Ada apa dengan ‘Parasite’?
Filem Parasite kembali menjadi buah mulut setelah memecah rekod sejarah lebih sembilan dekad sebagai filem bukan bahasa Inggeris pertama yang merangkul anugerah Filem Terbaik dalam Oscars, di samping anugerah pengarah terbaik, filem antarabangsa terbaik dan lakon layar terbaik.
Dengan bantuan penterjemah, pengarah Parasite, Bong Joon-ho berucap dalam bahasa Korea tanpa sehiris apologetik, menyerlahkan keyakinan bangsa ini persada global. Sudah tentu masyarakat Malaysia terkesan dengan penampilan sebegini, lebih-lebih lagi dalam konteks di mana dasar PPSMI (Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris) mungkin dihidupkan kembali, baru-baru ini.
Kejayaan Parasite akan dijadikan bukti bahawa keunggulan tidak semestinya dicapai dengan penguasaan bahasa Inggeris. Malah kebangkitan Korea Selatan dalam dunia perfileman dua dekad kebelakangan membuatkan sesetengah dalam kalangan kita tertanya-tanya, apakah Malaysia juga mampu menghasilkan produk seni budaya yang membeliakkan mata dunia satu hari nanti?
Apa istimewanya Parasite?
Apa yang pasti, bahasa bukan penghalang. Soal teknikal tidak memadai untuk menang dalam saingan bersama filem-filem Hollywood lain. Hakikatnya, Malaysia tidak ketinggalan jauh dari segi teknikal. Beberapa adegan pembedilan peluru dalam filem tempatan seperti Paskal, cukup mendebarkan. Malah, rentak filem seperti Polis Evo 2 juga dikawal dengan baik, sehingga hampir tiada ruang untuk penonton menyeludup ke bilik air.
Persoalannya, apa istimewanya Parasite? Temanya klise, cuma pengarah mengambil pendekatan untuk mengomedikan tragedi kesenjangan sosial dalam jurang antara kaya dengan miskin. Beberapa adegan yang menonjolkan betapa bezanya hidup manusia dari dua golongan kelas berlainan – mengukir senyuman pahit di wajah kita. Untuk anak keluarga Park dari golongan atasan, hujan lebat tidak lain sekadar pengalaman baru untuk berkhemah di halaman rumah (lebih-lebih lagi berada dalam khemah buatan Amerika Syarikat yang gagal ditembusi air); tetapi air dari langit yang sama cukup untuk mengubah nasib keluarga Kim dari golongan bawahan dalam tempoh satu malam. Rumah mereka dibanjiri air bah sehingga mereka terpaksa berteduh di pusat pemindahan sementara mangsa banjir. Kim Ki-taek menjadi pasrah dalam situasi yang terdesak ini, sehingga akur bahawa manusia (yang miskin) tidak harus merancang hidupnya, kerana mereka gagal menentukan nasib sendiri.
Sejauh mana bezanya antara kaya dengan miskin? Secara fizikalnya, ia adalah kedudukan antara banglo keluarga Park dengan rumah separa bawah tanah keluarga Kim, malah bunker rahsia di bawah tanah. Secara mentalnya, ia adalah gaya hidup yang mana golongan bawahan perlu tiru, hafal skrip dan latih berulang-kali, agar tidak dilihat kekok dalam kalangan golongan atasan yang santai dalam dunia sendiri. (Malah jikalau panggung wayang dilengkapi dengan teknologi 4D, barangkali bau anggota keluarga Kim ketika mereka muncul boleh menjadi penentunya.)
Kesemua ini disampaikan secara “real” dan halus melalui kamera Bong Joon-ho. Bong memaparkan bagaimana perwatakan manusia berbeza dan berubah dalam realiti hidup yang rumit dan kompleks. Tiada watak baik mahupun jahat yang bersifat mutlak. Status ekonomi dan sosial, keadaan hidup menjadi faktor penentu perangai dan kerenah seseorang manusia.
“Puan Park kaya tetapi bermurah hati”, kata Kim Ki-taek dengan andaian bahawa kaya adalah antonim kepada murah hati, sebelum diperbetulkan isterinya sebagai “Puan Park bermurah hati kerana kaya.” Dialog ini antara mesej inti pati yang cuba disampaikan filem ini, iaitu dengan kedudukan ekonomi yang lebih tinggi, Puan Park berkeupayaan untuk bermurah hati terhadap orang di sekelilingnya. Dalam realiti, seseorang insan perlu menjadi jutawan sebelum menjadi dermawan, bukan?
Adegan dalam “bunker rahsia” memperlihatkan bagaimana golongan minoriti yang terpinggir di bawah struktur masyarakat, akan saling menindas dan memijak untuk melonjakkan diri ke satu kedudukan yang lebih tinggi. Ambil contoh bagaimana pembantu rumah yang dipecat keluarga Park, Moon-gwang bertukar air mukanya selepas mendapat rakaman yang boleh mendedahkan penipuan keluarga Kim. Pada mulanya Moon-gwang merayu agar Kim Chung-sook tidak membocorkan rahsianya, dan memberi makanan kepada suaminya. Tetapi sebaik sahaja penipuan keluarga Kim terbongkar, Moon-gwang yang menguasai kelebihan pula berlagak untuk membuli keluarga Kim – sungguhpun kedua-dua keluarga ini menyeludup ke rumah Park dengan kaedah yang berbeza. Untuk memastikan pembohongan dirinya tidak terdedah sehingga kehilangan rezeki, keluarga Kim melakukan benda yang sama ke atas Moon-gwang dan suaminya, bukan?
Adegan yang ditapis
Ringkasnya, filem ini sarat dengan adegan untuk memaparkan kompleksiti sistem masyarakat dan sifat manusia. Ia tidak bersifat doktrin untuk menilai seseorang watak, sama ada yang kaya mahupun yang miskin. Tiada watak yang merancang untuk melakukan kejahatan besar – malah tipu helah yang digunakan keluarga Kim untuk memperoleh manfaat daripada keluarga Park, boleh ditafsirkan sebagai usaha satu keluarga yang menganggur untuk mencari pekerjaan. Mereka juga mengidam agar satu hari nanti mereka berupaya untuk membebaskan diri dari kemiskinan – apapun, mereka mendapat upah melalui perkhidmatan yang ditawarkan untuk keluarga Park. Dari satu segi, kemiskinan mereka sebelumnya bukan kerana malas, kan?
Barangkali kita perlu belajar sesuatu daripada pengarah Parasite. Jangan sesekali kita menilai sesuatu secara melulu dan cepat menghukum. Masyarakat kita jauh lebih rumit daripada persamaan “kaya=tamak, jahat”, atau “miskin=lemah, mulia”. Saling menindas dalam kalangan golongan minoriti itu memperlihatkan kita bahawa manusia yang tertindas boleh berlaku zalim kepada manusia lain demi kelangsungan hidup dirinya, meskipun dirinya pernah dan sedang merasai keperitan penindasan.
Akhirnya, satu adegan yang agak penting telah ditapis dari panggung wayang tempatan kerana adegan seks disamakan dengan lucah. Ketika suami isteri Park sedang beromen di atas sofa ruang tamu, suaminya mengungkit seluar dalam murahan yang tertinggal dalam keretanya.
Mengikut jalan ceritanya, pasangan suami isteri Park mengambil keputusan untuk memecat pemandu mereka kerana mencurigai pemandu tersebut mengadakan hubungan seks dengan wanita dalam keretanya, dengan rangsangan dadah untuk mencapai kepuasan tertinggi. Park jelas tidak puas hati kerana menganggap pemandunya telah melewati batas dengan berasmara di tempat duduknya.
Namun, ketika pasangan ini saling meraba di atas sofa, si suami pula berkata dirinya akan lebih ghairah jikalau isterinya memakai seluar dalam yang murah itu, sambil dibalas isterinya “maka saya perlukan dadah…”. Apa yang kotor, jijik, tidak bermoral jikalau dilakukan golongan miskin, kini menjadi sesuatu yang membangkitkan nafsu seksual golongan kaya. Lebih-lebih lagi, perbualan mereka didengari Kim dan anak perempuannya yang bersembunyi bagai lipas di bawah meja. Kedua-dua mereka sedar bahawa seluar dalam murahan yang disebut Park itu milik anak perempuannya, yang sengaja ditinggalkan dalam kereta Park untuk menganiaya pemandunya. Ia menjadi salah satu pengaiban ke atas maruah keluarga Kim.
Apakah adegan ini lucah semata-mata, atau ia sebenarnya menonjolkan sifat hiprokrit manusia? Atau ia antara adegan untuk menjelaskan mengapa Park dibunuh oleh Kim di akhirnya? Bukankah penapisan adegan ini mencacatkan pemahaman kita terhadap jalan cerita dan mesej yang cuba disampaikan Bong Joon-ho, melalui satu karya yang dikalungkan anugerah Filem Terbaik Oscars? Dan jikalau masyarakat Malaysia tidak diasuh untuk menghormati kesempurnaan karya seseorang pengarah filem yang tersohor, apakah mungkin Malaysia melahirkan pengarah filem seperti Bong Joon-ho, atau menerbitkan filem yang layak untuk menyaingi filem-filem antarabangsa di Oscars?
LIM HONG SIANG ialah pengarah eksekutif SAUDARA (penyelidikan sosio budaya).
Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis serta tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai