Skip to main
Logo Malaysiakini

KOPETRO jalin kerjasama strategik dengan Gading Kencana, perintis sektor tenaga boleh diperbaharui

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Putrajaya, 26 Jun 2023 - Koperasi Kakitangan PETRONAS Berhad (KOPETRO), melalui anak syarikatnya, KOPETRO Trading Sdn. Bhd. menjalinkan kerjasama strategik bersama Gading Kencana Sdn Bhd, sebuah syarikat ternama di dalam sektor tenaga boleh diperbaharui di Malaysia, dalam majlis penyerahan Memorandum Persefahaman (MoU) yang diadakan di Hotel The Everly, di sini, kelmarin.

Gading Kencana merupakan syarikat perintis dalam sektor tenaga boleh diperbaharui, ditubuhkan pada tahun 1993. Sejak penubuhannya, Gading Kencana telah berkembang dengan pesat dalam pasaran lampu solar, sistem solar photovoltaic (PV), selain turut memperkenalkan perkhidmatan lain seperti audit tenaga, perundingan alam sekitar, pembangunan ladang solar berskala besar, loji kuasa mini hidro dan stesen cas kenderaan elektrik (EV) bertenaga solar.

Menurut Pengerusi KOPETRO, Roslan Abdul Rahim, kerjasama yang diadakan bersama syarikat perintis sektor tenaga boleh diperbaharui ini bertujuan untuk menggalakkan penggunaan penyelesaian tenaga bersih dan lestari seperti kuasa solar, sejajar dengan usaha global untuk mengawal impak perubahan iklim dan beralih kepada sumber tenaga boleh diperbaharui.

“Kerjasama ini akan memanfaatkan kepakaran Gading Kencana sebagai pakar tenaga boleh diperbaharui yang akan menyokong KOPETRO dalam mempromosikan inisiatif Skim Sistem Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) 3.0 di Malaysia melalui jenama produk Solar Rakyat kepada anggota koperasi. Pemeteraian persefahaman ini juga adalah untuk meningkatkan kesedaran dan memudahkan pemasangan sistem solar PV di kalangan anggota KOPETRO,” kata Roslan.

Upacara penyerahan MoU tersebut menyaksikan Wan Ahmad Tarmizi Wan Abd Rahman, selaku Pengerusi KOPETRO Trading Sdn. Bhd., bertukar dokumen MoU dengan Dato' Ir. Muhamad Guntor Mansor Tobeng, Pengarah Urusan Gading Kencana.

Perjanjian KOPETRO dan Gading Kencana ini memberi kemudahan kepada lebih 15,000 anggota koperasi tersebut untuk memasang sistem solar PV; sistem yang menghasilkan arus elektrik daripada kuasa solar, dan menggalakkan anggota koperasi beralih ke tenaga suria sebagai penyelesaian, sekaligus mengurangkan penggunaan tenaga elektrik dan kos sumber tenaga tradisional.

(Stesen Jana Kuasa Solar 30 MW Gading Kencana di Bidor, Perak)

Ditubuhkan lebih 40 tahun yang lalu, KOPETRO dianggotai lebih 15,000 kakitangan PETRONAS dan anak-anak syarikatnya, diiktiraf sebagai 10 Koperasi Terbaik di seluruh Malaysia. KOPETRO juga menerima anugerah Jenama Terbaik The BrandLaureate SMEs BestBrands Award bagi kategori Riadah - Solusi Percutian dan Pelancongan pada tahun 2022.

KOPETRO turut merangkul dua anugerah berprestij pada tahun 2020 iaitu anugerah oleh The BrandLaureate bagi kategori SMEs Bestbrands e-Branding Awards dan juga Lang International Corporate Titan Awards – Cooperative Icon of The Year 2020.

Baru-baru ini, KOPETRO melancarkan platform dalam talian yang dikenali sebagai proLindung, yang membolehkan pengguna memperbaharui cukai jalan dan takaful kenderaan mereka dengan lebih mudah, cepat dan selamat. Sebagai tarikan, KOPETRO menawarkan diskaun sebanyak RM50 kepada 50 pelanggan pertama yang mendapatkan cukai jalan dan takaful kenderaan melalui laman web www.proLindung.com.my.

Selain Keanggotaan dan Servis Kewangan, KOPETRO juga terlibat di dalam bidang Pelancongan dan Riadah, Makanan dan Minuman juga Perdagangan dan Servis Peruncitan, dan perkhidmatan pajak gadai patuh syariah, ArRahnukita, yang diceburi sejak tahun 2021.

Untuk maklumat lanjut mengenai KOPETRO, layari www.kopetro.com.my atau ikuti akaun media sosial @kopetroberhad di Facebook, Instagram, Youtube dan Twitter.


Kandungan ini disediakan oleh Koperasi Kakitangan PETRONAS Berhad (KOPETRO)