Skip to main
Logo Malaysiakini

KOPETRO sumbang 450 pek makanan di masjid sekitar Kuala Lumpur dan Segamat

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

KUALA LUMPUR, 31 Mac 2023 - Bersedekah adalah salah satu amalan yang signifikan dalam agama Islam dan dijanjikan ganjaran, terutamanya ketika bulan Ramadan yang penuh keberkatan. Koperasi Kakitangan PETRONAS Berhad (KOPETRO) mengambil kesempatan di bulan mulia ini untuk bersedekah dengan mengagihkan pek makanan di beberapa masjid dan surau sekitar kawasan ini dan Segamat, Johor, semalam.

KOPETRO melalui anak syarikatnya, KOPETRO Retail & Services (KOPETRO Retail) mengedarkan lebih 450 pek makanan kepada masjid dan surau berdekatan dengan kawasan stesen minyak milik mereka. KOPETRO Retail yang mengoperasikan stesen minyak AU2 Keramat, stesen minyak Buluh Kasap dan stesen minyak Mukim Sermin memilih beberapa lokasi di kawasan berkenaan seperti Surau Al-Mukarramah di Taman Keramat, Masjid Kampung Gelang Cincin serta Masjid Jamek Segamat untuk edaran makanan.

Agihan juadah berbuka puasa di masjid sekitar stesen minyak Mukim Sermin, Segamat, Johor

Ketua Pegawai Eksekutif KOPETRO, Ahmad Shakir Ahmad Ubaidah berkata, sumbangan ini disampaikan kepada masjid dan surau berkenaan untuk membina hubungan yang baik dengan masyarakat setempat selain mempromosikan perniagaan KOPETRO di kawasan sekitarnya.

Agihan juadah berbuka puasa di Surau Al-Mukarramah, AU2, Keramat, Kuala Lumpur

“KOPETRO mengambil peluang untuk beramal di bulan Ramadan ini dengan menyampaikan sumbangan makanan ini kepada masjid dan surau yang terlibat di samping mengukuhkan lagi ukhuwah dengan penduduk setempat.” ujar Ahmad Shakir.

Tambahnya, sebanyak 200 pek makanan juadah berbuka puasa disampaikan kepada Masjid Jamek Segamat, 150 pek makanan kepada Masjid Kampung Gelang Cincin dan 100 pek makanan kepada Surau Al-Mukarramah untuk dinikmati oleh mereka yang mengunjungi tempat-tempat ibadat tersebut.

Sumbangan juadah Iftar ini adalah salah satu komitmen Tanggungjawab Sosial Korporat KOPETRO untuk berbakti kepada orang ramai dan menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat. Oleh itu, pelbagai program seumpama ini akan dijalankan oleh KOPETRO sepanjang tahun 2023.


Kandungan ini disediakan oleh Koperasi Kakitangan PETRONAS Berhad.