Apabila Nik Aziz dibawa bersama
Ada di kalangan masyarakat Melayu yang tidak senang atau kurang selesa apabila pemimpin PAS berkata Allahyarham Nik Aziz Nik Mat pasti gembira dengan kerjasama parti itu dengan Umno yang dimeterai tempoh hari.
Ini kerana lazimnya orang yang sudah meninggal dunia tidak molek dikaitkan dengan 'urusan dunia' khususnya soal politik.
Sehari sebelum Umno dan PAS menandatangani piagam, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata beliau selaku anak saudara Allahyarham Nik Aziz cukup mengenali keinginan bekas murysidul am PAS itu dan penyatuan ummah atau kerjasama kedua-dua parti selaras dengan kehendaknya.
Keesokan harinya , pada sidang media sempena Himpuan Penyatuan Ummah, Presiden PAS Abdul Hadi Awang pula ditanya mengenai perkara itu dan respon beliau senada dengan apa yang disuarakan timbalannya .
Beliau dilaporkan berkata: "Oh ya (Allahyarham Nik Aziz gembira dengan penyatuan PAS - Umno). Taawun ialah satu istilah yang dah sepakat dengan Tok Guru Nik Aziz ."
Kata-kata Hadi dan Tuan Ibrahim agak memeranjatkan sebahagian masyarakat kerana pendirian Allahyarham Nik Aziz berhubung kerjasama dengan Umno memang diketahui umum.
Penulis buku politik dan pemerhati PAS Mohd Sayuti Omar menjelaskan: "Mengenai ‘persetujuan’ Nik Aziz PAS bergabung dengan Umno secara prinsip sebagai seorang Islam yang melihat Umno sebagai parti Melayu memang betul, tetapi dari segi kaedah, syarat syaratnya ia tidak semudah itu."
Kata Sayuti lagi: "Tok Guru pernah bercakap dengan saya sendiri. Allahyarham tidak setuju kalau PAS menyertai BN mahupun Umno kerana serik dengan apa yang berlaku pada 1978 dulu."
(Beliau merujuk kepada PAS yang terpaksa keluar daripada BN yang dipercayai parti itu akibat perbuatan tikam belakang oleh Umno).
Sayuti diketahui umum akrab dengan Allahyarham Nik Aziz.
Imbas kembali semasa Tunku Abdul Rahman memimpin Umno - beliau dan timbalannya Tun Abdul Razak Hussein juga pernah mengadakan pertemuan dengan Dr Burhanuddin al-Helmy yang ketika itu menerajui PAS. Tidak ada hasil signifikan yang dicapai.
Pada 1986, ketika Umno dipimpin Dr Mahahir Mohamad dan Anwar Ibrahim menjadi ketua pemuda, satu muzakarah Umno-PAS diadakan yang antara lain membincangkan soal perpaduan dan masalah dihadapi umat Islam.
PAS pada masa itu dipimpin Allahyarham Yusof Rawa dan Allahyarham Fadzil Noor pula sebagai timbalannya. Namun tidak ada susulan lanjut.
Selepas itu soal perpaduan umat, kerjasama mahupun perdamaian menjadi sepi. PAS dan Umno terus bersengketa.
Bagaimanapun pada 2004, ketika zaman Abdullah Ahmad Badawi menerajui pucuk pimpinan Umno, ada usaha dibuat untuk mengadakan muzakakah untuk mendamaikan kedua-dua parti. Pun begitu usaha itu tidak ke mana.
Pada 2009, semasa Najib Razak menjadi presiden Umno, ketua pemuda Khairy Jamaluddin menulis dalam blognya mencadangkan muzakarah Umno dan PAS diadakan semula. Bagaimapun tidak ada perkembangan selepas itu.
Empat tahun kemudian Khairy sekali lagi membuat cadangan sama, dan sekali lagi tidak menjadi kenyataan. Anehnya pada tahun sama iaitu 2013 PAS menerusi Hadi sendiri mengajak Umno bermuzakarah untuk berbincang soal pentadbiran Islam. Tidak ada apa-apa yang terjadi.
Cakap-cakap mengenai muzakarah terus dilaungkan pada era Najib sehingga 2015. Ia mendapat reaksi PAS seperti biasa tapi hakikatnya ia tidak berlaku.
Bagi beberapa penganalisis politik, cakap-cakap mengenai muzakarah timbul apabila pilihan raya menjelang. Kedua-parti bermain politik dan menggunakan isu muzakarah sebagai modal masing masing.
Dan bagi penganalisis ini, PAS dan Umno melengah-lengahkan keadaan dengan Umno khususnya tidak serius walaupun hampir semua pemimpinnya mendakwa mereka mahu muzakarah diadakan "demi Islam".
Hakikatnya, kata penganalisis politik, ketika Umno berkuasa parti itu tidak benar-benar berminat. Seorang rakan dari ibu pejabat Umno memberitahu saya baru-baru ini bahawa “hikmah” kekalahan Umno pada PRU ke-14 ialah parti itu kini boleh berbaik dengan PAS.
Seorang kawan Facebook menerusi hantarannya berkata dia tidak mahu mempertikai benar atau tidak Tok Guru Nik Aziz merestui perkahwinan Umno-PAS . Katanya “biarlah rakyat yang menentukan”.
Namun, katanya lagi, dia tertanya-tanya kenapa Allahyarham perlu dikaitkan dengan pertemuan bersejarah itu. “Apa nama tuan guru Hadi Awang atau Tuan Ibrahim Tuan Man tidak begitu kuat untuk mengesahkan perkahwinan bani Melayu itu?" soalnya.
Panjang juga huraiannya tetapi saya singkatkan dan memetik barisan hujung yang berbunyi: "Dia ( Allahyarham Nik Aziz ) sudah tiada apa perlu dikhuatiri dan dibimbangi? Apa masih adakah bayang-bayang Tok Guru Nik Aziz yang boleh mengusik kemeriahan di PWTC itu?"
Bekas pengarang The Malaysian Insider Amin Iskandar membuat catatan berikut di Facebook: "Apabila Hadi terpaksa ‘jual nama’ arwah Tok Guru Nik Aziz untuk menghalalkan perbuatannya mengahwinkan PAS dengan Umno bermakna beliau masih belum yakin ia akan diterima ahIi bawahan."
Bukanlah suatu rahsia besar ada di kalangan ahli PAS tidak “berkenan” parti mereka menjalin kerjasama dengan Umno berdasarkan kisah pahit masa lalu.
“Tidak ternafi sentimen pertembungan yang kekal tajam khususnya di Kelantan, Terengganu dan sebahagian negeri kuat PAS," kata ketua pegawai eksekutif agensi kajian dan perunding Ilham Centre Mohd Azlan Zainal.
Kata Azlan lagi: "Di kalangan ahli lama, menerima Umno adalah sesuatu yang mustahil kerana sejarah hitam yang panjang diantara kedua-dua parti."
Baginya PAS seolah-olah “nampak terdesak di kala terpaksa mengeheret nama Tok Gu Nik Aziz” dan ini menurutnya "amat tidak wajar".
Menurut Azlan, memetik dan memanipulasi nama Allahyarham Nik Aziz adalah untuk “merasionalkan permuafakatan” yang dijalin dengan Umno tempoh hari.
PAS tentu tidak setuju dengan semua pandangan dan ulasan yang terhurai itu.
Namun bagi Sayuti, walau apa pun parti itu tidak perlu malah mesti berhenti memanipulasi dan mengeksploitasi nama dan cara Nik Aziz berpolitik “untuk menghalalkan apa pun tindakannya”.
MOHSIN ABDULLAH ialah seorang wartawan tua yang menulis mengenai itu dan ini, di sana dan di sini.
Tulisan ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai