Status hadiah penjawat awam termasuk menteri
Semua penjawat awam (termasuk perdana menteri, menteri dan para pegawai serta ahli keluarganya) dan swasta yang sedang menjalankan tugasan rasmi dan dibayar gaji atas kerja itu, tidak boleh untuk mereka mengambil apa-apa hadiah, derma, sedekah oleh pelanggan atau orang ramai yang disebabkan jawatan yang dipegangnya.
Apa sahaja keuntungan atau pendapat yang masuk ke dalam kekayaan peribadinya dan keluarganya (sebagai proksi) diperolehi dari hasil jawatannya itu adalah dikira haram di sisi Islam dan salah juga menurut undang-undang.
Hatta sekiranya pemberi menyatakan dia ikhlas atau telah menganggapnya sebagai kos operasi, pemasaran atau entertainment cost, ia tetap masih lagi haram hukumnya di dalam Islam, berdalil antaranya:
1) Nabi Muhammad SAW bersabda (ertinya):
"Barangsiapa yang telah kami ambil untuk melakukan sesuatu kerja, dan telah ditetapkan baginya sesuatu rezeki (gaji atau upah), maka apa yang diambilnya selepas itu adalah ghulul (atau ghalul = pengkhianatan dan curi)." (Hadith Riwayat Abu Daud, no 2943, ِAl-Zahabi: Isnad Soleh, Abu Daud: Soleh; Ma'alim as-Sunan, Al-Khattabi, 3/8 cet Dar Kutub Ilmiah)
2) Nabi bersabda kepada seorang gabenornya yang telah ditugaskan mengutip zakat kabilah Azad, maka apabila ia selesai kerjanya dan kembali berjumpa Nabi, lalu ia menyimpan sebahagian dari wang yang dikutip sambil berkata (ertinya):
"Ini untukmu (bahagian untuk Islam) dan ini untukku yang diberikan sebagai hadiah (oleh orang ramai), maka jatuh murka baginda sambil bersabda: ‘Ketahuilah, pergilah kamu duduk di rumah bapamu atau ibumu, sehingga datang kepadamu hadiahmu, jika kamu benar-benar betul (layak mendapat hadiah).’” (Al-Bukhari & Muslim)
3) Di dalam sebuah riwayat disebutkan bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam mengutus Abdullah bin Rawahah berangkat ke Khaibar (daerah Yahudi yang tunduk kepada kekuasaan Islam) untuk menilai hasil buah kurma di daerah itu kerana Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam telah memutuskan bahawa hasil bumi Khaibar dibahagi dua; separuh untuk kaum Yahudi sendiri, dan yang separuh lagi diserahkan kepada kaum Muslimin.
Ketika Abdullah bin Rawahah sedang menjalankan tugasnya, orang-orang Yahudi datang kepadanya membawa berbagai perhiasan dan berkata kepada Abdullah:
"Perhiasan ini untuk anda, ringankanlah kami dan berilah kepada kami lebih dari separuh.”
Abdullah menjawab (ertinya):
"Wahai kaum Yahudi! Demi Allah kalian memang makhluk Allah yang paling aku benci. Apa yang kalian lakukan ini justeru membuatkan diriku lebih membenci kalian. Rasuah yang kalian tawarkan itu adalah barang haram, dan kami kaum Muslimin tidak memakannya!"
Mendengar jawapan tersebut mereka (Yahudi) berkata, "Kerana (sikap) inilah langit dan bumi tetap tegak!" [Imam Malik, Al Muwattha':1450].
4) Setelah Baginda Nabi SAW menegur tindakan salah seorang sahabat yang mengambil upah dan hadiah tambahan atas kerjanya mengutip zakat dan jizyah yang telah diberi gaji, baginda terus memberi suatu amaran (ertinya):
“Demi Allah, tidaklah salah seorang di antara kalian mengambil sesuatu yang bukan haknya, selain ia menjumpai Allah pada hari kiamat dengan memikul hak itu (di atas bahu dan tegkuknya – menurut riwayat lain), aku tahu salah seorang di antara kalian menjumpai Allah dengan memikul unta yang mendengus, atau lembu yang menguak, atau kambing yang mengembik.”
Kemudian beliau mengangkat tangannya hingga terlihat putih bawah lengannya seraya mengatakan:
“Ya Allah, bukankah aku telah menyampaikan apa yang kulihat dengan mataku dan kudengar dengan dua telingaku?” (Hadis Sahih : Al-Bukhari)
Maka, saya dengan ini menyampaikan amanat baginda Nabi ini kepada semua pembaca, tidak kira apa jua pangkat, kuasa, gelaran dan sebagainya. Agar berhati-hati dengan sebarang bentuk hadiah, sedekah, derma sekiranya sedang memegang sesuatu jawatan, khususnya lebih kuasa, lebih besar lagi ujiannya.
Jangan kelak di akhirat ada yang terpaksa memikul di atas tengkuk dan bahunya sport rim kereta, rumah, tanah, lembu, amoi, duit-duitan, emas dan lain-lainnya dalam keadaan hina sehina-hinanya.
Dr Musa Shahin Lashin mengulas:
Setelah tahqiq, kita dapati sesungguhnya hadiah untuk penjawat jawatan menyerupai rasuah yang diharamkan, rasuah itu adalah setiap harta yang diberikan bagi ‘membeli’ dari pemilik pangkat bantuan ke atas sesuatu yang tidak halal.
Namun hadiah yang diberi setelah pencennya penjawat dari jawatannya, maka itu adalah tidak mengapa. (Fath al-Mun’im Syarah Sahih Muslim)
Imam al-Nawawi dan Ibn Qudamah menjelaskan:
"Jika ditawarkan, tolaklah, jika telah menerimanya dan sukar dipulang semula, serahkan kepada Baitul Mal untuk digunakan untuk kemaslahatan umat Islam."
Mengelakkan ketidakadilan
Sememangnya ada perbincangan di kalangan ulama berkenaan pengecualian. Ini kerana larangan dalam hal ehwal muamalat dipegang pada 'illahnya, maka larangan tersebut dihuraikan ulama adalah atas sebab utama berikut:
1. Elak rasuah
Bagi mengelak berlakunya rasuah dan pemilikan harta disebabkan bodek kerana menginginkan suatu balasan manfaat dari penjawat awam dan swasta terbabit, seperti meluluskan projek yang dipohonnya, memudahkannya mendapat kelebihan oleh pihak penguasa dan seumpamanya.
Maka hasil dari derma, sedekah atau hadiah terbabit akan mempengaruhi penguasa memberikan sesuatu manfaat dan kelulusan kepada yang tidak berhak serta tidak langsung menafikan yang berhak khususnya apabila ia melibatkan kuota jumlah tertentu sahaja. Ini adalah berdasarkan kefahaman dari hadis berkaitan hal ini dan rasuah.
2. Elak ketidakadilan dan mengelakkan pecah amanah di kalangan penguasa
Bagi mengelakkan tidak amanahnya penjawat yang eksploitasi kedudukannya untuk mengaut keuntungan tambahan dari kerja hakiki bergaji, dibuat pula secara rahsia tanpa pengetahuan dan keizinan majikan yang telah memperuntukan gaji khas buatnya untuk kerja khusus tersebut.
Poin ini juga bersumberkan hadis larangan Nabi pengambilan harta ghanimah sebelum dikumpul dan diagihkan sendiri oleh baginda Nabi kepada pejuang-pejuang.
3. Mengelakkan makan harta orang secara batil tanpa kerelaan atau kerelaan secara paksa rela
Bagi mengelakkan penjawat tertentu memeras wang orang ramai yang terpaksa berurusan dengannya bagi sesuatu urusan berkait polisi yang dikuatkuasa oleh pihak berkuasa seperti mendapatkan lesen.
Akhirnya orang ramai terpaksa rela untuk memberi imbuhan bagi melancarkan urusannya. Illah ini turut datang dari hadis larangan memakan harta orang lain secara paksa dan tanpa rela.
Pengecualian?
Sememangnya ada perbincangan di kalangan ulama berkenaan pengecualian. Sekiranya semua kesemua elemen di atas tersebut dapat dielakkan, contohnya:
a. Bagi seorang ulama yang memegang jawatan sebagai contohnya. Yang mana sudah menjadi kebiasaan orang memberikan hadiah kepadanya kerana sumbangan ilmunya dan kesolehannya hatta sebelum memegang apa-apa jawatan serta terbukti boleh percaya dan tiada elemen bodek untuk mendapat keutamaan. Namun masih perlu dijauhi sekiranya boleh membawa tohmah dan fitnah terhadap Islam dan kedudukannya selaku ilmuan Islam.
b. Bagi jawatan yang tiada potensi menambah manfaat kewangan dan manfaat tambahan lain kepada pemberi, seperti kepada doktor perubatan, doktor gigi, tukang baiki kereta, bell boy, pelayan restoran dan yang seumpamanya. Pun begitu, jika hal ini gagal melepasi elemen-elemen lain atau termasuk kesalahan etika organisasi tempat kerja, maka masih perlu dijauhi.
c. Guru-guru yang setelah tamatnya pengajian si pemberi. Justeru tiada syubhat ia dijadikan 'bayaran' untuk sesuatu manfaat dan markah. Atau juga hadiah sewaktu hari guru yang sudah menjadi 'uruf di sesebuah tempat serta tidak pula memberi sebarang kesan kepada pemarkahan mana-mana pelajar.
d. Memang sifat pekerjaannya mengharapkan bayaran hadiah tips selain gaji asasi, seperti bell boy dan pelayan restoran. Yang mana ia diketahui oleh majikan, dibenarkan dan dipantau secara terkawal.
e. Diberikan kepada penjawat atas kerja buatnya yang diluar ruang lingkup kerja hakikinya. Maka itu layaklah dia menerima upah tambahan setimpal kerana itu dikira kerja luar tidak bergaji.
Sebagai contoh, kerja hakiki pensyarah universiti adalah berkhidmat di universiti tempatnya bertugas, namun jemputan ceramah dari swasta untuk seminar tidak termasuk dari tugasan hakikinya, justeru harus menerima imbuhan kerana itu tugasan yang bukan tugasan asalnya.
DR ZAHARUDDIN ABD RAHMAN ialah presiden Multaqa Asatizah dan Duat (Murshid), ilmuan syariah dan kewangan Islam serta pemikir dan ahli perniagaan.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai