Kementerian Sumber Manusia Umum National Training Week (NTW) 2023
Putrajaya, 17 April 2023 – Kementerian Sumber Manusia (KSM) mengumumkan Minggu Latihan Kebangsaan atau National Training Week (NTW) 2023 pada hari ini dalam sebuah majlis yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Tuan V. Sivakumar, Menteri Sumber Manusia bersama Yang Berhormat Dato’ Seri Mohamed Khaled bin Nordin, Menteri Pendidikan Tinggi.
Diterajui oleh Human Resource Development Corporation (HRD Corp), sebuah agensi di bawah KSM, NTW merupakan minggu kesedaran latihan besar-besaran yang menghimpunkan pelbagai pihak, organisasi serta individu dari pelbagai latar belakang dan industri untuk mewujudkan peluang pembelajaran dan pembangunan kemahiran yang lebih luas menerusi penganjuran program-program dan aktiviti-aktiviti latihan yang meliputi pelbagai topik dan bidang kemahiran secara percuma oleh organisasi Malaysia untuk rakyat Malaysia.
NTW 2023 yang akan berlangsung pada 22 Mei hingga 28 Mei di seluruh negara bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan latihan serta bagi memupuk budaya pembelajaran sepanjang hayat di kalangan rakyat Malaysia. Bagi memastikan keberkesanan usaha NTW dapat dicapai dengan meluas dan berpanjangan, NTW akan menglibatkan pelbagai kementerian dan agensi, pemain industri, individu, persatuan industri, golongan akademik serta penyedia latihan.
Kementerian menjangkakan NTW 2023 untuk menarik lebih 5,000 jurulatih dan kolaborator yang akan menyampaikan lebih 5,000 kursus latihan, melatih sehingga 125,000 peserta dan merekodkan lebih 500,000 jam dengan anggaran kos latihan bernilai lebih RM250 juta. Kerajaan juga sedang mempertimbangkan untuk menjadikan NTW sebagai acara tahunan yang akan memberi manfaat kepada lebih ramai rakyat Malaysia pada masa hadapan.
Bercakap ketika pengumuman tersebut, Yang Berhormat Tuan V. Sivakumar berkata, modal insan merupakan sumber penting untuk membolehkan pertumbuhan ekonomi yang konsisten dan berterusan untuk negara.
“Ketidakpadanan kemahiran akan menghalang pertumbuhan ini. Oleh itu, kita mesti menangani jurang tersebut dengan cara yang bermakna, ketara dan memberi kesan. NTW adalah inisiatif terbaik yang dapat menzahirkan matlamat tersebut. Untuk itu, saya menggesa semua pihak, dari organisasi multinasional kepada Perusahaan Kecil Sederhana (PKS), penyedia latihan, jurulatih individu serta institusi pendidikan dari universiti hingga pusat TVET, agar menyokong NTW 2023,” katanya.
Yang Berhormat Dato’ Seri Mohamed Khaled bin Nordin berkata, “Dalam dunia hari ini, mempunyai kelayakan asas atau ijazah pertama sahaja sudah tidak mencukupi. Ini kerana kita mempunyai jumlah graduan yang semakin ramai dan kompetitif. Justeru itu, politeknik dan kolej-kolej komuniti di bawah KPT di seluruh negara akan menawarkan pelbagai kursus dan latihan jangka pendeknya secara percuma kepada semua yang berminat sepanjang NTW 2023.”
Ketika pengumuman itu, kedua-dua menteri turut melancarkan portal NTW 2023 yang akan menampilkan semua kursus percuma yang ditawarkan sepanjang minggu berkenaan. Pihak yang berminat boleh melayari www.nationaltrainingweek.gov.my untuk mengetahui lebih lanjut dan mendaftar mana-mana kursus yang ditawarkan. Kursus-kursus ini akan dijalankan melalui pembelajaran bersemuka, dalam talian atau secara hibrid di samping merangkumi pelbagai kemahiran insaniah dan teknikal menerusi latihan, bimbingan, fasilitasi dan pembelajaran.
Kursus-kursus tersebut disasarkan kepada rakyat Malaysia dari semua peringkat umur dan lapisan masyarakat, bermula daripada kanak-kanak prasekolah dan sehingga warga emas. Pemain industri juga dijemput untuk menjalankan pelbagai aktiviti sampingan lain yang menjurus kepada pembelajaran dan pembangunan kemahiran seperti pertandingan kemahiran, gerai pameran, pameran kerjaya dan temu duga terbuka, bimbingan dan ujian kerjaya, serta sesi rangkaian di seluruh negara untuk menyokong NTW.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai