VIP, isteri dan anak-anak
Tiga tahun lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ada memberitahu penyiaran posting media sosial adalah antara sumber maklumat bagi badan itu menjejaki kekayaan yang didapati dengan cara tidak betul. Dalam erti kata lain, diperoleh secara haram.
Lantas kakitangan kerajaan dan keluarga mereka yang gemar menunjuk-nunjuk percutian di luar negara yang menelan belanja besar serta mempamer barangan mewah milik mereka di platform media sosial seperti Facebook dan Instagram mengundang perhatian SPRM.
Kata Azam Baki, ketika itu timbalan ketua pesuruhjaya (operasi) SPRM, walaupun bukanlah satu jenayah bagi kakitangan awam dan anggota keluarga mereka memiliki beg tangan dan jam jenama mewah tetapi “jika mereka mempunyai banyak beg Hermes, Chanel atau Louis Vuitton, ini akan menimbulkan persoalan dan syak terhadap sumber kekayaan itu.”
Dan kata Azam lagi:” Jika kakitangan awam serta anggota keluarga mereka memiliki lebih daripada satu dozen barangan mewah dan menayangkan untuk khalayak ramai kami mahu tahu mana mereka dapat wang untuk membeli barangan itu.”
Berdasarkan apa yang dikatakan Azam itu, saya bertanya menerusi artikel saya buat The Edge pada 23 Januari 2017, sama ada kita boleh menjangkakan SPRM menjangkau lebih jauh daripada itu.
Maksudkan SPRM akan juga perhatikan menteri dan ahli parlimen. Ini kerana ketika itu anggota keluarga menteri, timbalan menteri serta ahli parlimen amat gemar memperagakan kemewahan mereka menerusi media sosial. Facebook dan Istagram adalah platform kegemaran mereka untuk berbuat demikian.
Umpamanya, barisan kereta mewah dan jam tangan mahal dikatakan milik anak seorang menteri kerap dilihat di Facebook dan Instagram. Gambar gambar itu dinaik muat sendiri oleh anak menteri berkenaan.
Ada juga anak remaja seorang lagi menteri yang mengucapkan terima kasih kepada daddy kerana menghadiahkannya beberapa pasang kasut berjenama yang dianggarkan berharga RM5,000 sepasang. Penghargaan kepada ayahnya dibuat menerusi Instagram.
Gambar seorang menteri dan keluarga ketika bercuti di Eropah termasuk berlayar dengan kapal mewah di perairan Greece juga ditayangkan.
Begitu juga posting Instagram seorang isteri ahli parlimen menunjukkan kekerapan beliau dan keluarga pergi bercuti secara mewah di Asia dan Eropah yang disulami fine dining di restoran terkemuka dan membeli belah di gedung terkemuka. Semuanya boleh dilihat, ketika itu, di media sosial. Semua hanya a click away.
Pesan Megat Junid
Perlu ditegaskan saya tidak menuduh apa apa terhadap sesiapa ketika menulis artikel saya tiga tahun lalu. Tidak ada salahnya menteri, timbalan menteri, YB dan keluarga mereka pergi menikmati percutian mewah dan memiliki barangan mahal.
Cuma bak kata Azam memperagakan barangan dan cara hidup mewah berlebihan boleh menarik perhatian SPRM dan menimbulkan persoalan orang ramai. Itu sahaja.
Kini saya teringat pula coretan allahyarham Megat Junid Megat Ayob dalam bukunya berjudul Getek terbitan tahun 2000.
Allahyarham adalah ahli politik Umno berasal dari Perak yang pernah berkhidmat sebagai setiausaha parlimen, timbalan menteri dan menteri. Kesimpulannya allahyarham adalah seorang pemimpin Umno yang terkenal.
Dalam bukunya yang saya sebut tadi allahyarham Megat Junid antara lain menulis mengenai gelagat wakil rakyat yang gemar berlagak dengan kereta mewah dan pakaian semasa melawat kawasan. Lazimnya di kampung.
Turut ditonjolkan ialah perangai isteri si wakil rakyat ketika mengiringi suami melawat kampung.
“Isteri pun ikut sama. Bukan main, make-up pun dah lain. Fesyen rambut pun dah lain. Bersalam pun dah lain. Sentuh hujung tangan sahaja. Baju mahal. Pakai barang kemas mahal mahal. Buat apa nak tunjuk orang kampung. Buat apa nak lawan orang kampung.
“Duduk mesti main table. Duduk mesti tepi suami (wakil rakyat). Kalau tidak nanti orang tak kenal. Lepas minum buka beg. Ambil cermin kecil. Ambil tisu betul betulkan make-up. Ambil lipstick. Betulkan lipstick di bibir.
“Orang kampung tak suka. Orang kampung meluat. Orang Perak kata getek betul aku tengok.”
Menurut allahyarham Megat Junid ”getek” adalah bahasa orang Perak jati yang membawa erti “meluat, muak, menyampah dan benci yang amat sangat”.
Dewasa ini adakah YB dan isteri yang berkelakuan seperti yang allahyarham Megat Junid katakan 20 tahun lalu?
Adakah menteri, isteri dan anak anak mempamerkan kemewahan di platform media sosial seperti pada tahun 2017?
Dan adakah anak menteri berlagak dan berbuat sesuka hati hanya kerana ayah dia orang besar?
Jika ada rakyat akan kata “Getek betul aku tengok”. Tak kira sama ada rakyat orang Perak atau mana pun.
MOHSIN ABDULLAH ialah seorang wartawan tua yang menulis mengenai itu dan ini, di sana dan di sini.
Tulisan ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai