Pena melawan
Satu daripada kelompok manusia yang boleh kekal hidup kreatif walaupun berada dalam kurungan, tahanan atau kurungan rumah ialah penulis.
Jika diandaikan perintah kawalan pergerakan bagi mengekang wabak Covid-19 ini dipanjangkan, maka sesetengah penulis akan lebih banyak karya yang dihasilkannya.
Maka tidak hairanlah orang seperti Syed Qutb, Hamka, Pramoedya dan Gramsci - yang terpenjara bertahun-tahun - masih dapat menghasilkan karya yang hebat.
Tentu sekali setiap penulisan semasa tempoh berkurung ini akan berkisar mengenai polisi kerajaan menangani Covid-19 selain pihak yang terlibat secara langsung atau tidak.
Oleh kerana Covid-19 bermula lebih ketara sejurus 'operasi Sheraton', hal ehwal politik menjadi semakin relevan.
Tambahan pula dengan wujudnya watak-watak pemuka agama dan ketuanan bangsa yang merestui gerakan pintu belakang. Ia menjadikan satu idea yang sangat dramatik.
Seperti ungkapan perdana menteri, "We are a nation at war with invisible forces." Virus Covid-19 tidak kelihatan dengan mata kasar. Sama seperti sifat munafik.
Sasterawan Negara, Usman Awang, pernah berpuisi:
‘bisa keris raja,
bisa lagi pena pujangga.'
Puisi itu cuba menggambarkan bahawa pujangga - yang biasanya juga seorang penulis - mempunyai kekuatan tersendiri. Ia jauh lebih berkuasa daripada orang yang memiliki takhta.
Penulis itu ibarat memiliki kemampuan melepaskan sebutir peluru untk menembak dua ekor burung sekali gus! Misalnya melawan pemuka-pemuka pintu belakang dengan wabak pembunuh sekali gus.
Perkembangan teknologi
Dalam semua sejarah perjuangan, penulislah yang paling ke hadapan membuka jalan pemikiran masyarakat untuk melakukan perubahan. Bertuahnya penulis, mereka memiliki idea dan bahasa. Inilah kekuatan penulis yang dihamparkan pada media.
Bermula daripada penggunaan batu, kemudian kayu menjadi media untuk menyampaikan idea kepada masyarakat, Kemajuan teknologi membawa wadah itu ia beralih kepada penggunaan daun lontar, buluh dan seterusnya penciptaan kertas.
Inilah pencapaian teknologi yang mengembangkan perubahan dunia begitu cepat dan menyeluruh.
Kini media jauh lebih maju. Di sekeliling kehidupan kita sekarang, media berada di mana-mana. Media sekarang sangat akrab dengan individu sehingga membentuk kelompok media sosial.
Hasil perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi, banyak aplikasi dan perkakas dicipta bagi menyebarkan informasi dengan begitu cepat. Maklumat kini berada di hujung jari - sama ada melalui komputer atau telefon pintar.
Hampir tiada masalah perbezaan geografi atau sempadan politik kenegaraan. Teknologi maklumat sangat berpengaruh. Dalam konteks sebuah kerajaan, Kementerian Komuniasi dan Multimedia merupakan salah satu kementerian terpenting dalam kabinet.
Kementerian inilah yang bertanggungjawab merangka pemikiran masyarakat dengan menyiarkan berita atau rencana yang dikehendaki oleh kerajaan.
Kementerian ini juga mempunyai kuasa untuk menyaring maklumat luar daripada memasuki tanah air. Bahkan lebih kritikal, kementerian ini mempunyai peranan untuk membina agenda negara.
Segala maklumat yang bertentangan dengan agenda negara (hakikatnya, agenda kerajaan atau parti pemerintah) ditapis terlebih dahulu.
Kerajaan Iran dan Turki pernah menyekat aplikasi Facebook daripada digunakan di negara itu sebagai langkah mengekang gerakan penentangan terhadap kerajaan.
Beijing juga pernah suatu ketika dulu melakukan tindakan sama dalam menyekat maklumat luar yang tidak diingini daripada memasuki China.
Informasi daripada pelbagai media itu sendiri secara tidak langsung merupakan ancaman terhadap kestabilan sesuatu kerajaan. Media sendiri telah membina kekuatan dalam menyanggah legitimasi kerajaan.
Pengaruh berita sensasi
Di negara-negara barat, media mempunyai kebebasan lebih berbanding dengan di negara-negara Asia.
Sumber-sumber berita daripada BBC, CCN, Reuter dan lain-lain agensi berita mempunyai pengaruh kuat dalam mencorakkan suasana politik dunia. Pada realitinya, agensi-agensi berita antarabangsa juga memiliki agenda-agenda mereka sendiri. Mereka cuba memaksa pendengar atau penonton siaran mereka menerima agenda pemikiran mereka tanpa disedari.
Selepas kejatuhan BN, akhbar Utusan Malaysia yang menjadi lidah BN selama ini mengalami krisis kewangan yang lebih teruk sehingga menyebabkan operasinya terpaksa ditutup.
Peranan Utusan Malaysia dalam mempengaruhi pemikiran masyarakat Malaysia dengan versi pemberitaan yang memberi kelebihan kepada BN bukan lagi sesuatu yang asing.
Akhbar Sinar Harian dan Berita Harian - walaupun tidak seperti Utusan Malaysia - masih tidak memberi impak positif kepada kerajaan PH dalam laporan mereka.
Akhbar berbahasa Inggeris seperti The Star, New Straits Times dan - suatu ketika dulu - Echo, lebih memberi faedah kepada golongan pertengahan.
Meskipun kadar jualan akhbar merosot, akhbar versi dalam talian mengambil peranan media cetak. Kandungannya tidak banyak berbeza, bahkan lebih meluas pengaruhnya. Berita-berita yang sensasi dikongsi oleh masyarakat dengan pelbagai kaedah.
Kerana minat sangat dalam bidang kesusasteraan, saya pernah mahu menjadi wartawan. Selain perlu menguasai kemahiran menaip, saya perlu ada recorder untuk merakam wawancara atau ucapan.
Justeru sedikit wang simpanan saya gunakan bagi tujuan itu. Saya belajar menaip di kelas menaip di bangunan Mara Teluk Intan sementara menunggu keputusan SPM.
Kawan-kawan kampung ketawakan. Mereka fikir saya mahu jadi kerani yang biasanya kerjaya untuk orang perempuan. Saya ada dua pilihan ketika itu. Belajar trengkas atau menaip. (Barangkali generasi hari ini tidak tahu atau tidak pernah pun mendengar perkataan "trengkas" itu.)
Cetak pemikiran masyarakat
Saya pilih menaip. Sejarah menunjukkan Abdul Rahim Kajai, Abdul Rashid Talu, A Samad Said, Usman Awang dan dan ramai lagi sasterawan bermula dengan menjadi seorang wartawan.
Pak Subky Latif pernah berpesan, jangan setakat jadi wartawan. Jadilah editor. Tapi sebelum menjadi editor, kena jadi wartawan dulu. Belajar mencari bahan berita. Editor akan canai berita mengikut rangka fikirannya melalui pemilihan tajuk, istilah dan susunan ayat.
Salah sebuah buku Pak Subky bertajuk ‘Propaganda Zaman’ yang diterbitkan oleh Kemilau Publika adalah cerminan seorang editor propagandis pada sesuatu masa.
Saya tidak menjadi wartawan. Tapi saya terus menulis. Mencetak pemikiran masyarakat. Begitu juga beberapa bekas wartawan senior yang terkenal seperti A Kadir Jasin yang mempunyai pengaruh tersendiri dalam mewarna pemikiran sesetengah masyarakat.
Dikatakan orang, tulisan Kadir adalah cerminan pemikiran Dr Mahathir Mohamad. Walaupun hal tersebut tidak dapat dipastikan tetapi memandangkan kedudukan beliau yang rapat dengan bekas perdana menteri itu, agak sukar untuk dakwaan itu disangkal.
Bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan bekas menteri zaman Tun Razak, Dolah Kok Lanas, juga dianggap mempunyai gaya penulisan yang tajam.
Beberapa penulis dan individu yang rapat dengan ahli politik juga memainkan peranan mempengaruhi suasana politik. Dalam konteks media berbahasa Melayu, contohnya Abu Bakar Haq yang dikatakan rapat dengan Mohamad Sabu.
Tulisannya sering dijadikan rujukan oleh pihak tertentu untuk mendapat sudut pandangan yang lebih luas lagi. Tulisan Tukar Tiub, Ahmad Lutfi Othman, Mohd Sayuti Omar, Tamrin Ghafar dan sebagainya juga mempunyai nilai yang sama.
Suatu ketika dahulu, tulisan Ron (Ruhanie Ahmad, bekas ahli parlimen Parit Sulong) mempunyai nilai politik tersendiri. Di sebalik nama-nama penulis yang besar dan terkenal, ramai lagi penulis yang menulis di pelbagai medium dengan tulisan yang bersifat pelbagai.
Tambahan pula jika penulis itu adalah mempunyai gelaran, kedudukan dan terkenal.
Ada di kalangan mereka menulis mitos, khabar bohong, fitnah, mereka-reka, andaian dan sebagainya. Tulisan itu kemudian dikongsi dan disebar secara meluas. Tulisan yang bersifat provokatif dan fitnah dimulakan oleh tangan-tangan yang ada kebencian.
Kemudian tulisan itulah ditularkan oleh pihak yang tidak memiliki tanggungjawab sosial. Setelah itu, tulisan yang jahat itu sampai kepada pembaca yang naif, dungu dan lurus.
Akhirnya masyarakat dipenuhi maklumat yang sarat dengan kebencian. Kebencian ini sepatutnya boleh terhapus dengan adanya lautan ilmu yang luas. Itulah yang sepatutnya penulis lakukan semasa dalam kurungan sebegini.
DR MUHAIMIN SULAM ialah pencatat sejarah suka dan duka bangsa. Daripada pensyarah universiti, penyair, aktivis politik dan budaya.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai