Skip to main
Logo Malaysiakini

Wira sumbang

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Musim-musim dalam kurungan begini, wujudlah hero-hero yang membebaskan masyarakat daripada kelaparan, ketidaktentuan dan kemurungan.

Lalu terciptalah 'vaksin' yang menyelamatkan kita daripada serangan virus hanya dengan air suam, air halia, air jampi dan sebagainya. Ada Doraemon dan aplikasi TikTok untuk menghiburkan. Ada petua bersabar mengadapi keganasan sang suami yang kehilangan kewarasan.

Segala yang bebas mampu mencipta pelbagai dongengan melekakan rakyat yang naif.

Kami yang terkurung ini pula, hari-hari memikirkan tentang hero-hero sumbang yang memecahkan pintu dan bumbung sekali gus untuk masuk ke rumah tanpa mendapat izin pemberi mandat.

Untunglah kami yang terkurung ini ada dua tiga rak buku sebagai peneman sunyi. Jika tidak, agaknya kami pun akan menjadi Doraemon berkeliling bandar bersama Nobita.

Pemimpin yang mahu dianggap sebagai penyelamat atau hero bagi mempertahankan kepentingan masyarakat dan kelompoknya sentiasa wujud pada sepanjang musim. Apatah lagi musim seperti ini.

Kewujudan itu bukan berlaku secara semula jadi semata-mata tetapi ia melalui proses pembinaan pemikiran dalam masyarakat secara budaya. Oleh itu, konsep hero ini sangat relevan dan untuk diperbahaskan bagi lebih memahami psikologi orang Melayu melihat pemimpin pujaan mereka.

Dalam Sejarah Melayu, hulubalang dan panglima dikisahkan berbakti kepada pembesar atau sultan mereka dengan memeras keringat rakyat bawahan, membinasakan musuh, menculik puteri-puteri dari wilayah lain dan mengekalkan kuasa pembesar atau sultan masing-masing.

Rasa gerun dan megah

Sebagai ganjaran kesetiaan dan usaha mereka itu, para pembesar atau sultan akan mengurniakan hadiah, gelaran dan keistemewaan tertentu seperti tanah dan juga wanita.

Apa yang penting, pembesar atau sultan memperolehi kesetiaan yang tidak berbelah bahagi daripada pembesar dan hulubalang mereka.

Perangai ini saling tak tumpah seperti sesetengah ahli politik yang berkhianat sesama sendiri. Mereka menjual kesetiaan demi secebis pangkat dan kedudukan.

Mereka bercakap soal ancaman daripada serangan halimunan tetapi pada masa sama bekerja untuk mengukuhan kuasa melalui pemecatan atau penyingkiran dengan rancak. Serancak hujan pada waktu malam tengkujuh.

Kehebatan pembesar ataupun hulubalang raja akan diperbesar-besarkan sehingga menimbulkan rasa gerun pada musuh dan megah pada kalangan kelompok mereka.

Kebiasaannya golongan pembesar dan hulubalang akan diberikan kuasa tertentu.

Contohnya Hang Tuah. Semasa dia masih kanak-kanak lagi bapanya bermimpi ‘bulan turun dari langit, maka cahayanya penuh di atas kepala’. Dengan mengaitkan kuasa ghaib dengan Hang Tuah, ia memberi gambaran bahawa watak itu memiliki sifat kemuliaan yang luar biasa.

Bahkan kebolehan Hang Tuah bersama rakan-rakannya menuntut ilmu pengetahuan serta bertarung dengan lanun di tengah lautan juga adalah gambaran untuk mengagung-agungkan Hang Tuah.

Walaupun Hang Tuah mempunyai pelbagai kebolehan dan tinggi ilmunya, kehidupannya tidak berasaskan pada nilai-nilai yang baik. Hang Tuah terkenal dengan seorang yang pemboros, suka berhibur, mabuk dan sukakan perempuan cantik.

Hang Tuah sanggup mengoda dan membawa lari Tun Teja semata-mata untuk diserahkan kepada Sultan Melaka bagi mendapatkan semula kepercayaan baginda. Tun Teja yang naif pula tertipu dengan mainan kata-kata Hang Tuah.

Akan tetapi itulah hakikatnya. Hang Tuah kekal menjadi hero orang Melayu. Watak dan perwatakan Hang Tuah terus menjadi wira di dalam pandangan masyarakat Melayu dulu hingga kini.

Tersepit arahan Datuk Maharajalela

Ada sesetengah yang faham tentang permasalahan akhlak Hang Tuah, menjadikan Hang Jebat pula sebagai wira pujaan mereka. Hal ini kerana Hang Jebat adalah tokoh yang menentang kezaliman, mementingkan persahabatan dan berani.

Namun nilai-nilai yang dijadikan kayu ukur untuk Hang Jebat itu tidak berdasarkan falsalafah disarankan Islam.

Walaupun benar Hang Jebat mempunyai nilai-nilai seperti yang dinyatakan tadi, dia juga mempunyai personaliti yang sama Hang Tuah. Sewaktu menguasai istana Melaka, Hang Jebat tetap berfoya-foya dengan dayang-dayang istana, bermukah dengan gundik raja. Tiada siapa yang berani menghalangnya.

Hang Jebat juga mengamuk membunuh rakyat Melaka bagi memuaskan hatinya.

Begitu juga dalam Perang Perak. Watak-watak seperti Raja Abdulah, Datuk Maharajalela, Datuk Sagor dan sebagainya dijadikan wira dalam usaha melawan penjajah.

Namun di sebalik itu, watak-watak tersebut tidaklah boleh dijadikan wira dalam konteks keseluruhannya. Banyak kemusykilan di sebalik peranan mereka melawan Inggeris. Terlibat dengan penindasan orang bawahan seperti perhambaan, misalnya.

Si Putum membunuh JWW Birch kerana dia memang tiada pilihan untuk mengingkari arahan ketuanya. Kegagalan Si Putum melaksanakan tugas itu, bermakna anak isterinya akan dibunuh. Si Putum adalah mangsa kuasa orang atasan.

Tebing Sungai Perak tempat Birch ditikam

Walaupun orang ramai ketika itu tahu situasi tersebut, mereka tetap menyokong Datuk Maharajalela sebab dia adalah pemimpin mereka. Nilai tara pertimbangan masyarakat adalah kerana Datuk Maharajalela "pemimpin kita".

Buruk mana sekalipun dia, Datuk Maharajalela tetap "pemimpin kita". Akibatnya dalam sistem Melayu feudal, istilah "kita" itu hanya mewujudkan golongan bawahan yang tertindas dan golongan atasan yang menindas.

Apa perlunya mengungkit sejarah lama? Hang Tuah itu sejarah 500 tahun lalu. Si Putum itu sejarah 200 tahun lalu.

Inilah perlunya memahami sejarah masa lalu untuk memahami masa kini dan merancang masa hadapan. Jika tidak, perancangan yang dibuat mengabaikan teladan silam.

Himpunan pengalaman yang banyak adalah khazanah ilmu terbaik untuk kita membina peradaban bangsa.

Melihat dalam situasi pada hari ini, siapakah yang menjadi wira dalam pemikiran masyarakat? Siapakah yang dianggap penyelamat bangsa, agama dan tanah air? Banyak pemimpin yang ada pada hari ini memiliki kuasa melalui jalan yang salah. Menzalimi rakyat dan orang bawahan misalnya.

Dapat penghormatan dan sanjungan

Sebagaimana masyarakat dahulu yang tidak peka tentang permasalahan moral pemimpin, nampaknya begitulah yang berlaku pada hari ini.

Tokoh yang korup diangkat menjadi wira dan pemimpin. Pemimpin yang menjulang al-Quran di hujung tombak berdarah milik saudara-saudaranya dijadikan wira. Agama hanya dijaja ke merata-rata untuk mencapai cita-cita peribadi.

Oleh kerana agama itu sifatnya mulia, penunggang agama akan dilihat sebagai mulia juga.

Pemimpin yang bersyair seloka membawa agenda bangsa tetapi dalam masa sama mengumpul kekayaan peribadi daripada harta rakyat dan kerajaan. Rasuah dianggap hal lumrah untuk kemajuan.

Khianat sesama kawan dianggap satu kebanggaan. Tangan kanan yang memberi diberikan gambaran seolah-olah separuh hartanya disumbangkan kepada negara. Hakikatnya, tangan kanan memberi, tangan kiri pula menyeluk poket-poket rakyat.

Kebaikan dipertontonkan di sana sini demi mendapatkan penghormatan dan sanjungan.

Ironinya, hal-hal seperti itu diterima sebagai kebiasaan dan segala kejahatan, penindasan, penyelewangan yang dilakukan sebelum itu hilang seumpama debu berterbangan ditiup angin.

Selagi pemimpin itu adalah "orang kita" semuanya adalah baik-baik saja. Mereka akan tetap diberi kepercayaan untuk memimpin. Hasilnya, tunggulah saat lahirnya kepemimpinan yang akan lemah.

Sumbang sungguh hero itu!


DR MUHAIMIN SULAM aktivis politik, dan penulis buku serta esei.

Rencana ini tidak semestinya mewakili pendirian rasmi Malaysiakini.