Laut China Selatan punca perang dunia ketiga?
Mutakhir ini tersebar berita kapal-kapal perang China dan Amerika sedang berlegar di Laut China Selatan sehingga dikatakan mengganggu kerja penggalian minyak oleh Petronas. Kapal perang Australia juga dilihat meronda bersama dengan kapal Amerika. Ini menyebabkan kegelisahan negara-negara yang ada kepentingan di Laut China Selatan (LCS).
Apa pentingnya LCS?
Umum mengetahui bagaimana China telah mendakwa bahawa LCS adalah milik mereka walaupun mendapat bantahan dari negara-negara persisiran; Malaysia, Vietnam dan Filipina. Apa tidaknya, bukan saja LCS adalah laluan strategik perdagangan antarabangsa tetapi mempunyai khazanah yang cukup bernilai:
11 bilion tong simpanan minyak mentah
190 trillion meter kubik gas asli
30% barang dagangan dunia lalu di sini.
10% sumber perikanan dunia
Dengan nilai yang begitu tinggi dan kepentingan dagangan yang penting, maka adalah sesuatu yang logik LCS menjadi rebutan semua negara persisiran.
China telah mendakwa bahawa 80% dari LCS adalah milik mereka berdasarkan sejarah perjalanan maritim mereka pada kurun ke-15. Malah mereka telah melakar sempadan sendiri di LCS apa yang dikenali sebagai “9 Dash Line” (bawah). Ini bertentangan sama sekali dengan Konvensyen Pertubuhan Bangsa–bangsa Bersatu Mengenai Undang–Undang Laut 1982 (Unclos). Konvensyen ini menyatakan bahawa sesebuah negara hanya boleh memiliki kawasan laut sejauh 200 batu nautika (exclusive economic zone) dari perairan mereka. Tetapi ini semua tidak diendahkan China.
Satu ketika Kepulauan Spratly adalah merupakan pulau-pulau kecil yang tidak mempunyai penghuni tetapi kini China telah membina tujuh pusat ketenteraan yang melingkungi kawasan tersebut apa yang dinamakan sebagai “The Cabbage Strategy”. Bukan itu saja pada tahun 2015 China telah menamakan kawasan LCS sebagai “air identification zone” yang menghendaki setiap kapal terbang yang lalu di atas kawasan LCS perlu mendapat keizinan mereka. Ini sesuatu yang melanggar undang-undang dunia tetapi sekali lagi tidak diendahkan.
Malaysia, Vietnam dan Filipina pernah mengemukakan bantahan tentang tuntutan China tersebut tetapi telah menarik balik bantahan itu sehari selepas ia dikeluarkan. Ini disebabkan bukan saja negara-negara berkenaan tidak “berani” melawan kehebatan tentera China tetapi kerana negara-negara tersebut mempunyai pelaburan yang besar dari syarikat China.
Adakah ini merupakan permulaan kepada Perang Dunia Ketiga?
Kita tidak pasti tetapi melihat keadaan yang berlaku sekarang sudah pasti Amerika Syarikat tidak akan berdiam diri. Ada banyak sebab kenapa kemungkinan peperangan akan berlaku di LCS antaranya:
LCS dianggap kawasan strategik oleh Amerika bagi menjaga kepentingan ketenteraan dan ekonomi mereka.
Amerika sangat takut China akan mengatasi kuasa mereka dalam ekonomi dunia.
Nilai dolar semakin jatuh dan jika Covid-19 ini berpanjangan, pakar ekonomi menjangkakan dunia tidak lagi menjadikan USD sebagai sandaran.
Harga minyak West Texas Intermediate (WTI) telah jatuh bawah paras negative menyebabkan pendapatan negara Amerika menjunam.
Pengangguran di Amerika Syarikat sudah meningkat ke 22 juta orang dan dijangka akan mencecah 44juta sekiranya wabak COVID-19 ini berterusan.
Rumah Putih sudah melabelkan bahawa virus Covid-19 ini adalah chinese virus untuk menanam rasa benci penduduk Amerika kepada China.
Tuntutan China terhadap Taiwan yang dianggap sebahagian dari tanah jajahan mereka juga merupakan faktor besar kemungkinan peperangan akan berlaku. Keengganan Taiwan untuk tunduk kepada tuntutan ini telah menimbulkan kemarahan China tetapi China tidak boleh berbuat apa-apa kerana terikat dengan perjanjian The Sino-American Mutual Defense Treaty antara China dan Amerika yang memberikan Amerika hak membantu Taiwan dari sebarang ancaman penaklukan dari China. Persoalannya; apakah China akan patuh dengan perjanjian ini kerana dalam masa yang sama mereka telah menjalankan dua latihan ketenteraan berhampiran dengan sempadan Taiwan?
Pada tahun 2015 Steve Bannon yang merupakan ketua strategik ketenteraan AS dan kini orang kanan Presiden Trump pernah mengatakan bahawa peperangan antara China dan Amerika sesuatu yang akan berlaku dalam masa lima hingga 10 tahun dari tarikh tersebut. Semalam Menteri Luar Amerika Michael R.Pompeo telah mengeluarkan kenyataan membantah sikap China di perairan LC:
“The CCP is exerting military pressure and coercing its neighbors in the South China Sea, even going so far as to sink a Vietnamese fishing vessel. The U.S. strongly opposes China’s bullying and we hope other nations will hold them to account too.”
Ini semua adalah indikator betapa gentingnya suasana di LCS. Apakah ia akan berakhir dengan peperangan? Semestinya kita semua tidak mahu kerana bukan saja dunia kini berdepan dengan Covid-19 malah impaknya kepada negara adalah kemusnahan yang besar. Malaysia dan negara-negara Asean harus segera bertindak bersatu mempertahankan kepentingan dan kedaulatan kita semua.
AMINUDDIN YAHAYA ialah presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma).
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai