Skip to main
Logo Malaysiakini

Habib lawan Wahabi

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Minggu lepas ada satu pertanyaan dikemukakan daripada pelajar saya, dalam sebuah kuliah atas talian. Pertanyaan itu berbunyi, “Apa pandangan Dr mengenai pencalonan sebuah laman petisyen agar seorang ulama dipilih sebagai mufti Wilayah Persekutuan yang baru. Ulama itu seorang Habib”. Ini kerana, terdapat khabar angin, nama teratas untuk jawatan mufti yang akan keluar masuk sebarang acara persekutuan kelak adalah seorang cenderung berfahaman Wahabi.

Di Malaysia, orang Islam kita tidak tahu membezakan siapa atau apa Sunni dengan Wahabi. Kalau kita ke Australia, hatta negeri Arab, atau mana-mana di Eropah, orang Islam akan dengan cepat tahu siapa atau apa beza Sunni dengan Wahabi. Jadi mereka susah ditipu. Di Malaysia lain cerita. Orang Islam kita buta warna, asal hijau itu indah. Asalkan menyokong Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 2016 (RUU 355) dan hadir perhimpunan menyokongnya di Padang Merbok maka dianggap berkehendakkan Islam. Akan tetapi Islam lagu apa, tidak pun orang kita pedulikan.

Saya pun memberi jawapan ‘alam tamadun Melayu’ kepada siswa tersebut. Saya sarjana dalam bidang Pengajian Melayu. Jawapan saya dalam konteks ‘alam tamadun Melayu’ ini, patriot mana pun tidak akan boleh sangkal, waima pun dia mati-mati rasa dia lebih Melayu Islam pendokong Perikatan Nasional. Sebab jawapan saya memang epistemologi, aksiologi, ontologinya semua Melayu-Islam. Paling-paling untuk menidakkan jawapan saya, mereka akan tohmah saya sesat atau liberal (lihat misalnya pada bahagian komentar artikel ini).

Jawapan saya begini. Habib lawan Wahabi ini bukan perkara baharu di alam Melayu. Kalau kamu betul sokong Melayu-Islam, saya akan berikan satu kisah dari ‘Hikayat al-Habib Husain al-Qadri’ yang disalin oleh ‘Alwi bin Ahmad bin Ismail al-Qadri. Ia adalah hikayat mengenai pertembungan seorang Habib dengan ulama Wahabi. Peristiwa ini berlaku dalam tahun 1735 masihi di Kalimantan, dan Ustazah Siti Zailah binti Mohd Yusoff belum pun lahir lagi waktu itu.

Hikayat al Habib Husain al Qadri ini terdapat dua bahagian yang mengisahkan perjalanan beliau sebagai seorang ulama dan pedagang ke negeri sebelah Timur (meliputi Matan, dan Mempawah) yang hari ini dikenali di Kalimantan Indonesia dengan nama kota Pontianak. Bahagian keduanya mengisahkan bagaimana anak beliau yang ditabal menjadi Sultan Pontianak terheret dalam kancah perebutan kuasa. Saya hanya merujuk bahagian pertama untuk menjawab persoalan Habib lawan Wahabi seperti yang berlaku di negara kita hari ini, ketika berada di bawah pemerintahan Melayu-Islam yang tersangat suci dari nafsu GLC.

Protagonis hikayat ini (walaupun judulnya hikayat, ia sebenarnya adalah naskah sejarah) bernama Habib Hussain merupakan seorang yang alim dan berasal dari Hadramaut. Bersama-sama tiga orang rakannya mereka belayar ke Asia Tenggara.

Habib Hussain pilih ke Kalimantan

Ada yang memilih untuk menghuni Siak, dan Terengganu seraya berdakwah manakala Habib Hussain ini memilih ke Kalimantan setelah sempat sekejap di Acheh, dan Semarang.

Habib Hussain berangkat ke Matan di Kalimantan ditemani oleh seorang ulama yang beliau kenali di Jawa bernama Syeikh Salim. Ketika tiba di Matan, mereka mendapati telah pun ada ulama dari keturunan Arab yang sudah sedia menjadi mufti di situ. Nama beliau ialah Sayid Hasyim Yahya atau dikenali orang tempatan sebagai Tuan Janggut Merah kerana kegemarannya mewarnakan janggut dengan air inai.

Harus diingat pada tahun 1735, fahaman Wahabi belum pun ada lagi di rantau ini. Akan tetapi akar atau hulu fahaman Wahabi iaitu ajaran-ajaran melulu daripada Ibnu Taimiyyah dan murid-muridnya, serta kaedah mencegah kemungkaran yang sangat kasar, ganas dan tidak berhemah ala mazhab Hanbali telah pun lama ada. Dalam artikel ini saya tidak akan sempat membicarakan aspek ini. Pun, inilah pegangan dan pendekatan Tuan Janggut Merah kalian.

Ceritanya begini, apabila Habib Hussain tiba di Matan. Dia pun diajak makan kenduri di istana. Tentu, Tuan Janggut Merah kalian yakni mufti sedia ada pun turut diundang. Gambaran perwatakan Sayid Hasyim Yahya yang diberikan dalam Hikayat al Habib Hussain itu saya petik di sini:

Syahadan apabila Sayid Hasyim itu berjalan selalu ia bertongkat dan jarang sekali tongkatnya itu ditinggalkannya. Adapun tongkatnya itu terbuat daripada besi yang beratnya kira-kira tujuh puluh atau delapan puluh kati beratnya. Sebabnya tuan sayid itu memakai tongkat yang demikian itu kerana ia tiada boleh sekali-kali melihat gambaran yang berupa manusia atau binatang, baik di perahu atau di rumah atau pada segala perkakas; sekiranya terpandang atau terlihat kepadanya barang yang bergambar-gambar itu, maka tiada lagi ia bertanya kepada yang punya itu barang terus diambilnya sahaja lalu dipalunya dan ditumbuknya dengan tongkatnya besi itu. Demikianlah ceritanya.

Ketika acara kenduri di istana itu, Tuan Janggut Merah kalian yang perangainya serupa Wahabi Najd itu telah terlihatkan kacip besi pada tepak sirih diraja yang kepalanya gambaran ular kerana ia buatan Bali. Tanpa menunggu lagi, beliau telah menghempuk kacip itu dengan tongkat besinya sehingga rosak. Sultan Matan sangat kecewa tetapi tidak berani bersuara. Bukan sahaja baginda hampa, tetapi baginda juga sebetulnya ‘setengah malu rupanya’ oleh kelakuan mufti kasar di hadapan tetamu. Habib Hussain yang melihat kejadian tersebut telah menggunakan karamah beliau sebagai keturunan Rasulullah saw, menyapu kacip besi itu dengan air liurnya. Oleh karamah itu kacip besi itu menjadi elok kembali sedia kala.

Ekoran kejadian itu, Perdana Menteri bagi Sultan Matan pun menyarankan agar mufti negeri ditukar dari Sayid Hasyim gedebe itu kepada Habib Hussain. Kata tuanku:

Ialah yang kedua tuan sayid itu sama bangsanya Arab lagi yang seorang telah lama tinggal di negeri kita ini dengan gagah serta beraninya. Akan tetapi dia banyak merosakkan barang perkakas. Dan yang seorang lagi baharu datang sini, tetapi sesungguhnya ia baharu datang sekalian barang perkakas yang dirosakkan oleh Sayid Hasyim itu diperbaikinya kembali.

Tuan Janggut Merah pun sakit hati

Perdana Menteri yang baik ialah yang memang menasihatkan raja dan tidak menyelewengkan angka, maka kata menteri, “Mana yang membaiki barang yang sudah rosak binasa ialah kita pakai dan ditakuti.”

Sejak itu Tuan Janggut Merah pun sakit hati. Jawatan muftinya pun dilengserkan. Akan tetapi satu kesempatan untuk membalas berlaku apabila Habib Hussain menghukum seorang pedagang Nakhoda Muda Ahmad yang tidak sengaja mengasari seorang perempuan tempatan ketika berniaga di pelabuhan. Sultan Matan yang terbiasa dengan cara ganas Tuan Janggut Merah ingin menghukum bunuh akan Nakhoda Muda itu. Tetapi Habib Hussain selaku mufti baharu hanya mengenakan denda seadanya. Oleh acuman ulama Wahabi, Nakhoda Muda itu bagaimanapun telah dihilang paksa dan dibunuh. Oleh kerana Sultan Matan tidak lagi mahu mendengar pendapat beliau, Habib Hussain telah berpindah ke Mempawah (enam jam berkayuh sampan dari Matan) dan membuka pondok pengajian di situ.

Profesor Mahayudin Yahaya, bekas pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia sebelum YB Rantau Panjang lahir ke dunia yang fana ini, yang melakukan transliterasi hikayat ini ada menyatakan Habib Hussain berpindah ke Mempawah kerana antara lain Sultan Matan itu ‘bersikap zalim dan berdendam’; dan kerana ‘perselisihan antara beliau dengan dengan Sayid Hasyim di Matan.’

Berdasarkan ‘Hikayat al-Habib Husain al-Qadri’ ini kita mendapati betapa luasnya pengaruh golongan Habib dalam menyebarkan agama Islam, serta berdakwah secara hemah di Nusantara. Dasar dakwah mereka adalah ajaran tasawuf dan kesufian yang menekankan akhlak mengatasi fikah. Yakni bila ihsan boleh diketengahkan, mereka menekankan ihsan berbanding semberono dengan hukum-hakam trivia.

Hari ini seperti mana kejadian berlaku di Matan-mempawah itu, golongan Habib yang mempunyai pengaruh besar dan santun dalam berdakwah sering dibenci dan disasar oleh golongan Wahabi. Di Facebook, atau dalam kuliah ustaz Wahabi bukan main golongan habib ini dicaci maki. Sejak ada usaha mencalonkan seorang Habib sebagai Mufti Wilayah terlihat bertambah amuklah puak Wahabi menista pengikut Ba’lawi ini. Puak Wahabi tanpa segan silu melobi jawatan, tersangat perangai dengan tongkat besinya. Seperti kejadian di Matan lama dahulu, Wahabi bisa jadi deep state (daulah terpendam).

Saya menjawab pelajar saya itu, saya berpendapat Habib tidak akan berpeluang menjadi Mufti Wilayah Persekutuan. Ini kerana sejak zaman Barisan Nasional lagi, Wahabi telah berkuku di banyak tempat, menjalar dalam pelbagai kementerian, bayangkan! Oleh pengaruh Wahabi dan tongkat besi mereka ini rasanya mustahil Habib akan berpeluang menjadi mufti meskipun beliau ulama yang hemah dan rendah diri. Tambah-tambah sekarang Saudi sudah dimesrai kembali dalam dasar luar negeri.

Orang Islam di Malaysia memang tidak tahu membezakan mana satu Sunni dan Wahabi. Kasihan Sunni di negara kita, punyalah tidak mahukan Cina DAP, pilih Melayu-Islam, sekali tengok tersangkutkan Wahabi. Sebabnya senang Sunni di negara kita ini hendak ditipu, cukup kalau menyokong RUU 355 atau menjadi penyokong mana-mana pasukan bola, senang betul hati mereka terpaut. Orang Islam di luar kehairanan bagaimana Islam di Malaysia boleh jadi Islam Tongkat Besi. Tapi apa ada peduli, asalkan tiada DAP.

Yang susah terpaut dan ditawan hatinya oleh Wahabi ialah Ayob Khan Mydin Pitchay, Ketua Polis Johor. Itu pun Wahabi lutu dan tohmahkan juga macam-macam dengan tongkat besi mereka.

Kepada pendokong Melayu-Islam yang baru nak up saya nasihatkan supaya menggali akar peradaban bangsa. Jangan kejar GLC dan berebutkan kuasa sahaja. Sudahnya dalam kubur nanti akan bersoal jawab dengan malaikat. Seperti kata saya di awal, jawapan saya memang epistemologi, aksiologi, ontologinya semua Melayu-Islam. Paling-paling untuk menidakkan jawapan saya, Wahabi dan para minionnya akan tohmah saya sesat atau liberal (lihat misalnya pada bahagian komentar artikel ini).


FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tulisan ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.