Skip to main
Logo Malaysiakini

PM ke-8: Mencari Tun Isak Berakah

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Ada satu pengajaran untuk Malaysia, dalam memilih perdana menteri setelah Dr Mahathir Mohamad. Seseorang yang ingin terpilih, dipilih dan menjadi pilihan sebagai pemimpin negara, beliau harus memenuhi satu syarat awal yang maha penting terlebih dahulu.

Khusus, syarat ini menjadi kuasa tawar-menawar yang penting lagi genting. Apatah lagi kerajaan Malaysia hari ini tidak datang dari sebuah parti politik, tetapi, adalah gabungan aneka parti pelbagai cara fikir, pendekatan, keinginan dan sejarah.

Syarat khusus tersebut adalah beliau harus mempunyai sokongan dan dukungan yang padu, kental, tidak berbelah bahagi dan amat solid dari partinya sendiri terlebih dahulu.

Jika kita meneliti syarat ini sahaja, kita akan mendapati laluan untuk Anwar Ibrahim, atau Azmin Ali, dan Mohamad Sabu (yang dengan rendah dirinya tiada hasrat untuk menjadi PM, dan ini menurut saya satu kualiti), tidaklah semudah yang disangka.

DAP pula sudah mencapai tahap tepu. Selain tidak realistik untuk kita menerima PM berbangsa bukan Melayu (mungkin berbeza di zaman akan datang).

Amanah, baguslah, nampaknya tidak bergaduh ketika pemilihan seperti PKR. Akan tetapi kegagalan Mujahid Yusof membawa agenda Islam progresif adalah berita buruk untuk Rukun Negara yang menjamin satu cara hidup yang liberal.

Bila ia berita buruk untuk Amanah. Ia berita buruk untuk PH juga. Ini kerana wajah Islam PH ada pada Amanah.

Satu-satunya parti yang mempunyai kelebihan, yang mana ahlinya betul-betul meraikan pemimpin atas mereka adalah parti Bersatu. Pandangan ini tidak popular tentunya. Saya tahu ia tidak popular.

Zaman tak sabar jadi PM

Apabila saya membaca Sejarah Melayu - kerana orang selalu mengatakan agar belajar dari sejarah - saya mendapati kita, Melayu dan Malaysia, memerlukan seseorang sedikit lebih kurang sepertinya Tun Isak Berakah.

Beliau adalah seorang bendahara, atau perdana menteri yang paling kurang diingati dalam tawarikh. Akan tetapi menurut saya, dalam zaman orang tidak sabar lagi menjadi PM dan tidak boleh bersabar untuk mengetahui siapakah PM seterusnya, perangai dan tindak tanduk Tun Isak Berakah yang juga waktu mudanya tidak sabar, dapat kita jadikan petunjuk.

Sebelum saya menjela menceritakan perihal Tun Isak, saya harus katakan; beliau bukan tokoh progresif Melayu. Beliau malah seorang pengkagum feudalisme. Beliau bukanlah pedoman paling ideal. Sama sekali bukan.

Tetapi kita bercakap mengenai Malaysia, dan Melayu. Kita tidak dapat memisahkan diri dari feudalisme. Ia adalah trauma dan beban psikologi yang harus Melayu tanggung atas bahu kita sehingga Imam Mahdi menjelma kembali nanti.

Jadi, dalam sejarah, untuk mengajar Melayu - saya harus memetik apa yang Melayu suka - dan Tun Isak menurut saya adalah Melayu yang dapat digayakan, dan pemimpin seterusnya harus boleh “bergaya” persis beliau.

Dalam sejarah, jika kita meneliti Sulalatu’s-Salatin, Tun Isak adalah seorang yang degil, keras kepala, mengada-ngada, sukar dibantah (semacam indomitable), esentrik tetapi cekap dengan kerjanya.

Beliau adalah bendahara empayar Johor. Yang saya maksudkan dengan Johor, bukan Johor yang sekarang ini tentunya. Jika anda faham maksud saya.

Tun Isak diberi gelar ‘Berakah’ sejak kecil. Kata ‘berakah’ menurut orang Melayu dahulu kala tidak ada kena mengena dengan berkat, atau berkah. Ini jauh sebelum Melayu diarabisasikan oleh Najib, dan isterinya. 

Kata ‘berakah’ jika kita merujuk kamus besar Indonesia; bererti sombong, atau angkuh, mungkin juga pemberani. Dalam bahasa Inggeris, yang mungkin boleh jadi kata pilihan jika kita ingin menerjemahkan perkataan ini, ia adalah ‘braggadocio’.

Ketika istana Sultan Mansur Syah di Melaka sedang marak terbakar, Tun Isak yang masih kecil, paling beria mendorong orang agar masuk ke dalam istana untuk membawa keluar harta benda raja.

Ramai yang beratur untuk masuk, khusus para kerahan dan hamba. Supaya khazanah diraja dapat diselamatkan. Tun Isak meskipun beria menyuruh orang masuk ke dalam api. Dia hanya masuk sekali. Dia tidak mengulang untuk kali kedua, dan dia memberi alasan takut. Dia tahu batas diri.

Tambah pula, untuk apa menyabung nyawa mati untuk perkara sia-sia? Yang lain tolak-menolak. Ini kerana Tun Mai takut badannya cedera ekoran tubuhnya berbulu. Nama gelarnya pun Tun Mai Ulat Bulu. Tun Ibrahim hanya berpusing-pusing sahaja keliling istana yang sedang menghangus itu.

Manakala Tun Muhammad hanya masuk tetapi bukan pun menggalas barangan yang banyak. Sebab cakap sekali tetapi berdegar-degar itu, Tun Isak diusik orang sebagai berakah.

Daulah terpendam

Agaknya gelar itu melekat. Tun Isak menjadi tua sebagai orang yang agresif, garang, dominan, lagi tidak mahu mengalah. Kalau kita lekatkan gelar maha zalim kepada seseorang. Lama kelamaan dia mungkin acah-acah zalim juga. Jadi jangan suka mengejek orang.

Begitu juga kalau kita asyik meneriak orang Machiavelli. Sebulan dua bulan, bawa masuk tahun dan dekad, nanti dia Machiavelli sungguh.

Tun Isak adalah anak Tun Khoja Ahmad atau Bendahara Paduka Raja II. Khoja Ahmad ini menerima jawatan bendahara dari bapanya Tun Mat Paduka Tuan (Bendahara Lubuk Batu), bendahara terakhir Melaka yang meninggal dunia di Segamat pada tahun 1511. Tun Mat Paduka Tuan ini anaknya Tun Perak. Tun Isak menjawat peranan bendahara ketika empayar Melaka dipindah ke Kampar dari Bentan.

Ketika masih remaja, ada sekali itu Tun Isak ikut berperang di bawah pemerintahan Sultan Alauddin Riayat Syah. Pada tahun 1480 gerombolan askar Melayu menyerang kapal perang Aru, agar keluar dari perairan Melaka.

Dalam perang di laut, dekat Pulau Arang-Arang (tidak jauh dari Port Dickson tempatnya parlimen Anwar Ibrahim) kapal Tun Isak dan Seri Bija Diraja dipanjat musuh. Seri Bija Diraja tidak mahu terburu-buru keluar melawan musuh.

Namun, Tun Isak asyik memaksa supaya meluru bergasak, malah memanggil taktik bertangguh Seri Bija itu sebagai tanda pengecut. Episod itu menjadi petunjuk betapa tidak sabarnya Tun Isak. Entah kenapa ketika membaca episod ini saya terbayangkan Tun Mahathir dan Tunku Abdul Rahman.

Ada banyak lagi kisah Tun Isak tetapi saya pilih yang relevan di sini.

Pada tahun 1521, Sultan Mahmud yang sudah kelelahan itu menitahkan agar Melaka di bawah Portugis itu digempur. Manalah tahu alah, boleh juga ditakhtakan kembali di Melaka.

Akan tetapi baginda Sultan Mahmud sudah tua, lelah, dan sebetulnya tuanku tidak tahu pertumbuhan ‘deep state’ dalam istana baginda. ‘Deep state’ atau daulah terpendam ini bukan datang dari orang lain.

Sebuah gerombolan perang dititahkan ke Melaka, dipimpin oleh Tun Isak bersekali dengan Sultan Abdul Jalil Inderagiri (menantu raja). Gerombolan laut pula dipimpin Laksamana Hang Nadim. Ketika perang akan bermula, Tun Isak dan Sultan Abdul Jalil bertengkar apakah patut mula menyerang atau tidak.

Sultan Abdul Jalil menitah nobat dipalu dan perang bermula. Tun Isak dengan anehnya enggan menyerang. Dan ekspedisi itu gagal.

Yang membuatkan Tun Isak enggan menyerang sebetulnya amat luar biasa. Bila Sultan Abdul Jalil membawakan versi kisahnya kepada Sultan Mahmud, Tun Isak menyanggah dengan keras.

Beliau mengatakan, sebabnya beliau enggan melancar perang ialah kerana jika beliau memulai perang oleh paluan nobat Sultan Abdul Jalil, itu tandanya beliau memperakukan kekuasaan Inderagiri sedangkan majikan beliau adalah Sultan Mahmud, Sultan Bentan.

Tun Isak mengerti permainan daulah terpendam. Menantu Baginda Sultan ada memasang angan-angan agar daulah nanti masuk dalam telapak tangannya. Tun Isak malah memalukan Abdul Jalil, seorang Sultan muda dengan memanggilnya mentah, kerana jauh dari keberanian Hamzah dan Ali, serta cetek ilmu berbanding Imam Ghazali, dan penipu licik yang tidak mencapai makam Al-Hallaj.

Bukan itu sahaja, Tun Isak tanpa segan silu menyelar dengan tajam sekali lidahnya Sultan Abdul Jalil di hadapan Sultan Mahmud. Beliau mengatakan, mesejnya begini; meskipun beliau tua tetapi beliau tidak bodoh. Apatah lagi penakut. Ini kerana, kerana keberanian dan ketuaan beliaulah - Tun Isak - menyerbu kota Melaka sehingga patah gading gajah diraja.

Dalam hubungan antarabangsa, sebagai Perdana Menteri, Tun Isak disebut-sebut lawan. Keceluparan mulut beliau amat dikenali, Siam malahan memuji bendahara ini di dalam rekod istana; tam-ra, yang menurut mereka seorang bendahara Ujung Tanah yang mempunyai kuasa melebihi Sultan Pahang.

Sosok angkuh

Tun Isak juga dikenali oleh Feringgi sebagai Tuan Barcalar (Berakah) dan mempunyai kuasa diplomasi dengan Kapten Estavao de Game. Mereka dipercayai bertemu pada 1533 di Melaka.

Jika tidak kerana kedegilan dan keberkahan Tun Isak, Johor Lama hancur lebih awal dari yang dijangka. Nyaris Johor jadi Bentan. Habis hangus dibakar Feringgi. Ini dicatatkan oleh Richard O. Winstedt dalam A History of Malacca.

Pada tahun 1526, sebelum pertemuan dengan Portugis tersebut, Bentan dimusnahkan oleh Portugis. Ini mengakibatkan baginda Sultan Mahmud berpindah ke Kampar. Ketika itulah Paduka Raja Tun Khoja Ahmad meninggal dunia, dan Tun Isak menjadi tambah berpengaruh.

Pada tahun 1528, Sultan Mahmud Shah mangkat dan Tun Isak memainkan peranan dan muslihat; mengangkat Raja Ali, putera Sultan Mahmud dengan Tun Fatimah. Ini adalah cucu yang datuknya bendahara Tun Mutahir dibunuh seisi keluarga oleh Sultan Mahmud.

Kerja menaikkan Raja Ali itu ada di tangan Tun Isak. Raja Ali diberi gelar Sultan Alauddin Riayat Syah II. Anak Raja Mahmud yang lain, dengan Puteri Kelantan dihantar oleh Tun Isak ke Perak dan dinobat sebagai raja Perak. Tun Isak juga yang mempengaruhi Raja Ali agar berpindah ke Pahang.

Sejarah mencatatkan Tun Isak yang tidak peduli orang itu juga yang mendorong Sultan Alauddin agar membuka negeri baharu di Hujung Tanah atau Johor. Pekan Tua diteroka dan kubu dibina di Sungai Telor. Inilah permulaan kesultanan Johor, yang saya maksudkan dengan Johor, bukan Johor yang sekarang ini tentunya. Jika anda faham maksud saya.

Tun Isak Berakah adalah sosok angkuh, degil, garang dan tiada toleransi yang diperlukan Melayu selepas bahana serangan Portugis. Kalau tiada Tun Isak, berantakanlah negeri Melayu. Kita akan baca sejarah yang lain sama sekali.

Perdana Menteri ketika itu harus memiliki sosok gila seperti Tun Isak, mesti ‘berakah’, mesti tidak kisah. Saya tidak tahu apakah Melayu hari ini selangut Melayu dahulu. Jika ya, mereka memerlukan Tun Isak.

Dalam beberapa calon yang ada di atas kertas Majlis Presiden Pakatan Harapan kita tidak tahu siapa yang ada ‘berakah’ serupa Tun Isak. Kerja jadi bendahara, atau PM bukan kerja untuk sosok-sosok biasa.

Mesti seiibarat Tun Isak, boleh mencegah daulat terpendam; boleh berunding dengan musuh, boleh menyebabkan tetangga berasa wow; dan boleh mematah hujah raja. Juga yang paling genting, seperti Tun Isak lakukan kepada Raja Ali, mesti boleh mengangkat pengganti tuanku yang cocok. Dan ia dilakukan dengan selamba.

Kerja jadi bendahara, atau PM bukan kerja untuk sosok-sosok biasa. Mesti berakah. Kata ‘berakah’ jika kita merujuk kamus besar Indonesia bererti sombong, atau angkuh.

Tetapi sepanjang yang kita tahu, berakah bukan berkah, maka berakah juga bererti tidak bodoh.


FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.