Skip to main
Logo Malaysiakini

Rahmat PN

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Dengan jatuhnya kerajaan PH di Putrajaya, diikuti kerajaan Johor dan kemungkinan di Perak dan negeri-negeri lain sehari dua ini, ia memberi ruang yang cukup selesa serta luas buat kerajaan Melayu Islam pertama di Malaysia.

Dengan apa yang ada sekarang kerajaan Melayu Islam Malaysia sepatutnya tidak ada halangan sama sekali melaksanakan tuntutan Islam kerana tiada lagi 'parti kafir' seperti DAP.

Yang ada hanya Bersatu versi Muhyiddin Yassin, Umno, PAS serta wakil parti lain yang kurang dominan.

Apa yang ada hari ini adalah hasil ijtihad dan sikap istiqamah perjuangan pemimpin Melayu-Islam berjuang. Inilah kemenangan bangsa Melayu-Islam yang diidam-idamkan sejak sekian lama.

Apatah lagi jika ikatan sesama parti yang dipimpin oleh alim ulama dan anak tuan guru alim besar. Muhyiddin merupakan anak kepada Tuan Guru Haji Yassin yang cukup terkenal di selatan tanah air.

Begitu juga almarhum Ustaz Hamidi, bapa kepada presiden Umno sekarang, Ahmad Zahid Hamidi. Beliau ialah guru agama terkenal di Bagan Datuk.

Kombinasi itu dilengkapkan dengan susuk bekas Naib Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, presiden parti orang Islam terbesar di negara ini.

Cuma jadi pengekor

Itulah susuk pemimpin Melayu-Islam kontemporari yang bakal melakar sejarah peradaban umat. Tidak ada khilaf sama sekali.

Sudah berapa banyak pemimpin Melayu-Islam yang berkuasa dan apabila jatuh, apa yang ditinggalkan untuk sejarah cuma kenang-kenangan buat rakyat marhaen.

Rakyat memang setia membontoti setiap kata yang dianggap keramat dan suci oleh pemimpin mereka. Rakyat memang setia menumpahkan segala ketaatan yang tidak berbelah bagi.

Inilah keuntungan hidup dalam daulah fuedal.

Adapun ketua-ketua parti lain dalam kerajaan sekarang hanyalah melukut di tepi gantang. Mereka diyakini hanya akan menjadi pengekor kepada karismatik yang ditonjolkan pada ketiga-tiga susuk pimpinan umat Melayu Islam itu.

Bahkan tidak hairan selepas ini, wajah-wajah pimpinan umat Melayu Islam tersebut akan mengambil alih poster-poster artis di papan-papan iklan di sepanjang lebuh raya yang ada.

Paling tidak, terpampang megah untuk ditatap orang ramai di jalan menuju KLIA. Maka wajah-wajah itulah yang kemudian akan menemani rakyat, sama ada semasa mereka terbang (untuk yang bermusafir) atau kembali ke rumah masing-masing. Alhamdulillah.

Siapa yang mampu mempersoalkan kefasihan dan kelancaran kata ulama yang bibirnya sentiasa basah menyebut kalimah suci itu? Mana mungkin mereka salah atau khilaf dalam ijtihad, kan?

Sujudnya di malam hari melebamkan dahi, tidak mungkin untuk mereka berdosa besar. Oleh itu, jika perlu khianat pada janji dan sahabat sendiri, terimalah kenyataan bahawa itu perlu demi sebuah perjuangan, malah suatu keharusan dalam politik. Demi maslahah lebih besar. Mengelak mudarat yang lebih besar.

Jawi wajib lulus

Sudah berapa banyak kata nista dan kejian yang menimbun, ia boleh dihapuskan dengan peluang untuk bekerjasama berkongsi kuasa. Dosa pahala adalah barangan dagangan yang boleh ditukar ganti dengan kuasa dan peluang. Air mata pada bila-bila masa dapat membasuh segala keterlanjuran.

Itu bukan khianat tetapi tipu muslihat. Itu dibenarkan.

Sekarang semua ancaman dan halangan sudah tiada. DAP yang menjadi batu penghalang sudah kalah. Ini adalah satu kemenangan daripada anugerah Allah SWT sepertimana sewaktu PAS dan Umno kalah dalam PRU lalu. Makna kemenangan dan kekalahan boleh ditafsirkan mengikut kesesuaian masa dan peluang demi kesenangan sendiri.

Inilah waktu terbaik penegasan fakta Melayu Islam sebagai dasar negara secara jelas dan tuntas.

Tidak perlu mengambil hati orang bukan Islam. Suara mereka ramai tetapi usah pedulikan kerana ia sekadar suara songsang pembangkang. Hudud dan sebarang enakmen perundangan agama Islam adalah di bawah kuasa kerajaan baru. Mungkin caranya agak kasar tetapi ia tetap masih boleh dilaksanakan.

Inilah waktu penegasan tulisan Jawi bukan sekadar warisan bangsa tetapi dijadikan identiti kebangsaan yang wajib belajar di peringkat sekolah. Jika boleh, jadikan juga ia mata pelajaran wajib lulus.

Inilah waktu terbaik untuk pelaksanaan hukum al-Quran secara literal. Tidak perlu diperbahaskan kepada rakyat yang rata-rata hanya pengikut tanpa soal. Jika ada yang bising, abaikan sahaja. Tuhan kan akan bersama kita?

Yakinlah, suara itu akan tenggelam melalui perundangan negara. Gunakanlah pihak penguat kuasa dan agensi kerajaan yang menjadi kaki tangan kerajaan melaksanakan tugas itu. Pastinya ia akan mudah dilaksanakan tanpa soal.

Dasar-dasar yang berasaskan kepentingan kaum pribumi harus diwujudkan demi mengekalkan peluang mudah untuk menjadi kaya. 

Biarlah dasar itu tidak demokratik dan adil buat rakyat, kita boleh imbangi dengan justifikasi daripada pensyarah universiti ataupun mufti. Pasti ada ayat yang boleh dinukilkan di sana dan sini.

Dalil akli dan nafsi

Daulatkan kembali bahasa kebangsaan di setiap inci tanah air ini selagi ada manusia yang bernafas. Para seniman dan pendekar bahasa pasti gembira dan bangga melihat para pimpinan fasih berbahasa kebangsaan ketika di hadapan media atau persidangan dunia.

Contohi Sukarno berucap bahasa ibunda di PBB. Sama seperti Che Guevara dan Jokowi. Jangan bimbang, kerana saya sokong 300 peratus.

Orang Cina dan India mungkin kecewa, tapi itu tidak penting sama sekali. Apa yang lebih mustahak ialah, Melayu Islam semakin bertakhta. Hari ini Melayu Islam bangkit membina wajah dan rupa. Apa jua bentuk yang terlihat, itu hanyalah pandangan mata kasar.

Orang Melayu memang perlu kurang ajar.

Buang rasa kasihan. Melayu-Islam wajar menerima kemaafan atas tipu muslihat dalam bersiasah meski Melayu tipu Melayu. Melayu hanya pantang ditipu orang bukan Melayu. Kalau sesama Melayu, berlebih kurang sajalah.

Ini adalah persoalan maruah Melayu. Biar ditipu oleh Melayu. Asal jangan ditipu oleh bukan Melayu.

Sewajarnya saya mengucapkan tahniah atas pencapaian yang diperolehi gabungan bangsa Melayu-Islam dalam usaha memegang tampuk kekuasaan. Menerima pimpinan yang pernah menjadi musuh abadi adalah salah satu pencapaian terhebat dalam sejarah kewujudan bangsa Melayu.

Sejarah berantakan sesama orang Melayu kerana secalit undi terhapus sekelip mata dengan kebijaksanaan pimpinan kedua-dua parti tersebut berijtihad.

Hampir 30 tahun saya bersama parti agama, dan kini saya berada di luarnya tetapi saya ucapkan tahniah dengan pencapaian ini. Tidak terjangkau akal fikiran saya.

Saya tidak kisah soal kaedah memperolehi kuasa itu. Hakikatnya sebuah parti politik memang begitu. PH hilang kuasa. Kemaraan gabungan baru bangsa Melayu-Islam ke Putrajaya laksana fathul Mekah.

Maafkan segala orang yang sebelum ini kita anggap penyangak, pendosa atas nama rahmah dan bukan berdendam sesama bangsa.

Saya yakin, gabungan ini mampu memberikan dalil akli dan nafsi untuk membenarkannya tindakan.

Sepanjang saya berada dalam Amanah dan PH, saya terus komited membawa suara akar bangsa atas landasan pensejarahan tanah air. Dari bait kata puisi hinggalah berdiri atas pentas parti, saya tetap nyatakan peri pentingnya naratif Melayu ini dibentuk dalam parti dan komponen pakatan politik.

Rupa-rupanya gabungan bangsa Melayu-Islam ini, yang melaksanakan kata-kata itu. Alhamdulillah.


DR MUHAIMIN SULAM ialah pencatat sejarah suka dan duka bangsa. Daripada pensyarah universiti, penyair, aktivis politik dan budaya kini dia menjadi penghuni tanah perkebunan di pinggir kota Melaka.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.