Skip to main
Logo Malaysiakini

Kenapa Tok Guru Nik Aziz suka orang Cina?

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Saya masih ingat, suatu masa dulu allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz pernah berkata bahawa beliau tidak kisah, andai suatu masa nanti perdana menteri Malaysia daripada kalangan orang Cina. Asalkan dia beragama Islam.

Bukan sekali, malah berkali-kali beliau ulangi ungkapan itu, sama ada dalam ceramah politik, mahupun dalam ceramah dan kuliah agama beliau.

Kenyataan tersebut, ada dari kalangan orang Melayu yang tidak bersetuju. Terutama dari kalangan ahli politik. Pun begitu, tidak sedikit yang berbangga dengan kenyataan tersebut.

Tambah-tambah pula, ada yang menafsirkan bahawa kenyataan allahyarham Tuan Guru itu mengandungi maksud dakwah – mahu mengambil hati masyarakat Cina agar menerima Islam sebagai agama anutan. Ataupun, membina persepsi bahawa Islam adalah agama yang baik di mata masyarakat Cina. Paling tidak pun, kenyataan itu memberi perspektif bahawa Islam adalah agama yang tidak mengenepikan manusia dengan sebab perbezaan warna kulit.

Ketika itu, seorang kawan saya yang berbangsa Cina berkata kepada saya bahawa dia tidak bersetuju untuk diangkat orang Cina sebagai perdana menteri Malaysia. Beliau berhujah daripada sudut perundangan dan perlembagaan. Pun begitu, dia cukup mengagumi jiwa besar Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

Tidak diketahui, apa motivasi terbesar Tok Guru Nik Abdul Aziz dalam melihat orang Cina. Dalam banyak ceramah, kelihatan beliau amat optimis dalam melihat perkembangan Islam melalui orang Cina.

Dengan itu, tidak hairan ada tanggapan bahawa itu adalah punca utama beliau mencadangkan untuk membuat masjid dalam seni bina Cina yang dinamakan sebagai Masjid Beijing di Rantau Panjang, Kelantan.

Dengan sebab itu juga, semasa beliau menjadi menteri besar Kelantan, antara nama tokoh yang yang sering beliau angkat adalah Laksamana Cheng Ho, sehinggakan berkali-kali Kelantan dalam pentadbiran beliau mengadakan program melibatkan nama pelayar Cina Muslim tersebut.

Saya kira, allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz boleh diangkat sebagai tokoh yang amat serius dalam melawan perkauman di Malaysia. Lebih-lebih lagi, perlawanan terhadap perkauman itu diangkat oleh Tuan Guru dengan naratif agama.

Sebab itu, masing terngiang-ngiang di telinga saya perkataan Tok Guru:

“Walaupun kita berbeza, hakikatnya kita datang dari so (satu). Melayu ke, India ke, Cina ke, Arab ke, Siam ke, hakikatnya kita adalah anak cucu Adam AS.”

Terma muallaf

Di kampung saya, ada sebuah keluarga Muslim berbangsa Cina. Suaminya bernama Haji Muhammad, sedangkan isterinya bernama Fatimah. Dua pasangan suami isteri ini mempunyai beberapa orang anak yang taat beragama.

Haji Muhammad ini orang yang amat istiqamah dengan solat Jemaah. Hampir setiap waktu, pasti beliau akan menunaikan solat di surau kecuali jika beliau berada di luar Kawasan. Ini kerana, beliau seorang peniaga yang berjaya.

Orang-orang Melayu di kampung memanggil beliau Haji Mad Muallaf. Yang memanggil panggilan itu, kadangkala orang Melayu yang bukan sekadar tidak solat Jemaah, malah tidak menunaikan solat pun.

Kalimah “muallaf” dalam terma agama merujuk kepada orang yang hatinya perlu dikuatkan dengan Islam. Jika difahami terma tersebut, ungkapan “muallaf” tidak layak diberikan kepada Haji Muhammad, tetapi lebih layak diberikan kepada orang Melayu yang tidak solat jemaah (atau yang tidak solat).

Namun, apa boleh buat, dalam persepsi masyarakat Melayu, apabila melihat orang Cina Muslim, pasti akan dijenamakan “muallaf”, walhal kadangkala dalam kekuatan beragama, individu Cina Muslim itu jauh lebih hebat dari Melayu Muslim.

Cina Muslim

Semenjak serangan Covid-19, antara nama yang kerap disebut adalah Dr Noor Hisham Abdullah. Nama itu dijulang, apabila beliau terbukti berjaya dalam mengepalai pasukan negara dalam melawan serangan Covid-19.

Kejayaan beliau itu bukan sikit, malah mendapat pengiktirafan setaraf tokoh perubatan dunia - setanding Dr Anthony Fauci dari Amerika Syarikat dan Dr Ashley Bloomfield (New Zealand) sebagai ‘wajah paling dipercayai’ dalam menangani pandemik Covid-19 ketika ini.

Lebih mengkagumkan, apabila ditanya wartawan berkenaan pengiktirafan tersebut, beliau menjawab: “pengiktirafan itu bukan untuk saya tetapi untuk negara.”

Dr Noor Hisham Abdullah 

Sejak itu, ramai mula mencari dan menyebarkan maklumat berkenaan dengan peribadi Dr Noor Hisham Abdullah.

Dari banyak-banyak maklumat yang disebarkan, antara yang menarik adalah, didapati ketua pengarah kesihatan Kementerian kesihatan itu adalah "budak sekolah agama" - pernah mendapat pendidikan Islam di Kolej Islam Klang (KIK).

Isteri beliau pula merupakan cicit kepada ulama terkenal yang juga mufti Kelantan dalam era 1930-an dahulu, iaitu Haji Wan Musa. Yang lebih menarik lagi, hero rakyat Malaysia itu bukan berketurunan Melayu, bahkan berdarah Cina.

Ustaz Cina

Mengikut kebiasaan, agamawan di Malaysia selalu dari kalangan orang Melayu. Kebiasaan itu semakin lama semakin berubah, apabila terdapat beberapa orang agamawan yang terkenal dalam negara ini yang mereka tidak berbangsa Melayu.

Di Malaysia, kita mengenali Dr Farid Ravi yang berbangsa India, mempunyai kemahiran dalam bidang tafsir al-Quran. Kita juga mengenali Dr Ann Wan Seng yang berbangsa Cina, banyak menyampaikan ceramah agama di seluruh negara, dan banyak menulis buku berkenaan dengan Islam. Demikian juga beberapa nama yang lain.

Semasa berlaku serangan Covid-19, seorang anak muda berdarah Cina telah diangkat sebagai hero oleh rakyat Malaysia, iaitu Ustaz Ebit Liew.

Ebit Liew

Walaupun ada beberapa individu agamawan Muslim yang berbangsa Melayu menyerang beliau, tetapi kebajikan yang dilakukan beliau itu mendapat sokongan dan dukungan segenap rakyat Malaysia merentasi kaum.

Ada orang Cina dan India, bahkan warga bukan Muslim yang bangkit mempertahankan beliau. Sementara itu juga, tidak sedikit dari kalangan orang Melayu yang menampilkan perasaan marah terhadap agamawan Muslim melayu yang telah menyerang beliau.

Bilal bin Rabah

Apabila melihat serangan terhadap Ustaz Ebit Liew, ia mengingatkan saya kepada kejadian yang berlaku dalam sejarah pembukaan Kota Mekah pada tahun 8 hijrah. Ketika itu Nabi telah meminta seorang sahabat yang berbangsa Habsyah bernama Bilal bin Rabah agar melaungkan azan untuk menampilkan kejayaan Muslim menguasai Mekah.

Bilal bin Rabah dibenci sebilangan masyarakat Arab hanya kerana bangsa dan warna kulitnya. Pun begitu, beliau telah diangkat oleh Nabi sehingga beliau dianggap mulia oleh al-Quran.

Ketika Bilal sedang melaungkan azan, beberapa orang Arab yang munafik menampilkan sifat perkauman. Mereka berkata: "Muhammad telah mengangkat si gagak hitam ini untuk jadi tukang azan."

Kenyataan biadab dari orang munafik itu menyebabkan Allah telah menurunkan ayat:

"Wahai manusia kami ciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, berbangsa-bangsa dan berpuak-puak, agar kamu saling mengenali. Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah adalah orang paling bertakwa dalam kalangan kamu." (Surah Al-Hujurat 49:13)

Dengan turunnya ayat ini, kelihatan bagaimana Islam telah mengangkat darjat Bilal bin Rabah yang berkulit hitam berbanding Arab yang berkulit putih; menampilkan bahawa Islam mengajar bahawa manusia itu boleh jadi hero, bukan sebab apa warna kulit dan bangsanya, tetapi sesiapa sahaja boleh jadi hero, jika dia melakukan kebaikan.

Dengan sebab itu, apabila melihat rata-rata rakyat Malaysia mengangkat dua orang Cina Muslim ini sebagai hero negara, saya memikirkan andai Tuan Guru Nik Abdul Aziz masih hidup: Agak-agaknya, bagaimana allahyarham pamerkan kegembiraan beliau? Agak-agaknya, apa mutiara hikmah yang akan terpancul daripada mulut beliau ketika memberi komentar terhadap kedua-dua mereka ini?


WAN JI WAN HUSSIN ialah pendakwah dan pengarah akademik Saudara Research Centre.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.