Skip to main
Logo Malaysiakini

Kenangan dengan almarhum sultan Pahang dan al-Qaradawi

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Tiga tugas besar yang menanti keputusan dari saya muncul tiba-tiba. Pertamanya mencari rakan bisnes Dubai Internet City yang perlu dinilai dan dijustifikasi. Keduanya menghadapi para pengarah Dubai Internet City untuk tahun pertama operasi yang mana saya harus membantu Hamed Kazim dalam menyediakan laporan. Saya tidak pernah menyiapkan apa-apa laporan tahunan sebelum ini.

Ketiganya mencari seorang sekretari untuk mengganti saya yang bekerja sementara. Pengganti perlu diiklan dari seluruh negara-negara Arab. Saya terpaksa bersama pengurus besar sumber manusia, juga seorang Arab. Mencari pengganti saya adalah tanggungjawab yang mesti dilaksanakan.

Tugas-tugas ini amat berat dan perlukan perhatian yang sewajarnya!

Saya bekerja selepas subuh dengan menaiki bas ke pejabat yang jauhnya dalam sepuluh minit sahaja. Buka pejabat seawal mungkin berseorangan. Berkemas dan menyediakan sarapan pagi untuk Hamed Kazim yang makan buah-buahan dan air kopi. Saya perlu memastikan rasa air kopi sama sahaja. Tidak boleh lebih, tidak boleh kurang.

Bila sampai di pejabat pukul enam pagi, Hamed terus bekerja dan dia menerangkan apa yang perlu di buat untuk hari itu. Appoinmen dan sebagainya. Kemudian saya duduk di meja sekretari bekerja dengan mengangkat telefon. Ada saja panggilan untuk Hamed dari seluruh dunia.

Saya mula kenal baik dengan pemanggil yang hairan saya menjawab, bukan perempuan. Mulanya lucu kerana seorang sekretari lelaki.

Saya bercakap dengan Sheikh, pengarah urusan, CEO, pengarah dan semua yang berjawatan tinggi dalam organisasi. Ia melatih saya untuk bercakap dengan baik dan penuh hormat.

Para sekretari lain ada datang melawat dan mengajak keluar untuk minum. Saya ada mengikuti mereka untuk berkenalan.

Penyediaan mesyuarat ahli lembaga pengarah semakin dekat. Hamid menyuruh saya meniru laporan Arthur Andersen. Saya terpaksa belajar sendiri untuk memahaminya. Banyak yang saya perlu pelajari terutama bidang perakaunan.

Dalam kesibukan itu, pada waktu itu, saya berkesempatan dan ditakdirkan menemui arwah DYMM sultan Pahang di majlis sambutan tahun baru Cina anjuran seorang ahli perniagaan Cina. Petang kenduri di premisnya yang terletak di kota Dubai.

Saya bergegas pergi dengan famili untuk hadir. Cepat dari biasa. Tetapi baginda lambat sampai sedangkan perut semakin lapar. Dua jam rasanya. Saya geram kerana perut sudah berbunyi. Saya merancang untuk melakukan sesuatu yang tidak terfikirkan.

Baginda tiba dengan kesesakan jalan raya yang menjadi punca mengapa baginda lewat. Saya tidak percaya, Dubai bukan Kuala Lumpur yang sentiasa kesesakan. Tiada kesesakan di Dubai waktu itu.

Saya menunggu kedatangan baginda agak lama. Makanan sudah sejuk. Ramai terpaksa menunggu dan menahan perut sambil berborak kosong.

Baginda datang dengan sultanah dan perwakilan. Kebetulan tok penghulu Rompin ada sama. Kami gembira dapat bertemu.

Cepat dibawa ke tempat makan yang terletak di tengah. Baginda pun mengambil makanan, dibantu sultanah. Saya cepat memotong.

Saya hulurkan pinggan kepada baginda.

Sultan Pahang terkejut. Mukanya berubah dan agak kelu.

"Sudikanlah hidangkan untuk saya!"

Masa itu duta Malaysia ke UAE, Tuan Syed Hussien tidak tahu nak buat apa. Sultan lagi pula. Senyap sunyi jadinya. Masing-masing memandang baginda dan saya. Menanti apakah yang akan terjadi.

"Awak ni siapa?" tanya sultan. Mukanya hairan. Suaranya keras.

Orang ramai diam dan kaku. Penampar Sultan sudah siap. Cepat mahu kena di muka.

Saya tersenyum. Hati berdebar-debar. Saya melakukannya kerana ingin mencuba. Saya beranikan diri.

"Saya dari Rompin. Rakyat tuanku!" Saya menjawab dengan memandang tepat pada baginda.

Baginda Sultan tiba-tiba ketawa.

"Oh! Orang Rompin, rakyat saya, mari sini!"

Baginda terus menghidangkan makanan untuk saya. Orang ramai ketawa dan senang hati. Lega juga di hati. Kalau tidak mahu penampar sudah hinggap.

Saya makan dengan sultan Pahang dan sultanah. Berbual panjang. Baginda kenal baik keluarga diraja Dubai dan saya bekerja dengan Dubai Internet City. Kami berbual panjang.

Itulah kenangan manis dengan sultan Pahang di Dubai sekitar 2001. Baginda baik dan bertimbang rasa. Hendak beri pingat kebesaran, saya menolak dengan sebaiknya. Pingat waktu itu dijaga oleh bapa saudara sepupu.

Beberapa hari kemudian saya pergi ke rumah salah seorang pekerja Hamed, iaitu Lars dari Sweden. Selepas berbual kami mahu minum di kafe berhampiran. Lars adalah pekerja yang kaya raya dengan pelbagai patent yang dimilikinya. Dia hanya membuat patent dalam telekomunikasi dan pelbagai syarikat di seluruh dunia menempahnya. Dia menetap di hotel lima bintang yang popoular di Dubai.

Kami memasuki lif. Ada seseorang di dalam lif dan menegur kami. Mukanya bersih. Saya rasa kenal lelaki itu. Dia menegur dan banyak bercakap.

Dia ialah Sheikh Yusuf Qaradawi.

Saya dan Lars, seorang ateis sukakan Sheikh Yusuf Qaradawi kerana keramahannya. Pada waktu itu beliau menerima sejuta Dirham kerana ketokohnnya dari kerajaan Dubai. Dia dijadualkan menerima penghargaan petang itu. Dia bergegas kebetulan sama dengan kami menaiki lif.

Sheikh Yusuf mengambil masa 20 minit untuk bercakap dengan kami. Kami sempat bergurau dan bersenda. Dia cuba mengingati nama saya. Dia menanti kereta yang membawanya ke majlis.

Itulah dua peristiwa dalam kesibukan.

Dengan kedatangan AT & T, Singtel dan French Telecom, laporan tahunan Dubai Internet City dan mencari pengganti saya, balik malam dan bangun sebelum subuh cukup melemaskan!

Bersambung...


MOHD FUDZAIL MOHD NOR pernah bermastautin di UAE. Pernah bekerja di TV3, menjadi usahawan serta pengarah beberapa syarikat antarabangsa. Beliau juga penulis prolifik dengan sembilan judul buku dan pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.