Telekom Malaysia tidak endah
Saya meninggalkan Dubai Media City dengan berat kerana tanggungjawab yang diberikan dan tugas yang semakin mencabar. Saya tidak kisah orang minum arak kerana masing-masing profesional dalam melakukan kerja. Waktu kerja tidak mabuk, hanya waktu malam. Saya masih boleh bergaul dengan sesiapa sahaja tidak kira sesiapa.
Saya dijangka pergi ke London lebih kurang seminggu dari tarikh berhenti di Dubai Media City. Saya sepatutnya pergi dengan RS ke pejabat media terbesar Arab, kebetulan RS juga tinggal di London. Saya sudah lama tidak ke London semenjak meninggalkan TV3, yang boleh kata selalu pergi ke sana. Namun apa boleh buat, saya sudah berhenti kerana kemahuan.
RS bertanya kepada saya tentang lawatan itu, bolehkah saya pergi kerana nama telah ditempah sejak awal, mereka terpaksa menggugurkan nama. Tidak mengapa mungkin di lain kali kalau ada rezeki. Kami sudah merancang berdua untuk berjalan di London dan pergi ke tempat dia belajar. Dia mahu bercerita tentang pengajian PhD-nya.
Saya masuk ke pejabat baru Dubai Internet City di ofis Hamed Kazim di tingkat teratas Crowne Plaza. Dia mempunyai ofis yang besar. Ada dua orang mat salih dari Amerika dan Sweden yang sebaya dengan bilik berasingan. Saya dapat bilik khas. Seorang sekretari dari Palestin. Cantik juga orangnya tetapi sudah berkahwin. Sekretari itu beritahu telah ada empat sekretari bekerja dengan Hamed Kazim (bawah) sebelum ini. Dia mungkin tidak lama dan akan berhenti juga.
Sungguh mengejutkan perkhabaran itu. Dia beritahu saya tidak suka mat salih dan bersyukur saya datang. Dia dan saya menjadi rakan yang selalu bercerita hal masing-masing. Kami selalu bersembang kalau Hamed tidak ada.
Saya berkenalan dengan pengurus dari Amerika dan Sweden itu. Mereka terus menjadi rakan yang baik dan sentiasa menolong. Sibuk dengan tugas masing-masing. Saya dibiarkan duduk mengemas.
Hamed Kazim pun datang dan saya diterangkan apa tugasan yang perlu saya fokuskan. Saya mendengar dengan kyusuk dan penuh perhatian. Hamed mempunyai slang Amerika yang baik dan dia bercakap dengan cepat dan ringkas. Saya faham sedikit sebanyak. Saya diberikan kunci pejabat selain dirinya sendiri. Satu penghormatan.
Saya keluar dan sudah ramai menanti untuk bertemu Hamed. Saya melihat para tetamu yang berpakaian kemas sedangkan saya tidak bertali leher. Saya sudah biasa tanpa tali leher sejak di TV3. Pakai kemeja sahaja kerana lebih selesa.
Hamed mempunyai tetamu tidak berhenti untuk menemui. Dia memegang jawatan yang glamor di kota Dubai. Dipinjamkan dari Arthur Andersen buat sementara waktu. Dia banyak syarikat dan Dubai Internet City kerana dia baik dengan Sheih Mohammed Al Maktoum, dia seorang penasihat. Saya melihat mereka yang datang dari pelbagai organisasi dari seluruh dunia. Bila waktu Hamed bekerja? Sebab itu baliknya malam setiap hari.
Tugas saya ialah mengenal pasti rakan kongsi Dubai Internet City. Hamed memberi tiga nama senarai pendek dari pengamatannya, AT & T dari Amerika, Singtel dari Singapura dan French Telecom dari Perancis. Dia menyuruh saya studi ketiga-tiga syarikat ini dengan teratur sebelum menghubungi.
‘Apa Dubai Internet City?’
Dalam pada itu saya teringat Telekom Malaysia. Bolehkah saya shortlist atau senarai pendek Telekom Malaysia? Saya terpaksa memberitahu Hamed yang mulanya enggan kerana tidak tahu syarikat itu. Saya beritahu yang saya boleh dapatkan maklumat lebih baik kerana saya orang Malaysia.
Dia agak keberatan untuk bersetuju tetapi akhirnya memberi peluang kepada saya. Saya terus menghubungi ke empat-empat syarikat sebagai senarai rakan kongsi Dubai Internet City.
Syarikat bakal terpilih akan menjadi rakan kongsi dalam memberi khidmat telekomunikasi iaitu Internet. Bermakna akan menjadi Etisalat kedua, Etisalat monopoli UAE yang memerlukan syarikat telko kedua. Ini berlaku pada tahun 2001.
Beberapa hari kemudian saya di hubungi oleh AT & T, Singtel dan French Telecom. Mereka bertanya lanjut tentang tujuan saya dan sangat berminat untuk menjadi rakan.
Tetapi Telekom Malaysia tiada jawaban.
Seminggu ke dua minggu tiada jawaban. Saya pun menelefon. Setelah berkali menelefon akhirnya saya dapat orang yang di maksudkan.
“Apa Dubai Internet City?” Soalannya pertama kali. Saya terangkan siapa kami. Syarikat baru yang mencari rakan untuk bersaing dengan Etisalat.
“Kamu bukan Malaysian!”
Saya berkata ya dan bekerja di Dubai Internet City. Saya mendapat tawaran untuk bekerja, seorang orang Malaysia. Saya mendapat kerja setelah menulis “Learning from Malaysia mistakes in Cyberjaya” dengan MDC. Saya pernah tiga kali meminta MCS status untuk TV3 tetapi gagal. MDC tidak faham tugas-tugas TV3.
Dia seperti tertawa.
“Kami ini besar dan tidak mahu mencampuri Dubai Internet City, awak carilah rakan-rakan yang lain!”
Itulah kata-kata seorang pegawai Telekom Malaysia. Saya rasa kesal untuk menghubungi. Apalah guna dengan jawaban sebegini. Inilah peluang terbaik Telekom Malaysia untuk masuk ke UAE. Dia langsung tidak berminat dengan Dubai Internet City dan mentertawakan saya. Tidak mengapa.
Ketiga-tiga syarikat telco menghubungi dan menelefon saya. Mereka mahu datang ke Dubai. AT & T terus meletakkan Presidennya menghubungi saya, saya terkejut. AT & T adalah syarikat terbesar di Amerika Syarikat dengan Kanada. Presidennya bercakap dengan baik dan dia mahu datang ke Dubai untuk hubungan strategik yang penting. Dia cukup yakin dapat bisnes dengan Dubai Internet City dan bersaing dengan Etisalat.
Begitu juga Singtel yang memberitahu mereka datang dengan Duta Singapura ke UAE. Pengarah Singtel tidak tahu saya dari Malaysia kerana tidak memberitahu, dia bercakap Inggeris dengan baik. Sementara French Telecom datang dengan Pengarah Luar Negaranya. Semua hebat-hebat melainkan Telekom Malaysia yang terus menolak.
Saya terus bekerja menanti kedatangan telko.
Sekretari tidak datang pagi itu. Hamed Kazim mengamuk. Dia panggil saya masuk ke pejabat. Saya terus masuk tanpa mengetahui apa-apa.
“Saya mahu lantik kamu sebagai sekretari!”
Saya terkejut.
“Kamu datang sebelum saya datang, pukul 7 pagi. Siapkan makanan pagi. Lepas itu siapkan makan tengah hari. Saya tiada pukul 12 hingga pukul 4. Saya pulang pukul sepuluh. Pastikan ofis ini bersih dan kemas. Awak handle semua call untuk saya!”
Saya masih terkejut. Terperanjat besar dengan pelantikan itu!
Menjadi sekretari? Lelaki?
Bersambung...
MOHD FUDZAIL MOHD NOR pernah bermastautin di UAE. Pernah bekerja di TV3, menjadi usahawan serta pengarah beberapa syarikat antarabangsa. Beliau juga penulis prolifik dengan sembilan judul buku dan pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia.
Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
Berkaitan:
Arab mabuk
Pengerusi media Arab yang mabuk
Al Mankhool
Di Dubai tahun 2000
Di kota Riyadh, sebentar bekerja
Dubai Internet City: 20 tahun berlalu
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai