Sepucuk warkah harapan
Saudara,
Warkah ini lewat ditulis. Setelah malam yang dingin memeluk bulan dalam kegelapan, baru tergerak untuk menulis.
Sementara menanti fajar menyingsing yang belum kunjung tiba, sementara menanti tikanya, biarlah kumenulis warkah ini untuk tatapan saudara. Sementara hayat masih ada. Setidak-tidaknya terisi ruang perbaringanku yang panjang ini.
Daripada sekadar merenung langit yang bisu dan menghirup rasa bayu yang mati, maka itu, aku menulis warkah ini untuk saudara yang tidak bernama dan beralamat.
Sudah beberapa pekan kalian berkampung, berpakat dan merapat segala kerenggangan yang ada. Biasalah, adat manusia - rumah siap, pahat berbunyi. Namun jangan dibiarkan lama pahat itu berbunyi.
Seperti juga warkah ini ditulis, meski tiada penerima, tiada alamat yang hendak diserahkan, namun sebagai pemimpin masa hadapan dan harapan bangsa, bacalah dan fahamilah isi warkah ini seperti juga pahat yang berbunyi itu.
Ada pepatah Melayu lama menyebut: seperti Belanda meminta tanah. Pernahkah terfikir mengapa harus Belanda yang disebut? Mengapa tidak Inggeris, Portugis atau Jepun? Sedangkan, mereka semua penjarah dan penjajah.
Yang arif sejarah pasti memahaminya.
Dengarlah juga sejarah lisan orang tua-tua, jangan bergantung pada tulisan sarjana di kota. Mengaji hingga ke seberang benua tetapi berselingkuh dalam kelambu sendiri. Mengajilah daripada juga pujangga sendiri.
Jika tidak, masakan Belanda berkubu di Pangkor, kotanya di Melaka. Begitulah tamaknya Belanda dengan tanah. Tanah melambangkan kuasa.
Rasa dapat menumpang kasih
Inilah warkah kepada para pemimpin yang berkuasa, yang hilang kuasa dan yang mencari kuasa. Belanda, Inggeris, Portugis dan Jepun sudah pulang ke negara sendiri. Kita bersama membina rumah dan negara, bukannya neraka buat kita.
Berhujahlah dengan ilmu pada seterumu. Usah dihimpunkan segala mantera dan jampi sarapah buat penguat hujah. Dan disalut peribahasa, puisi pujangga dan ayat-ayat dari kitab suci agar terelak digelar pengkhianat, petualang atau hilang semangat pengorbanan.
Cis! Banyak sudah skrip drama siasah sebegini yang kubaca. Saudara jangan mudah tertipu atau mengalah pada si penunggang kuda suci ini. Jangan.
Sesekali untung mendengar pantun orang lama kita yang berbunyi:
Pulau Pandan jauh ke tengah,
Gunung Daik bercabang tiga;
Hancur badan dikandung tanah,
Budi yang baik dikenang juga.
Susunan bahasanya indah, makna bait katanya mendalam. Terasa seperti dapat kami menumpang kasih setelah kami bertalak cerai, putus kasih, hilang saudara.
Benarlah guridam P Ramlee menyebut, tiada kata secantik bahasa.
Mengapa bangsa kita dilahirkan sebagai bangsa yang memiliki bahasa yang indah dan jitu? Sama sekali ia bukan sekadar kebetulan. Ada ketentuan dan takdir yang gagal difahami oleh kita.
Bahasa itu jiwa bangsa. Bukankah orang Melayu kaya bidalan, sindiran, pepatah dan sebagainya?
Pukul anak, sindir menantu. Dagang lalu ditanak nasi, suami pulang kelaparan. Baling batu, sembunyi tangan. Menang sorak, kampung tergadai. Kokok berderai-derai, ekor bergelumang tahi dan seribu satu lagi contoh lain.
Tetapi sayang sekali berkasih pada orang tamak, tiada tercatat sebagai simbol kesetiakawanan dalam sejarah bersiasah. Orang tamak, perut dan otaknya hanya berisi mimpinya sendiri.
Jangan sampai roboh rumah
Najis sendiripun dikhabarkan wangi dan berharga. Kentut dan sendawa sendiri pun diwarta sumbangsih pada tanah negeri. Semua mimpinya adalah ngeri bagi kami.
Orang tamak biasanya tidak berparti. Parti yang ada pada tangan tidak sama dengan parti yang diletakkan dalam hati. Bendera dan lagu partinya adalah poket, bebelan dan bisikan kelompok sendiri. Slogan keramatnya dilaungkan di bawah lidah. Setianya hanya pada tembolok dan usus sendiri dan kroni.
Jangan berjanji semasa senang, saat rawan tiba, saudara akan ditinggalkan sendiri. Orang tamak percaya bahawa tiada istilah kasihan dalam bersaudara, apatah lagi dalam bersiasah.
Lawanlah, tentanglah mereka ini tapi jangan sampai rumah roboh.
Kalau sudah sama berumah, sebumbung, selantai, hadaplah secara keluarga. Bijaksana dan bersederhana.
Itupun jika saudara ingin belajar berbahasa pada bangsa, berbudi pada jiwa kami semua. Kita berbudaya, kita juga bersiasah. Aku hanya ingin mengingatkan saudara. Itu sahaja.
Terima kasih.
Pencinta Kedamaian.
DR MUHAIMIN SULAM seorang aktivis politik, pensyarah universiti dan penulis buku serta esei.
Rencana ini tidak semestinya mewakili pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai