Skip to main
Logo Malaysiakini

MOSTI dan ASM bangunkan Sistem Pengawasan STIE Trend Watch bagi menambahbaik peratusan penyelidik

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi  (MOSTI) bersama Akademi Sains Malaysia (ASM) kini sedang membangunkan  Sistem Pengawasan STIE Trend Watch. Ia sebagai salah satu usaha bagi  meningkatkan jumlah penyelidik di sektor industri yang ketika ini hanya mempunyai  15.83 peratus penyelidik.  

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Dato’ Sri Dr. Adham bin Baba berkata, “Menerusi sistem pengawasan data secara real-time ini, bakat STEM negara dapat  dipantau dan dipertingkatkan bagi memenuhi inisiatif-inisiatif berkaitan. Ini dijangka  memenuhi sasaran peningkatan 10 hingga 15 peratus jumlah penyelidik dalam sektor  industri menjelang 2030.” 

Beliau berucap semasa majlis Penganugerahan Felo Akademi Sains Malaysia dan  Pengiktirafan Top Research Scientists Malaysia (TRSM) 2022 di ibu negara. 

Tambah beliau, “Selain daripada itu, sistem berkenaan sekali gus dapat memperkasa  institut penyelidikan awam dan organisasi penyelidikan berkaitan kerajaan (GLRO)  untuk menjadi perantara inovasi yang efektif bagi menghubungkan penyelidik di  institut pengajian tinggi dan industri. Justeru, saya menyeru agar semua pihak  menggembleng tenaga dan menyokong insiatif yang diterajui ASM ini.” 

MOSTI turut menggesa agar ASM mempergiatkan usaha untuk menarik pakar dalam  sektor industri untuk diiktiraf sebagai Felo atau Top Research Scientists Malaysia. Pencalonan individu daripada sektor industri akan membolehkan MOSTI dan ASM  menggerakkan penglibatan mereka dalam pembangunan negara dengan lebih aktif  dan berkesan. 

YB Dato’ Sri Dr. Adham bin Baba turut menyampaikan Penganugerahan Felo Akademi Sains Malaysia kepada dua Felo Kanan dan 39 Felo serta pengiktirafan  kepada 29 TRSM pada majlis ini. Sehingga kini, ASM mempunyai sejumlah 28 Felo  Kanan, 425 Felo dan 148 TRSM. 

Turut hadir Ketua Setiausaha MOSTI, YBhg. Datuk Ts. Dr. Hj. Aminuddin Hassim; Presiden Akademi Sains Malaysia merangkap Penasihat Sains, Teknologi dan Inovasi  Negara, YBhg. Profesor Emerita Datuk Dr. Asma Ismail; dan Ketua Pegawai Eksekutif  Akademi Sains Malaysia, Puan Hazami Habib.  

Untuk membaca lebih lanjut mengenai Felo Akademi Sains Malaysia dan Top  Research Scientists Malaysia 2022, sila layari  https://www.akademisains.gov.my/experts/.


Kandungan ini disediakan oleh Akademi Sains Malaysia.

Berminat untuk menyiarkan pengumuman anda di Malaysiakini? Hubungi kami di [email protected] atau WhatsApp di talian +60 17-323 0707 untuk sebarang pertanyaan.