Skip to main
Logo Malaysiakini

Memimpin pandir

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Salah seorang pimpinan Bersatu mengatakan bahawa masyarakat kita adalah feudal. Itulah jawapan yang diberikan apabila saya mempersoalkan kesetiaan Bersatu kepada Pakatan Harapan (PH).

Kami dulu pernah sama-sama merasa sakit. Apabila sampai di titik kritikal sebegini, ada pula yang sanggup meninggalkan PH untuk bersama gerombolan yang memasuki rumah dari pintu belakang atau menebuk atap.

Kedua-duanya - yakni jalan masuk dari belakang atau atap itu - merosakkan rumah.

Takrif feudal jika dilihat secara ringkas ialah kesetiaan dalam suatu sistem perhubungan masyarakat antara yang berkuasa dengan yang tidak berkuasa. Ia berbentuk piramid.

Golongan atasan menentukan dasar atau tindakan, manakala golongan bawahan hanya taat mengikut arahan dan menerima ganjaran.

Gambar hiasan, piramid firaun di Mesir.

Dalam dunia moden, kerangka ini kekal wujud di mana-mana masyarakat. Yalah, bergabung dengan 'penyamun beriman', bak kata P Ramlee. Gerombolan yang mendapat syurga. Setidak-tidaknya - kata mereka - semua berkongsi satu aqikah dalam kad pengenalan.

Tidak kiralah berapa tinggi nilai rasuah dan rompakan yang dibuat. Bukankah Tuhan itu Maha Pemurah?

Agama memang mencegah orang berbuat dosa. Tetapi berapa banyak orang berbuat dosa atas nama agama? Kartini sudah lama mengeluh mengenai segelintir agamawan yang asyik menunggang agama demi kepentingan puak mereka.

Syaitan memang terbelenggu siang malam sepanjang Ramadhan ini. Tetapi 'syaitan' bertali leher, berkot atau berjubah tetap wujud dan gigih bekerja.

Benar, berkerja seolah-olah kamu akan hidup seribu tahun lagi.

Kewujudan segelintir ulama, pemimpin atau wira yang jahat ini kukuh kerana bersamanya adalah sebilangan rakyat yang pandir. Itulah pakej rangsangan membabitkan masyarakat sama ada kelas menengah atau elit.

Tak ada demo, mengamuk

Jangan bercakap soal orang miskin, orang tiada berpendidikan atau yang tiada apa-apa. Kerana pandir, sesetengah mereka sendiri tidak tahu apa makna pandir.

Berselindung atas usaha memerangi Covid-19, kerja-kerja politik kotor diteruskan. Musim membahagikan rezeki terpijak berlangsung tanpa gangguan.

Sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) ini, sudah berapa mitos disyarah di depan rakyat? Di sebalik peraturan "stay at home" pandir kekal berasa bahagia, goyang kaki tetapi tetap ada gaji.

Pandir tenang, walau keluarga sendiri kelaparan. Ini kerana ramai lagi yang lapar. Bukankah Ramadan memang bulan untuk menahan kelaparan?

Pandir yang sedang kenyang dengan kuasa akan tetap menampakkan kepandiran mereka pada kelas tersendiri. Pandir yang berkuasa biasanya ghairah memperagakan apa yang ada pada dirinya pada mata media.

Sewaktu jatuhnya rejim Umno yang menguasai enam dekad pemerintahan, keadaan berlangsung dengan aman. Tiada yang mahu berdemo atau mengamuk.

Masyarakat Melayu menerimanya sebagai ketentuan dan takdir Tuhan. Parti di negara-negara lain pun jatuh. Ahli Umno boleh menerima kekalahan mereka.

Cuma biasalah, ada beberapa kerat yang mengkritik pemimpin mereka. Itupun sekejap saja. Apabila Najib Razak meletak jawatan, masalah seakan-akan selesai.

Kini, Umno dan sekutu-sekutunya bersyukur kerana rezeki menjelma lagi menjelang Ramadan seperti ketentuan Tuhan Yang Maha Adil dan Maha Bijaksana.

Tiba-tiba Dr Mahathir Mohamad melepaskan jawatannya. Nikmat mana yang hendak kamu nafikan?

Tapi tidak semua pandir menurut sahaja. Ada juga yang melawan. Cuma mereka melawan bersama kepandiran yang kental. Pandir yang tidak mahu belajar. Sombongnya pun, boleh tahan. Ada baik juga PH tumbang sebelum pandir melawan itu lebih berkuasa.

Daripada bekas CEO, ahli lembaga, ahli majlis hingga ahli MPPK menerima notis pemberhentian ketika dalam PKP dengan rasa tenang dan sabar. Bahkan sewaktu kejatuhan PH, ia diterima sebagai "tiada rezeki" dan "kita akan lawan lagi".

Sudah berapa banyak sejarah parti kalah akan bangkit semula?

Sementara PKP masih berlangsung ini, OK, kami akan terus berkhalwat dalam rumah, masak-masak, kemas kini status di Facebook atau menonton filem. Kemas rumah kemudian bertadarus. Kami patuh dan akur.

Oh Pandir!


DR MUHAIMIN SULAM aktivis politik, dan penulis buku serta esei.

Rencana ini tidak semestinya mewakili pendirian rasmi Malaysiakini.