Perkongsian rumah untuk menyokong keluarga: Empat rakyat Malaysia berkongsi kisah mereka
Pada bulan Mac 2022, Sarah Othman yang berumur 40 tahun membuat keputusan untuk menyewakan rumahnya di tengah-tengah Kuala Lumpur kepada para pelancong.
Bagi eksekutif pengurusan risiko tersebut, ia bermula sebagai sekadar satu hobi. Sebelum pandemik COVID-19, beliau sering melancong sekurang-kurangnya sekali setahun, terutamanya ke bandar kegemarannya, Hanoi. Namun susulan pandemik, beliau lebih banyak melancong dalam negara bersama keluarganya. Setelah berulang kali memilih penginapan Airbnb sewaktu melancong, terdetik di hati beliau untuk mencuba nasib sebagai Hos Airbnb.
“Pengalaman saya sebagai seorang tetamu semasa melancong telah memberi inspirasi kepada saya untuk berkongsi rumah saya,” katanya. “Saya amat teruja untuk mengehos para tetamu di kediaman saya, dan membawa mereka ke restoran dan kedai-kedai kegemaran di kawasan kejiranan saya!”
Bagi Sarah, perkongsian rumahnya akhirnya menjadi satu sumber pendapatan yang penting. Sungguhpun beliau dan suami mampu menyara keluarga mereka, mereka sedar wang tambahan daripada pengehosan akan memberi kemudahan, khususnya dengan kos sara hidup yang kian meningkat.
Sewaktu kemuncak pandemik, anak perempuannya disahkan menghidap diabetes jenis 1. Malah, Sarah turut mendapati insurans perubatannya tidak cukup untuk menampung kos peralatan yang diperlukan untuk rawatan.
Mujur pendapatan daripada pengehosan bukan sahaja dapat membantu menampung hutang rumahnya, tetapi juga kos rawatan anak perempuannya. “Pendapatan tambahan itu telah membantu meringankan beban kewangan kami, di samping meningkatkan kualiti hidup anak perempuan saya dengan ketara,” kongsinya.
Perkongsian rumah (home sharing) menarik minat ramai orang
Keputusan Sarah untuk menjadi Hos Airbnb bukanlah sesuatu yang luar biasa. Hakikatnya, terdapat ramai rakyat Malaysia seperti Sarah yang turut terbuka dan teruja untuk berkongsi rumah mereka.
Konsepnya sangat mudah, iaitu mereka yang mempunyai ruang tambahan di rumah boleh menawarkan ruang tersebut kepada pelancong yang sedang mencari tempat berteduh. Hos mahupun tetamu akan berpeluang bertemu kenalan baharu, memainkan peranan dalam menyokong komuniti tempatan, serta saling memenuhi keperluan masing-masing dalam ekonomi pelancongan pada keseluruhannya.
Sementara itu, Edwin Wong merupakan pemilik restoran dan homestay yang mengusahakan Dan Garden Bungalow di Melaka bersama keluarganya. Didorong oleh minat keluarganya dalam bidang hospitaliti, Edwin berganding tangan dengan bapanya untuk mereka bentuk dan membina sebuah homestay. Beliau gemar berkongsi tentang kekayaan warisan Melaka serta pelbagai juadah tempatan yang lazat dengan tetamunya.
Pengehosan bukan sahaja membolehkan beliau mengejar minatnya, malah pendapatan yang terjana dapat membantu menampung hutang rumah dan perbelanjaan keluarganya. “Pengehosan sangat serasi dengan keluarga kami serta apa yang kami suka lakukan,” ujarnya.
Nor Hafiza, 39 tahun, ialah seorang suri rumah dan ibu kepada empat cahaya mata. Tahun lalu, beliau mengambil keputusan untuk berkongsi rumahnya di pinggir Kuala Lumpur. Hos Airbnb itu berkata, “Tidak pernah terlewat untuk mempelajari sesuatu kemahiran baru. Perkongsian rumah telah mengajar saya cara berkomunikasi yang lebih baik, serta cara memasarkan ruang saya! Selain itu, hubungan saya dengan keluarga kini lebih rapat kerana mereka sama-sama membantu saya menguruskan rumah tersebut. Saya menikmati setiap minitnya!”
Nor membuat sumbangan tetap kepada keluarga-keluarga tempatan yang memerlukan serta airbnb.org. Katanya, beliau ingin menyumbang balik kepada masyarakat, dan menyemarakkan semangat lebih ramai wanita dan suri rumah untuk menceburi industri perkongsian rumah dan menjadi usahawan.
Pengehosan yang bertanggungjawab
Berikutan perbincangan tentang penyewaan jangka pendek dalam beberapa tahun kebelakangan ini, ada ramai yang bimbang akan impaknya ke atas rakyat Malaysia sekiranya peraturan baharu mengehadkan perkongsian rumah.
Hos Airbnb seperti Izam dan Zana mengakui perkongsian rumah tidak terpisah daripada tanggungjawab yang penting. Mereka mula menjadi hos apabila menyedari kuasa beli mereka telah menyusut secara mendadak akibat inflasi, lantas mencuba peluang dengan membeli serta memperbaharui studio dalam sebuah kondominium komersial baharu.
Kebetulan ini berlaku pada saat penting dalam hidup mereka, kerana Zana telah meletakkan jawatan sepenuh masanya enam bulan yang lalu bagi menumpukan lebih banyak masa untuk empat anak mereka. Keputusan itu akhirnya membuahkan hasil. “Perkongsian rumah bukan sahaja membantu menampung perbelanjaan harian kami, ia turut menyumbang kepada pendidikan anak-anak kami. Kami dapat melabur lebih banyak dalam pendidikan mereka dan memberi masa depan yang lebih cerah buat mereka,” katanya.
Tambah Izam lagi, “Perkongsian rumah yang bertanggungjawab adalah penting. Kita perlu satu persekitaran yang membudayakan pengehosan yang bertanggungjawab, serta peraturan-peraturan yang membenarkan rakyat Malaysia seperti kami untuk memanfaatkan ekonomi perkongsian. Adalah sangat penting untuk kami menjadi hos dan jiran yang bertanggungjawab, serta membantu memelihara integriti dan keselamatan bangunan dengan mematuhi garis panduan pengurusan tempatan.”
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai