tempoh 2021 hingga 2030.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai