Skip to main
Logo Malaysiakini

National Science Challenge 2023: Cabaran Menghadapi Sekuriti Makanan Negara

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

KUALA LUMPUR, 31 Mac 2023 – ‘Cabaran Menghadapi Sekuriti Makanan Negara’ merupakan tema National Science Challenge (NSC) 2023 anjuran Akademi Sains Malaysia (ASM). Pertandingan ini dibuka untuk pendaftaran kepada semua pelajar warganegara Malaysia di seluruh negara berumur 13-16 tahun (Tingkatan 1 hingga Tingkatan 4) dari sekolah awam, swasta dan antarabangsa bermula 1 April 2023 hingga 31 Mei 2023. Pertandingan ini adalah salah satu program yang menyokong inisiatif Minggu Sains Negara 2023.

NSC telah diperkenalkan sejak tahun 1983 sebagai kuiz sains yang diedarkan kepada sekolahsekolah di Malaysia. Pada tahun 1999, ASM mengambil alih peranan sebagai penganjur NSC di mana program ini telah menjadi salah satu pertandingan sains kebangsaan yang memberikan cabaran berasaskan standard yang tinggi kepada pelajar sekolah menengah. NSC terbukti sebagai salah satu program ASM yang memupuk minat pelajar dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif ASM, Puan Hazami Habib. “Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bersama ASM telah dimandatkan oleh Kerajaan untuk menggubal Pelan Tindakan Kesihatan Planet Negara (PTKPN). Isu sekuriti makanan juga mempunyai hubung kait dalam konsep Kesihatan Planet. Justeru, tema kali ini dipilih untuk mendorong pelajar untuk meneroka isu-isu terkini dalam bidang pertanian dan makanan serta memberikan penyelesaian inovatif untuk mengatasi cabaran yang dihadapi dalam industri makanan.”

“NSC memberikan peluang kepada para pelajar menunjukkan kebolehan mereka dalam bidang STEM dengan memaparkan pengetahuan dan kreativiti bagi menghasilkan penyelesaian yang inovatif. Adalah diharapkan idea-idea segar oleh setiap pasukan mampu mengatasi isu sekuriti makanan sekaligus membantu memperbaiki sektor pertanian dan makanan di Malaysia di masa akan datang,” tambah beliau.

NSC 2023 menggalakkan semua sekolah menghantar lebih daripada satu pasukan. Setiap pasukan hendaklah terdiri daripada tiga (3) orang pelajar dan seorang guru mentor. Setiap pasukan akan bersaing di Peringkat Awal untuk menjawab kuiz dalam talian yang menguji pemahaman mereka tentang pelbagai topik berkaitan sains termasuk biologi, fizik, kimia, serta matematik. Seterusnya, 5 pasukan terbaik dari semua negeri akan dipilih ke Peringkat Negeri di mana mereka perlu membuat pembentangan video. Memasuki peringkat Separuh Akhir, 20 pasukan akan dinilai dengan lebih teliti melalui boot camp dan pembentangan idea prototaip mengikut tema tahunan NSC. Lima pasukan terbaik akan dipilih ke Peringkat Akhir, di mana mereka akan dikehendaki manjawab kuiz dan melakukan pembentangan prototaip yang akan dinilai oleh juri profesional.

Pasukan yang bergelar juara akan membawa pulang Piala Pusingan YAB Perdana Menteri berserta lawatan sambil belajar ke luar negara. Semua peserta juga akan menerima sijil penyertaan dan markah Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) Peringkat Kebangsaan. NSC 2023 mendapat sokongan daripada rakan kongsi strategik Young Scientists Network-Akademi Sains Malaysia (YSN-ASM), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Sasbadi Online Sdn Bhd. Borang pendaftaran dan maklumat lanjut boleh diakses di www.nsc.my.


Kandungan ini disediakan oleh Akademi Sains Malaysia.