Skip to main
Logo Malaysiakini

Circle of Hope memberi harapan kepada penjaga pesakit mental

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Bersempena Hari Skizofrenia  2022 pada 24 Mei tahun ini, Circle of Hope, sebuah usaha sama oleh Persatuan Psikiatri Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Janssen Pharmaceuticals, telah dilancarkan.

Skizofrenia merupakan sejenis penyakit mental yang mencetus halusinasi dan delusi. Ia mempengaruhi 1 dalam 300 orang (0.32%) atau 24 juta orang di seluruh dunia dan boleh dialami oleh sesiapa sahaja pada sebarang peringkat usia.(1) Penyakit-penyakit mental lain termasuk masalah kebimbangan, bipolar dan kecelaruan obsesif kompulsif. 

Secara kolektif, penyakit mental merujuk kepada masalah kesihatan mental yang melibatkan atau berkaitan perubahan pemikiran, emosi dan/atau perilaku serta kerap mengalami rasa cemas dan/atau masalah untuk bersosial, bekerja atau melakukan aktiviti keluarga.(2)

Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) melaporkan seramai 20% kanak-kanak dan remaja di seluruh dunia mengalami masalah kesihatan mental.(3)

Berkongsi pandangan pada majlis pelancaran Circle of Hope, pakar-pakar bidang psikiatri, Dr Firdaus Datuk Abd Gani, Ketua Circle of Hope dan Dr Salina Abd Aziz, Ketua Perkhidmatan Psikiatri Kebangsaan, Kementerian Kesihatan Malaysia bersama Datin Dr Riana Abdul Rahim, Ketua Ahli Psikiatri MENTARI KL, Pusat Kesihatan Mental Masyarakat di bawah Kementerian Kesihatan dan Dr Hazli Zakaria, Presiden Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA) menyuarakan kebimbangan mereka terhadap peningkatan penyakit mental yang bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di peringkat global. Mereka turut menyatakan bahawa penyakit tersebut turut dikesan dalam kalangan muda.

Datin Dr Riana

Datin Dr Riana berkata, “Di Malaysia, bilangan penyakit mental telah meningkat daripada 10.7% pada tahun 1996 kepada 29.2% pada tahun 2015, sementara seramai 500,000 golongan dewasa mengalami kemurungan.(3) Keadaan ini semakin berleluasa sehingga setiap individu berkemungkinan mengenali sekurang-kurangnya seorang yang mengalami penyakit mental.

“Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2015 mendapati 1 dalam 3 dewasa atau kira-kira 29% mengalami masalah kesihatan mental dengan lebih ramai berkemungkinan tidak didiagnosis. Juga membimbangkan, 12% kanak-kanak dikesan mengalami penyakit ini.”(4)

Penularan Covid-19 telah memburukkan lagi keadaan yang memberi kesan kepada kesihatan mental. Satu kajian yang dijalankan pada Ogos-September 2020 dengan melibatkan 1,163 dewasa telah menunjukkan individu-individu terbabit mempunyai gejala-gejala seperti kemurungan (59.2%), kebimbangan (55.1%) dan stres (30.6%).(5)

Beliau menambah, “Dengan angka yang semakin meningkat ini, penyakit mental dijangka menjadi masalah kesihatan kedua utama di Malaysia selepas penyakit jantung.(6) Ia juga mampu membebankan negara kerana ia menjejaskan produktiviti dengan kos ekonomi dianggarkan bernilai RM14.5 bilion.(7)”

Sementara itu, Dr Salina berkongsi, “Pengurusan penyakit mental memerlukan usaha yang erat dan menyeluruh daripada segenap pihak. Tentunya pakar-pakar psikologi menguruskan penjagaan akut para pesakit tetapi pemulihan mereka mengambil masa yang panjang. Oleh itu, usaha daripada pakar-pakar kesihatan sahaja tidak mencukupi, kami perlu bekerjasama dengan organisasi-organisasi bukan kerajaan (NGO), keluarga pesakit, majikan mereka dan masyarakat sekitar untuk membolehkan usaha pemulihan ini.

Dr Salina

“Penerimaan masyarakat juga penting untuk membantu pesakit mental. Pada masa sama, kita tidak boleh mengabaikan stres dan usaha individu-individu yang menjaga pesakit dalam perjalanan mereka ke arah pemulihan. Kita turut perlu memberi perhatian kepada penjaga-penjaga ini dan ini adalah tujuan Circle of Hope. Bagi kami, membawa perubahan kepada pesakit memerlukan pendekatan 360° bagi penjagaan yang berkesan kepada semua terlibat.”

Circle of Hope diwujudkan sebagai maklum balas terhadap data yang membimbangkan serta kerja-kerja penyelidikan sebelum ini yang mengetengahkan beban psikologi dan cabaran yang dialami para penjaga pesakit mental,” ujar Dr Firdaus.

Beliau menjelaskan program tersebut telah direka untuk menyokong penjaga pesakit mental serta mengiktiraf peranan yang dimainkan mereka dalam membantu insan-insan tersayang untuk pulih. Program Circle of Hope membantu menangani cabaran yang dihadapi kedua-dua pihak.

Dr Firdaus

Tambahnya, “Matlamat di sebalik Circle of Hope adalah untuk memperkasakan mereka yang terbabit dengan menyediakan sokongan dan maklumat yang diperlukan. Dibangunkan melalui konsep ‘melatih jurulatih’, ia membenarkan penjaga untuk menerima manfaat daripada kumpulan sokongan melalui sokongan emosi yang lebih kukuh, di samping perkongsian maklumat yang tepat daripada pakar-pakar dan penjaga yang berpengalaman dalam situasi yang sama.”

Objektif utama Circle of Hope merangkumi sekumpulan jurulatih yang akan melatih penjaga pesakit mental dan memberikan sokongan yang diperlukan. Ini akan meningkatkan lagi pengetahuan penjaga-penjaga terlibat tentang penyakit mental dalam menyediakan sokongan yang bersesuaian. Selain itu, para penjaga pesakit juga dilengkapkan kemahiran asas bagi memimpin pesakit ke arah pemulihan.

Berkongsi pencapaian yang dirancang Circle of Hope, Dr Firdaus berkata, “Pada masa ini kami telah menyediakan 120 jurulatih yang akan melatih 4,000 penjaga pesakit mental. Menerusi struktur ini, Circle of Hope mampu membantu kira-kira 20,000 ahli keluarga pesakit dan pesakit mental serta membawa perubahan kepada kehidupan mereka.”

Latihan-latihan Circle of Hope direka untuk menangani kesan awal penjagaan keluarga untuk pesakit mental. Ia tertumpu pada isu-isu berkaitan kewangan, sosial, psikologi dan kesihatan fizikal. Latihan komprehensif tersebut merangkumi lima modul - memahami penyakit mental, rawatan penyakit mental, mengatasi krisis, menjaga si penjaga dan pemulihan dalam penyakit mental.

Penjaga dibimbing untuk memahami konteks budaya; mitos dan salah anggap berkenaan penyakit psikologi; bio-psikososial dan komponen kerohanian. Mereka juga diajar bagaimana untuk berkomunikasi, mengesan tanda-tanda dan gejala penyakit mental serta di mana untuk mendapatkan bantuan. Selain itu, mereka didedahkan dengan kemahiran pengurusan stres, teknik rehat, langkah pencegahan pengulangan penyakit, peningkatan kesedaran dan bagaimana membantu pesakit kembali ke tempat kerja.

Dalam mengatasi mitos dan salah anggap berkaitan penyakit mental yang berpandangan bahawa ia adalah tanda kelemahan individu atau satu keadaan yang kekal serta disebabkan oleh pihak lain atau diturunkan nenek moyang ekoran kesalahan lampau, Dr Hazli menegaskan, “Penyakit mental boleh dirawat. Pengesanan awal, diagnosis dan rawatan pakar adalah penting untuk prognosis yang lebih baik serta pemulihan yang lebih cepat. Selain itu, penglibatan keluarga untuk membantu menjaga dan memberikan sokongan kepada pesakit adalah teras yang ingin kami capai.”

Dr Hazli Zakaria

Beliau menjelaskan, “Punca utama penyakit mental adalah disfungsi otak yang boleh menyebabkan ketidakseimbangan rembesan neurotransmitter atau penyampai kimia dalam sistem saraf, kerosakan otak ekoran kecederaan, ketumbuhan atau jangkitan, stres atau rembesan hormon tidak normal. Seperti keadaan-keadaan penyakit lain, ia boleh merangkumi peringkat ringan sehingga teruk.” 

Faktor-faktor risiko penyakit mental boleh dipengaruhi aspek sosial seperti isu berkaitan hubungan keluarga, pasangan dan rakan-rakan, atau rasa kesunyian, terpinggir atau menyendiri. 

Faktor-faktor masyarakat dan alam sekitar juga boleh mencetus penyakit mental, manakala faktor-faktor lain yang turut menyumbang termasuk genetik, trauma, sejarah penderaan, keadaan perubatan kronik, stres, gaya hidup dan penyalahgunaan dadah. 

“Rujuk keluarga dan insan tersayang anda untuk mendapatkan rawatan di pusat-pusat kesihatan kerajaan mahupun swasta apabila anda mengesan corak tidak normal dalam perasaan, tingkahlaku, pemikiran dan perubahan kesejahteraan fizikal mereka. Sekiranya anda mengenali mana-mana penjaga pesakit mental, berkongsi dengan mereka tentang Circle of Hope dan maklumkan bahawa mereka tidak bersendirian dalam perjalanan ini. Mereka hanya perlu berbicara dengan pengamal penjagaan kesihatan profesional atau mengunjungi Pusat Kesihatan Mental Masyarakat (MENTARI) terdekat. Anda juga boleh mendekati NGO berkaitan kesihatan mental bagi mengetahui bagaimana untuk menjadi sebahagian daripada Circle of Hope. Sebagai ahli keluarga, kita memainkan peranan yang amat penting dalam membantu dan menyokong pemulihan pesakit mental,” kata Dr Hazli.


Rujukan:

  1. World Health Organization. Schizophrenia. 2022. Available at: https://www.who.int/news-room/fact-sheets/detail/schizophrenia. Accessed 23 Feb 2022. 

  2. American Psychiatric Association. What is mental illness? 2018. Available at: ttps://www.psychiatry.org/patients-families/what-is-mental-illness. Accessed 18 Sep 2021. 

  3. Institute for Public Health, National Institutes of Health, Ministry of Health Malaysia 2020. National Health and Morbidity Survey (NHMS) 2019:Vol. 1: NCDs-Non Communicable Diseases : Risk Factors and other Health Problems

  4. Institute for Public Health. National Health and Morbidity Survey 2015. Vol II: Non-Communicable Diseases, Risk Factors & Other Health Problems. Malaysia, 2015. 

  5. Wong, LP, et al. Escalating progression of mental health disorders during the COVID-19 pandemic: Evidence from a nationwide survey. 2021. PLoS ONE 16(3): e0248916. Available at: https://doi.org/10.1371/journal.pone.0248916. 

  6. Hassan MF, et al. Issues and challenges of mental health in Malaysia. IJ-ARBSS. 2018;8(12):1685-1696 

  7. Chua, S.N. (2020). Workplace mental health : The business costs. Relate Mental Health Malaysia. https://relate.com.my/the-business-costs-of-mental-health/ISBN:978-967-19054 


Kandungan ini disediakan oleh Malaysian Psychiatric Association.

Berminat untuk menyiarkan pengumuman anda di Malaysiakini? Hubungi kami di [email protected] atau WhatsApp di talian +60 17-323 0707 untuk sebarang pertanyaan.