Skip to main
Logo Malaysiakini

MOSTI galak kaedah pembelajaran subjek STEM dengan pendekatan lebih kreatif dan inovatif

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menggalakkan kaedah pembelajaran subjek sains, teknologi, kejuruteraan  dan matematik (STEM) agar dilakukan dengan pendekatan yang lebih kreatif dan inovatif. Usaha berkenaan penting bagi memastikan Malaysia melahirkan lebih ramai pereka cipta berkualiti pada masa akan datang serta lebih ramai inovator tempatan yang mampu memacu ekonomi negara berasaskan inovasi. 

Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba, “Negara-negara maju mengamalkan pendekatan pembelajaran melalui experiential  learning dan hands-on learning dari peringkat awal pendidikan. Pembelajaran STEM  perlulah mengaplikasikan konteks dunia sebenar dan menggunakan pendekatan penerokaan terbuka.” 

Beliau berkata demikian dalam ucapannya di peringkat akhir Pertandingan National Science Challenge 2022 Piala Pusingan YAB Perdana Menteri anjuran Akademi Sains Malaysia (ASM). 

 

Tambah Dato’ Sri Dr. Adham, “Antara bidang fokus yang dilihat mampu menjadi game changer kepada negara ialah cetakan 4D/5D, Teknologi Biosains serta blockchain seperti yang dinyatakan di dalam Rangka Kerja 10-10 Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi Malaysia (10-10 MySTIE). Penguasaan bidang secara fokus dan spesifik ini boleh dijadikan sebagai katalis dalam perkembangan teknologi seperti Internet of Things, Big Data, Virtual Reality dan Augmented Reality yang amat diperlukan dalam dunia pekerjaan pada masa hadapan selari dengan ledakan teknologi IR 4.0.” 

Data daripada Pusat STEM Negara menunjukkan bahawa pada tahun 2022, bilangan  pelajar dalam bidang STEM kini berada pada kadar 47 peratus, manakala hanya sebanyak 19 peratus sahaja yang mengambil jurusan Sains Tulen. Justeru itu, dalam  usaha menjadikan pendidikan STEM menarik, adalah penting untuk melibatkan kerjasama pelbagai pihak. Sebagai contoh, pihak sekolah boleh memupuk jalinan kerjasama dengan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan syarikat-syarikat swasta  bagi menarik minat para pelajar terhadap STEM.

National Science Challenge anjuran ASM telah diadakan sejak tahun 1999. Pada tahun ini sejumlah 3,895 pasukan telah berdaftar merangkumi 11,685 pelajar daripada seluruh Malaysia di Peringkat Awal. Pemenang bagi NSC 2022 adalah SMJK Jit Sin  Pulau Pinang. Naib juara adalah Cempaka International School Damansara. Tempat ketiga; SMK Ave Maria Convent Perak, keempat; Pusat Genius @ Pintar Negara dan kelima; SMK Methodist Sibu. 

Pemenang bagi National Science Challenge 2022 menerima Piala Pusingan Cabaran YAB Perdana Menteri, komputer riba, lawatan sambil belajar ke Jepun, Biasiswa Pendidikan ASM-NSC dan sijil pencapaian. Manakala, semua finalis yang lain akan menerima gajet IT, Biasiswa Pendidikan ASM-NSC dan sijil pencapaian. 

Manakala beberapa kategori lain turut diberikan iaitu Anugerah Kimia Terbaik (Cheng Weng Yee, SMJK Chan Wa), Anugerah Biologi Terbaik (Muhammad Azfar Haqeem Hipeni, SMK Agama Tun Ahmad Zaidi), Anugerah Matematik Terbaik (Putri Nur  Raudhah Azli, SMKA Segamat), Anugerah Fizik Terbaik (Nura Afiqah Azlan, SMK Agama Tun Ahmad Zaidi), Anugerah Komunikator STEM Terbaik (Wong Ching Wen, Pusat Genius @ Pintar Negara), Anugerah Sekolah Hijau dan Anugerah Inovasi  Terbaik (Pusat Genius @ Pintar Negara).


Kandungan ini disediakan oleh Akademi Sains Malaysia.

Berminat untuk menyiarkan pengumuman anda di Malaysiakini? Hubungi kami di [email protected] atau WhatsApp di talian +60 17-323 0707 untuk sebarang pertanyaan.