Salahkanlah diri kamu sendiri
Kemelut politik negara berlaku selama seminggu baru-baru ini sangat menggusarkan rakyat kerana seolah-olah pertembungan dan perebutan kuasa antara Dr Mahathir dan Anwar Ibrahim ini menemui jalan buntu. Alhamdulillah, atas kebijaksanaan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, kemelut ini selesai dengan aman di mana kedua-dua tokoh yang berebut kuasa itu terlepas segalanya, bak kata pepatah "yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran".
Pertama sekali, sebenarnya semua orang tahu dan sedar jika kedua-dua top gun Pakatan Harapan ini tidak 'bergaduh' maka Pakatan Harapan mungkin akan kekal memerintah sehingga sekurang-kurangnya sebelum pilihan raya umum ke-15 (PRU-15). Mahathir yang merupakan perdana menteri sewaktu itu saban hari dihimpit dan ditekan dengan desakan agar menyerahkan jawatannya kepada Anwar Ibrahim sehingga Tun rasa sangat tertekan tatkala pentadbirannya itu sedang bergelut dengan pelbagai isu terutamanya isu ekonomi. Perletakkan jawatan Tun sebagai perdana menteri secara tiba-tiba memang berpunca dari tekanan ini.
Selain itu, perpecahan dalaman PKR iaitu kerana pertembungan dua tokoh parti, Anwar Ibrahim dan Azmin Ali adalah penyumbang terbesar kepada ranapnya pemerintahan Pakatan Harapan. Secara umumnya, perpecahan tersebut berpunca dari akar masalah yang sama iaitu tidak bersabar dan gila kuasa. Satu kem 'tidak sabar' iaitu yang mahu Mahathir serah jawatan segera manakala satu lagi kem 'bersabar' iaitu mahu menyokong Mahathir demi kestabilan dan kelangsungan kuasa blok kerajaan. Pergaduhan tersebut sangat dahsyat dan kotor di mana kedua-dua kem saling 'londeh-melondeh' antara satu sama lain. Hakikatnya, mereka sebenarnya 'membunuh diri' sahaja.
Itu belum lagi mahu dibincangkan mengenai pendirian parti-parti komponen Pakatan Harapan yang lain mengenai pertembungan Mahathir-Anwar ini. Masing-masing mempunyai pendirian yang berubah-ubah, berbelah bahagi dan 'depan cakap lain, belakang cakap lain. Akhirnya, masing-masing tidak jelas akan hala tuju Pakatan Harapan, dan akhirnya gagal menentukan hala tuju negara kerana sibuk berpolitik. Ini membuatkan rakyat rasa menyampah dan marah.
Jadi, janganlah menafikan bahawa kemusnahan Pakatan Harapan ini berpunca dari pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan itu sendiri yang tamak dan gilakan kuasa. Maka, istilah 'khianat' atau 'pengkhianat' tidak patut timbul sama sekali. Janganlah salahkan orang lain, masa untuk refleksi diri.
Yang di-Pertuan Agong sudah beri masa yang cukup kepada Pakatan Harapan untuk selesaikan kemelut yang dilakukan oleh mereka sendiri tetapi dipersia-siakan sahaja. Maka, jauh sekali untuk kesalahan itu diletakkan pada Agong kerana saya kira memang Tuanku telah menjalankan tugasnya dengan penuh berwibawa, bijaksana dan berhikmah. Tidak perlulah turun ke jalanan dan berdemonstrasi untuk menyanggah keputusan Tuanku ini kononnya 'demokrasi sudah mati' dengan membawa pelbagai naratif palsu. Tunggu sahaja parlimen buat undi tidak percaya atau beberapa tahun lagi untuk PRU-15 nanti.
Rakyat sudah penat menyaksikan sandiwara dan siri-siri pergaduhan politikus yang tidak berkesudahan. Masa untuk tumpukan perhatian kepada pembangunan negara yang kita cintai ini.
AMINUDDIN YAHAYA ialah presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma).
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai