Skip to main
Logo Malaysiakini

Suplemen Protein: Fad atau Essential?

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kira-kira satu pertiga rakyat Malaysia mempunyai tabiat mengambil vitamin/mineral dan suplemen makanan¹ (termasuk yang tanpa preskripsi daripada ahli profesional kesihatan) untuk kesihatan dan mencapai diet yang lebih lengkap dan seimbang. Walaupun suplemen seperti Vitamin C, Minyak Ikan atau Multivitamin adalah paling popular di kalangan rakyat Malaysia1, Protein juga semakin popular kebelakangan ini.

Betapa pentingnya protein?

Bila kita fikirkan protein, kebanyakan akan mengaitkannya dengan bina badan, kecergasan dan sukan. Ini adalah persepsi yang sangat biasa kerana protein memainkan peranan penting dalam membina otot kita.

Namun, selain daripada pembinaan otot, Protein juga penting untuk pelbagai fungsi badan. Biasanya dikenali sebagai "Blok Binaan Kehidupan" dalam dunia dietetik, asid amino protein membantu menghasilkan dan membaiki sel dan tisu badan kita, menyokong penyembuhan dan pemulihan, mengawal pelbagai fungsi metabolik badan, dan menyokong sistem imun kita kerana asid amino juga membantu menghasilkan sel darah putih, antibodi dan antioksidan².

Malah, jika badan kita mengalami kekurangan protein secara berterusan, ia boleh mempercepatkan kehilangan otot, dan juga menyebabkan masalah lain seperti keletihan, lemah, rambut menipis, kuku rapuh, kulit kering, jangkitan atau jatuh sakit secara lebih kerap, dan mengalami kadar penyembuhan atau pemulihan yang lemah dan lambat.

OK, jadi berapa banyak protein kita perlukan?

Jumlah protein diperlukan seseorang individu bergantung pada umur, berat, jantina, status kesihatan dan tahap aktiviti fizikal seseorang individu.

Walau bagaimanapun, sebagai garis panduan umum, menurut MRNI (Recommended Nutrient Intake of Malaysia), orang dewasa sihat setiap hari seharusnya dapatkan 1 gram protein bagi setiap kilogram berat badan.

Ini bermakna, jika badan berat anda 50KG, anda seharusnya mengambil 50 gram protein setiap hari, atau sekurang-kurangnya 80% daripadanya. Dan jika anda seorang dewasa yang lebih tua atau warga emas (berumur 50 tahun ke atas), atau mengamalkan gaya hidup aktif dengan aktiviti fizikal tinggi, anda juga memerlukan pengambilan protein seharian yang lebih tinggi.

Visual 1: Keperluan am protein berdasarkan Cadangan Pengambilan Nutrien Malaysia (MRNI)

Tahukah anda? Badan manusia tidak menyimpan protein untuk jangka masa yang lama. Protein berbeza dengan karbohidrat atau lemak, di mana lebihan karbohidrat atau lemak akan bertukar menjadi gula dan akhirnya berat badan berlebihan jika kurang digunakan oleh badan, protein sebaliknya digunakan oleh badan untuk sel, tisu, dan pelbagai fungsi badan kita secara berterusan sepanjang masa. Inilah sebabnya kita perlu mengambil protein yang mencukupi setiap hari.

Tetapi, bukankah protein senang didapati daripada makanan kita?

Walaupun kita seharusnya mengamalkan diet seimbang, lengkap dan sihat untuk memperoleh zat dan nutrien diperlukan, tabiat ini bukannya mudah terutamanya dalam gaya hidup moden kita yang sibuk dan pantas. Oleh itu, kebanyakan kita menggunakan suplemen.

Tambahan pula, sebagai orang Asia, diet kita kerap mengandungi karbohidrat yang agak tinggi disebabkan nasi dan mee merupakan makanan ruji kita. Ini juga merupakan salah satu sebab utama kenapa kita kerap gagal mendapatkan protein yang mencukupi daripada makanan atau diet harian kita.

Mari kita melihat makanan kegemaran negara kita di bawah, anda akan menyedari bahawa makanan kita biasanya mengandungi karbohidrat tinggi tetapi kandungan protein yang rendah.

Visual 2: Kandungan karbohidrat dan protein makanan kegemaran Malaysia

Oleh itu, ia agak mencabar untuk memperoleh protein secukupnya disebabkan kandungan karbohidrat agak tinggi di diet harian kita.

Ini menjelaskan kenapa suplemen kadang-kala diperlukan dan berguna. Contohnya, Vitamin C. Kebanyakan kita kerap mengambil suplemen Vitamin C untuk sistem imun kita, walaupun kita sebenarnya boleh mendapatkan Vitamin C daripada pelbagai buah-buahan dan sayur-sayuran. Jadi, kita juga boleh menggunakan suplemen protein untuk memenuhi keperluan protein seharian kita.

Suplemen protein

Terdapat pelbagai jenis suplemen protein di pasaran sekarang, biasanya dalam bentuk cecair atau serbuk, berperisa atau tidak berperisa. Jika protein merupakan satu-satunya nutrien yang diperlukan seseorang individu, maka Suplemen Modular Protein merupakan pilihan yang lebih baik.

Suplemen modular protein hanya terdiri daripada protein sahaja sebagai satu-satunya bahan utama, dan biasanya satu jenis sumber protein sahaja (contohnya, Protein Whey atau Protein Soya). Suplemen modular protein kebanyakan tidak berperisa, tidak mengandungi gula tambahan atau bahan-bahan lain di dalamnya. Jadi, senanglah jika ingin tambahkan protein ke dalam minuman atau makanan kegemaran tanpa mengubah rasa atau tekstur, agar tidak perlu membuat perubahan besar di tabiat makanan atau diet.

Visual 3: Biasanya suplemen modular protein yang tidak berperisa seperti Suplemen Modular Protein Whey Konsentrat (Whey Protein Concentrate) membolehkan pengguna mencampur dengan minuman atau makanan pilihan bagi memenuhi keperluan protein harian.

Suplemen Modular Protein berbeza daripada Minuman Berprotein Tinggi atau Susu Dewasa. Fungsi Suplemen Modular Protein serupa kebanyakan suplemen vitamin/mineral seperti Vitamin C, Minyak Ikan, Kalsium di mana ia mengandungi satu bahan utama sahaja, iaitu Ekstrak Protein. Ini memberikan pengguna kebebasan jika seseorang hanya perlu sesuatu jenis khasiat atau zat sahaja, seperti Vitamin C. Ini juga boleh mengelakkan khasiat dan kalori berlebihan. Contoh biasa suplemen modular protein ialah Whey Protein Concentrate atau Isolate.

Sebaliknya, Minuman Protein Tinggi (iaitu Protein Shake) biasanya mengandungi bahan-bahan lain atau campuran sumber protein yang berbeza (whey, soya, kacang dan sebagainya). Biasanya berperisa dan boleh diminum begitu sahaja, ia boleh menjadi pengganti makanan kerana bukan sahaja mengandungi protein, tetapi juga bahan dan nutrien lain seperti karbohidrat, lemak, serat, vitamin, mineral dan sebagainya.  Ia berfungsi seperti multivitamin atau formula pemakanan lengkap.

Apa lagi yang kita perlu perhatikan?

Ambil suplemen protein secara sederhana, sama sebagaimana anda mengambil vitamin anda. Baca label produk suplemen secara teliti, dan sebelum memulakan sebarang suplemen, dapatkan nasihat ahli profesional kesihatan seperti ahli farmasi, doktor ataupun dietitian (pakar dietetik).

Di kalangan pakar dietetik, Protein merupakan salah satu Makronutrien: nutrien (zat) utama yang diperlukan oleh badan manusia dalam kuantiti yang besar (oleh itu, Makro-) setiap hari. Malah, nama *PROTEIN* berasal daripada perkataan bahasa Yunani “proteios”, yang bermaksud “utama” atau “tempat pertama”.

Oleh itu, jika anda sudah pun mengambil vitamin setiap hari untuk kesihatan anda, anda boleh pertimbang menggunakan Suplemen Protein selepas memperolehi nasihat daripada ahli profesional kesihatan.

Rujukan:

¹ Prevalence and Characteristics of Dietary Supplement Users in Malaysia: Data From the Malaysian Adult Nutrition Survey (MANS) 2014. Global Journal of Health Science. Vol. 10, No. 12 (2018). DOI: 10.5539/gjhs.v10n12p127

² Guoyao Wu. Food Funct 2016, Vol 16. Dietary protein intake and human health. DOI https://doi.org/10.1039/C5FO01530H


Artikel ini ditulis oleh Cik Siti Faihah Shamshul, pakar dietetik Persatuan Dietitian Malaysia (MDA).