Skip to main
Logo Malaysiakini

Apabila tidak berkongsi adalah tanda kasih sayang... Hakikat dalam mencegah Hepatitis C

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Sebagai rakyat Malaysia, kita benar-benar menghayati pepatah Inggeris ‘sharing is caring’ dan gemar berkongsi pelbagai perkara. Kita sentiasa bersedia untuk membantu, meluangkan masa serta tenaga untuk membantu mereka yang memerlukan dan bagi kebanyakan keadaan, sanggup berkongsi sesuatu yang dimiliki bersama insan tersayang mahupun orang yang tidak dikenali.  

Tetapi apakah perasaan anda jika diberitahu bahawa tidak semua perkara boleh dikongsi dan ada kalanya perkongsian itu boleh membawa kepada hidup atau mati, terutamanya dalam sesetengah perkara yang berkaitan dengan kesihatan?

Dramatik? Mungkin. Realistik? Tentunya.

Terdapat sebilangan penyakit yang boleh dijangkiti menerusi tindakan kita berkongsi barangan seperti perkakas, makanan dan jarum. Sesetengah penyakit yang merebak melalui perkongsian ini boleh berkisar daripada demam ringan kepada penyakit yang mampu mengancam nyawa seperti hepatitis.  

Gambar atas: Mencacah (tattooing) menggunakan jarum yang tidak disteril berkeupayaan untuk meningkatkan risiko jangkitan hepatitis. Kredit gambar: iStock.com/YakobchukOlena

Apakah itu hepatitis? 

Profesor Dr Rosmawati Mohamed, Pengasas Pengerusi Bersama dan Ahli Jawatankuasa Penasihat Strategik dan Teknikal Hepatitis Viral WHO, menjelaskan, “Secara dasarnya hepatitis bermakna - keradangan hati. Hati merupakan organ kedua terbesar dalam tubuh. Ia memainkan pelbagai fungsi penting badan seperti memproses nutrien, membersihkan darah dan melawan jangkitan. Sekiranya hati kita rosak atau mengalami keradangan, ia akan menjejaskan fungsi tubuh. Hepatitis boleh berpunca daripada pelbagai faktor termasuk pengambilan ubat-ubatan, toksin dan alkohol yang berlebihan.”

Profesor Dr Rosmawati Mohamed menggalakkan individu berisiko untuk menjalani saringan kesihatan

“Punca biasa penyakit hepatitis ialah jangkitan virus hepatitis. Ada banyak jenis hepatitis viral yang berlainan termasuk Hepatitis A, B, C, D dan E. Ini seterusnya membawa kepada simptom, rawatan dan pengurusan penyakit yang berlainan. Tidak seperti Hepatitis A, Hepatitis B dan C menyebabkan jangkitan kronik dan jangka panjang serta berpotensi membawa kepada sirosis (parut pada hati) dan kanser hati.”

Perspektif Hepatitis B dan C 

Adakah tidak berkongsi salah satu cara pencegahan penyakit ini? Dr Rosmawati bersetuju dengan kaedah ini dan berkata, “Menyingkirkan amalan berkongsi jarum dan objek-objek peribadi yang mungkin mengandungi darah seperti pisau cukur adalah cara terbaik untuk mengelak daripada jangkitan dan menghidapi penyakit yang boleh membawa kematian. Apabila melibatkan perkongsian barangan seperti ini, hanya katakan tidak! Elakkan perilaku yang boleh merisikokan kesihatan serta meminimumkan pendedahan anda pada hepatitis. Ada kalanya berkongsi sesuatu bukanlah satu perkara yang baik.”

Memandangkan Hepatitis B dan C menyebabkan sebahagian besar kematian berkaitan hati di negara ini, Kementerian Kesihatan (KKM) telah menggariskan Pelan Strategik Kebangsaan (NSP) untuk Hepatitis B & C (2019-2023). (1)

 Kadar jangkitan Hepatitis B di negara ini telah meningkat, daripada 2.26 bagi setiap 100,000 populasi pada tahun 2010 kepada 12.65 bagi setiap 100,000 populasi pada 2015. Sementara itu bagi Hepatitis C, dilaporkan kadar jangkitan telah meningkat daripada 2.56 bagi setiap 100,000 populasi kepada 6.91 bagi setiap 100,000 populasi pada 2015. (1) 

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Ketua Pengarah KKM berkata, pada tahun 1998, dianggarkan satu juta individu telah mengalami jangkitan kronik  virus Hepatitis B (HBV) manakala pada tahun 2009, seramai 453,700 dijangkiti virus Hepatitis C (HCV). (1)  

Oleh itu, ia adalah penting untuk mengambil langkah-langkah yang sesuai untuk mengurangkan beban penyakit berkaitan hepatitis viral. Dengan teknologi sedia ada dalam mempercepatkan saringan dan diagnosis penyakit, serta ketersediaan rawatan yang efektif dan pada kadar berpatutan, ia adalah tidak mustahil untuk mencegah, merawat serta menyembuhkan Hepatitis C.

Dr Rosmawati menambah, “Di bawah NSP, Malaysia komited ke arah menghapuskan hepatitis viral menjelang tahun 2030 (1) dengan ujian saringan penyakit tersebut kini lebih mudah. Jika anda menghidapi hepatitis, pengesanan awal, diagnosis dan rawatan boleh membantu anda untuk mencegah kesan jangka panjang sirosis dan kanser hati.”

Menangani Stigma dan Mendapatkan Rawatan Awal 

Walaupun Hepatitis A dan B boleh dicegah melalui vaksinasi, namun ujian saringan untuk Hepatitis C adalah cara terbaik untuk memastikan diagnosis dan rawatan awal mengatasinya. 

Jika anda menghidapi Hepatitis C, rawatan awal boleh memberikan perbezaan ketara antara pemulihan dan perkembangan penyakit hati ke peringkat lebih kronik termasuk sirosis dan kanser hati. Dengan mendapatkan rawatan yang diperlukan daripada pakar perubatan, anda berpotensi untuk sembuh daripada penyakit itu dalam tempoh tiga hingga enam bulan selepas menerima rawatan yang bersesuaian.

Sesetengah pesakit mengakui bahawa mereka malu setelah didiagnosis menghidapi penyakit berkenaan. Stigma ini telah menyebabkan pesakit enggan membuat saringan atau rawatan selepas dijangkiti. Kurang kesedaran dan maklumat yang salah berkenaan hepatitis telah menyebabkan sesetengah pihak percaya bahawa penyakit itu berpunca oleh gaya hidup berisiko. 

Dr Rosmawati menyeru agar orang ramai mengatasi sigma dan rasa malu berkenaan hepatitis. “Masyarakat telah mewujudkan stigma bagi pesakit hepatitis, menyebabkan mereka terasa terasing. Menerusi maklumat dan pendidikan, orang ramai berupaya memahami bahawa dijangkiti hepatitis tidak bermakna seseorang itu jahat atau tidak layak diubati. Setiap orang berhak untuk mendapatkan penjagaan kesihatan yang diperlukan. Jika anda berpendapat bahawa anda berisiko, dapatkan ujian saringan kerana ia bukan sahaja demi manfaat anda tetapi juga insan tersayang.”

Dengarkan pengalaman daripada dua pesakit Dr Rosmawati. ‘Perkongsian’ membawa kepada Hepatitis C manakala ‘Saringan dan Rawatan’ memberikan hasil positif terhadap kesihatan mereka. 

Kisah 1: 

Mr Lee (bukan nama sebenar) telah didiagnosis menghidapi Hepatitis C apabila berusia 69 tahun. Beliau tidak mempunyai simptom ketara penyakit berkaitan hati. Menempuh kehidupan peribadi yang perit, beliau sering meminum alkohol secara berlebihan. Semasa ujian darah rutin yang dibuat ketika di luar negara, Mr Lee didapati mempunyai enzim hati yang tidak normal dan keadaan itu kian buruk. Doktor telah menasihati beliau untuk mengurangkan pengambilan alkohol tetapi tidak mengesyorkan beliau menjalani ujian hepatitis. 

Namun demikian, ketika bertemu Dr Rosmawati setelah pulang ke Malaysia, Mr Lee disyorkan untuk mengambil ujian hepatitis ekoran simptom-simptom semakin teruk yang dipamerkan. Beliau didapati menghidapi Hepatitis C dan ujian susulan telah mendapati beliau menghidapi sirosis. 

Keputusan mengejutkan dan mengubah gaya hidup Mr Lee. Selepas menjalani rawatan selama tiga bulan yang merangkumi pengambilan satu tablet ubat setiap hari tanpa mengalami sebarang kesan sampingan, ujian mendapati virus Hepatitis C tidak lagi dikesan dan beliau disahkan bebas sepenuhnya daripada penyakit itu. 

Mr Lee turut mengesyaki bahawa beliau dijangkit virus berkenaan menerusi tatu kerana beliau kerap mengunjungi pusat-pusat tatu ketika mengembara di Asia Tenggara. 

Setelah pulih, Mr Lee terus mengamalkan gaya hidup lebih sihat dengan pengambilan makanan yang seimbang, kerap bersenam dan mendapatkan rehat yang mencukupi. Beliau bersyukur kerana menjalani ujian saringan serta mendapatkan rawatan yang diperlukan bagi menangani keadaan yang dialami. Kini, Mr Lee mendapatkan rawatan susulan bersama Dr Rosmawati setiap enam bulan bagi memastikan sirosis beliau tidak bertambah teruk atau berkembang ke kanser hati.  

Kisah 2:

Puan Siti Zubaidah diberitahu bahawa beliau mempunyai enzim hati yang tidak normal ketika ujian darah rutin yang dijalankan. Faktor risiko beliau adalah menerima pemindahan darah pada tahun 1983 akibat komplikasi melahirkan anaknya. 

Ekoran saringan hepatitis yang dijalankan, beliau didapati menghidapi Hepatitis C. Sehubungan itu, doktor menjalani imbasan khas (fibroscan) untuk menguji tahap hati Puan Siti Zubaidah dan mendapati beliau menghidapi sirosis. 

Berhadapan dengan ketakutan dan kerisauan, beliau menerima rawatan yang diperlukan dan berjaya pulih daripada Hepatitis C dalam tempoh 3 bulan setelah mengambil ubat-ubatan oral. Puan Siti Zubaidah tidak mengalami sebarang kesan sampingan dan berupaya melupakan perasaan tidak tenteram yang menghimpit dirinya. 

Puan Siti Zubaidah menerusikan rawatan susulan bersama Dr Rosmawati setiap enam bulan. Ujian yang dijalankan menunjukkan bahawa keadaan parut pada hatinya kian pulih. Beliau berasa amat gembira dan kini berada pada landasan yang baik untuk pulih.

Puan Siti Zubaidah amat gembira kerana berada pada landasan untuk pulih.

Dr Rosmawati menasihati orang ramai yang mempunyai satu atau lebih faktor risiko untuk membuat saringan kesihatan bagi keselamatan dan kesejahteraan diri mereka. 

Memandangkan ujian Hepatitis C tidak tersedia di seluruh dunia sehingga awal tahun 1990-an, beliau menggesa agar rakyat Malaysia yang telah mendapat pemindahan darah sebelum tahun 1994 untuk menemui doktor terdekat bagi mendapatkan ujian Hepatitis C kerana tiada mekanisme saringan penyakit itu sebelum tahun berkenaan. 

Walaupun penambahbaikan daripada aspek kebersihan di pusat-pusat tatu termasuk penggunaan jarum baru bagi setiap pelanggan kebelakangan ini, Dr Rosmawati mengesyorkan agar orang ramai membuat kajian sebelum mengunjungi pusat tatu bagi memastikan standard optimum diamalkan. 

Berkongsi Maklumat Boleh Membawa Perubahan 

Hepatitis memberi kesan kepada lebih 325 juta individu di seluruh dunia. (2) Pada peringkat global, 90% penghidap Hepatitis B dan 80% pesakit Hepatitis C tidak sedar bahawa mereka mengalami penyakit tersebut. (3) 

Ini merupakan contoh tidak berkongsi sesuatu boleh membantu menyelamatkan nyawa. 

Kongsikan maklumat bagaimana untuk mencegah, merawat, menyembuhkan dan menguruskan hepatitis. Layari www.whennotsharingiscaring.com, satu laman web pendidikan berkenaan penyakit hepatitis oleh Viatris yang bertujuan untuk menyampaikan maklumat, mendidik dan memperkasakan pesakit agar menjaga kesihatan diri mereka dengan berbincang dengan penjaga kesihatan mereka untuk menjalani ujian dan rawatan berkenaan penyakit tersebut. 

“Di Viatris, misi kami adalah untuk memperkasakan orang ramai di seluruh dunia untuk menjalani kehidupan lebih sihat pada setiap peringkat usia. Kami komited untuk memainkan peranan bagi meningkatkan kesedaran awam bagi menangani stigma, meningkatkan pengetahuan mereka, di samping menjalin kerjasama erat dengan penjaga kesihatan bagi membantu mencapai matlamat WHO untuk menghapuskan hepatitis menjelang tahun 2030,” kata Jeff Bote, Pengurus Negara Viatris Malaysia and Brunei.


(1) NATIONAL STRATEGIC PLAN FOR HEPATITIS B AND C 2019 - 2023

(2) https://www.who.int/health-topics/hepatitis#tab=tab_1

(3) https://healthunit.org/media/2020-archive/world-hepatitis-day/


Kandungan ini disediakan oleh Viatris Malaysia.

Berminat untuk menyiarkan pengumuman anda di Malaysiakini? Hubungi kami di [email protected] atau WhatsApp di talian +60 17-323 0707 untuk sebarang pertanyaan.