Skip to main
Logo Malaysiakini

Bernaung di bawah bayang konspirasi

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Menggunakan teori konspirasi sebagai mekanisme mempertahankan diri adalah sesuatu yang membosankan.

Anwar Ibrahim menggunakan kaedah itu lama dulu. Azmin Ali menggunakannya baru-baru ini, dan yang terbaru tentu sekali Najib Razak yang mengatakan bahawa perakuan bersumpah Azilah Hadri merupakan konspirasi untuk menutup kelemahan gabungan partai yang memerintah waktu ini.

Datuk Seri, kegagalan PH mentadbir negara sehingga hari ini bukanlah rahsia lagi dan ianya tidak mungkin boleh ditutup dengan apa pun. Hanya terbit matahari dari barat sajalah yang akan melupakan semua manusia seluruh alam memgenai betapa gagalnya kerajaan hari ini.

Akuan bersumpah Azilah bukanlah bukti bersalah Najib sebagaimana Anwar juga belum tentu bersalah meraba Yusoff Rawther dan pengakuan si Haziq Abdullah juga bukanlah bukti kukuh si Azmin berjahat dengan beliau.

Ianya hanya sebuah cerita sebelah pihak yang masih perlu dibuktikan oleh mahkamah. Masalah kita semua bermula apabila kita menidakkan kewibawaan mahkamah.

Dari dulu lagi apabila saja seseorang dari luar kerajaan dituduh di mahkamah, maka penyokong mereka akan segera mengatakan bahawa mahkamah sedang duduk di bawah telunjuk kerajaan.

Mahkamah tak peduli pun

Bagi kita, mahkamah adalah benar apabila hakim membuat keputusan menyebelahi kemahuan kita.

Apa lagi yang kita ada selain mahkamah?

Jika mahkamah juga tidak dihormati maka lebih baik kita semua ini buka gelanggang dan bertumbuk. Asalkan ada saja persoalan yang perlu dirungkaikan, atau ada kemusykilan undang-undang, kita bertumbuk untuk mencari yang benar.

Siapa kalah dianggap bersalah.

Sekian banyak kes berprofil tinggi masih lagi menjadi misteri kepada kita semua. Dengan keadilan yang dihormati, maka sedikit demi sedikit mungkin segala kekalutan dalam semua kes yang menjadi perhatian kita akan.

Dengan syarat, kita semua mahu mengambil mahkamah sebagai tempat membuktikan kebenaran.

Melafazkan sumpah itu ini di mana saja - di masjid atau tokong sekalipun - adalah satu jalan pihak yang dituduh mempertahankan diri. Biarkan saja mereka melakukannya tetapi perlu diingat, mahkamah tidak mengambil peduli akan perbuatan mereka itu. Ianya tidak memberi kesan kepada perbicaraan.

Kesan paling utama terjadi selepas sumpah dilafazkan cuma berkekalannya perbalahan antara penyokong dan pembenci. Seperti biasa, yang bodohnya ialah kita.

Meraih simpati adalah jalan paling digemari sesiapa pun yang akan atau sedang dibicarakan.

Lihat saja bagaimana setiap orang kena tuduh dalam apa kes pun akan segera mengenakan kopiah, songkok atau ketayap apabila mereka masuk ke mahkamah.

Mereka berusaha untuk mengelabui mata hakim. Namun yang terjadi adalah mereka membuka mata umum betapa orang yang memakai kopiah begitulah yang rajin berbuat salah.

Yang memperkosa, yang rasuah,yang membunuh dan segala macam kesalahan dan di bawa ke mahkamah, maka 'perlindungan' awal mereka ialah mengenakan pakaian yang menampakan bahawa si tertuduh seorang yang warak.

Mampus seluruh umat Islam di segala pelusuk dunia dipandang sebagai penjahat.

Perbuatan menggunakan agama sebagai pembelaan adalah perbuatan yang sedikit tidak bermoral, namun kerana ianya merupakan jalan popular - dan mudah - maka itulah yang digunakan.

Artikel kali ini dihiasi gambar-gambar dari pameran My Post yang berlangsung di Balai Seni Negara.


ABDULLAHJONES ialah penggemar tekun siri Law And Order pada tahun 1990-an, dan kini yakin beliau adalah seorang peguam yang tersakiti.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.