Skip to main
Logo Malaysiakini

Kisah Singapura, Jerman dan kita

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Perdana menteri Singapura Lee Hsien Loong diwawancara Fareed Zakaria menerusi rancangan GPS terbitan CNN. Antara lain Lee berkata “the coronavirus will take years to run its course and the world must brace itself.

Dalam erti kata lain beliau menjangka wabak Covid19 akan terus menular sepenuhnya – memakan masa yang panjang. Lantas dunia mesti menerima hakikat itu dan bersiap sedia.

Melainkan, kata Lee, sesuatu drastik berlaku dalam masa satu dua tahun ini untuk mengubah keadaan.

Sememangnya tanda tanda yang ada sekarang menunjuk ke arah keadaan muram, murung, membimbangkan malah menakutkan. Dilihat pada aspek kesihatan dan ekonomi.

Wabak Covid19 sedang mengganas manakala ekonomi dunia merudum dengan cepat.

Pada 29 Mac 2020

Al Jazeera melaporkan Thomas Schaefer, menteri kewangan Hesse, sebuah negeri di Jerman dikatakan membunuh diri kerana terlalu risau tidak dapat menangani keruntuhan ekonomi akibat wabak Covid19.

Rangkaian berita itu memetik beberapa rakan Schaefer berkata sejak wabak koronavirus, mendiang bekerja keras siang dan malam dalam usaha membantu syarikat dan pekerja yang mengalami kesusahan akibat tekanan ekonomi.

Frankfurt bandar raya yang dianggap pusat kewangan Jerman terletak di negeri Hesse.

Schaefer yang memegang jawatan menteri kewangan Hesse selama 10 tahun dikatakan terlalu bimbang tidak dapat mencari jalan penyelesaian untuk membantu syarikat dan pekerja mereka yang berdepan dengan krisis ekonomi yang semakin buruk.

30 Mac 2020

Malay Mail Online melaporkan menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi ) Mustapa Mohamed berkata kerajaan menjangka ekonomi negara memerlukan sekurang-kurangnya enam bulan untuk pulih selepas berakhirnya krisis Covid-19.

Kata beliau jangkaan itu munasabah dengan sokongan beberapa strategi yang betul dan tepat.

Sekali pandang kenyataan itu agak memeranjatkan kerana enam bulan bukan jangka waktu yang panjang. Ketika negara lain yang lebih maju terus gusar kerana tidak pasti bila dan bagaimana mahu memulihkan keadaan ekonomi masing masing, Mustapa yakin ekonomi kita boleh pulih dalam masa sekurang kurangnya enam bulan sahaja.

Apa rahsia beliau? Adakah Tok Pa memiliki tongkat ajaib tntuk menjana keajaiban?

Tapi tunggu sebentar. Untuk berlaku adil terhadap Mustapa saya baca semula kenyataan beliau seperti yang dilaporkan.

“Kerajaan menjangka ekonomi negara memerlukan sekurang kurangnya enam bulan untuk pulih selepas berakhirnya krisis Covid-19.

Kata kuncinya “selepas berakhir”. Maknanya wabak Covid19 mesti berakhir dulu, enam bulan kemudian baru ekonomi boleh pulih.

Bila wabak akan berakhir? Wallahualam. Adakah enam bulan jangka masa munasabah? Atau terlalu singkat? Wallahualam. Tentunya kita masing masing ada pandangan tersendiri .

Pun begitu kita sama sama berdoa, akhir wabak ini datang secepat mungkin. Insya-Allah. Itu yang amat penting sekarang.


MOHSIN ABDULLAH ialah seorang wartawan tua yang menulis mengenai itu dan ini, di sana dan di sini.

Tulisan ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.