Skip to main
Logo Malaysiakini

Balik-balik Cina juga

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kami masih anak-anak. Sukar untuk kami memahami erti keganasan. Macam apa keganasan itu?

Wajah perempuan tua itu, dengan selipar Jepun yang lusuh, kain batik pudar warna dan selempang di kepalanya melekat dalam ingatan kami. Perempuan itu menjunjung sebuntil besar kain di atas pundak kepalanya. Bagaimana dia mengimbangkan itu dengan jaya? Manakala di belakang, tersangkut semacam beg mengkuang yang tidak dipastikan apa kandungannya. Dia menawarkan sesuatu - yang kemudian kami diberitahu - kain untuk dijual. 

Sebagai anak-anak, kami tidak tertarik. Untuk apa membeli kain daripadanya? Seingat kami, kain ela yang cantik-cantik kami beli di Kampung Jawa. Kalau ada duit lebih, keluarga kami akan menjalar sehingga ke Kuala Lumpur. Kami membeli kain di Globe Silk Store. Tatkala itu Jakel belum ada.

Perempuan tua itu, kata ibu; “Lari dari Kemboja.”

Kenapa mereka ‘berlari’ dan berlari dari apa, tidak ibu jelaskan.

Sehingga hari ini yang masih tidak tertanggal dari benak ini tentunya selipar Jepun yang lusuh, kain batik susut warna dan mata perempuan itu. Sepasang mata itu sedih sekali. Sepasang mata itu terlalu menagih dan meminta. Sepasang mata itu bukan setakat berkaca-kaca. Sepasang mata itu persis berlian berharga tetapi tersembunyi dalam-dalam dan berlian selalunya berlumuran darah sebelum dapat dilombongi keluar. 

Bila kami dibawa naik kereta untuk ke Globe Silk Store di Kuala Lumpur; dari Melaka, kami akan menempuh jalan yang berbelok-belok melepasi Alor Gajah, Rembau, dan Seremban. Belum ada Lebuh Raya Utara Selatan semasa itu. Sepanjang perjalanan itu kami hanya digalakkan agar tidur. Maka kami akur. Kami lena-lelap sepanjang perjalanan darat dengan kereta Fiat. Dalam lena, peluh di tengkuk bergayutan melekit di tengkuk, kami akan mendengar perbualan ibu dan abah sayup-sayup.

Setiap kali hampir masuk ke Kuala Lumpur, kami akan menempuh tiga blok kediaman Kem Transit Sementara Sungai Besi. Ia kelihatan seperti rumah merpati, berlubang-lubang dari jauh, tetapi juga ada titik-titik warna yang melambai menerpa mata. Ia adalah kibaran pakaian yang terampai dan semakin kenderaan kami mendekati, melepasi blok kediaman yang tampak berlubang bertebuk itu, semakin terlihat titik-titik tampang manusia bergerak-gerak bagai kerengga kerusuhan.

Kami masih ingat bertanyakan abah, dengan suara gamam dan ingin tahu yang tinggi.

“Orang Vietnam.” Kata abah.

“Orang Hanyut Vietnam,” sahut pula ibu menambah.

Tiba di Globe Silk Store

Apabila kami tiba di Globe Silk Store pemandangan rumah merpati yang sesak itu mengungsi dan tidak terlihat lagi. Kami memilih kemeja warna-warni, celoreng dan belang-belang untuk dikenakan di Hari Raya nanti.

Pada tahun 2006, kami sedang menghela beg besar - tiga buah - dengan penuh susah payah saat baru tiba dari Frankfurt, Jerman. Di stesen Bad Godesberg, kami terpinga-pinga mencari pintu keluar. Kami dilanda rasa teruja, gemuruh serta juga gempar dalam dada. Ada geruh dan takut memikirkan diri terlontar jauh dari tanah air.

Ternyata kami salah turun. Seharusnya ada satu lagi hentian keretapi sebagai tujuan. Stesen itulah yang lebih hampir dengan Goethe Institute. Dalam rasa yang berbagai-bagai itu seorang lelaki yang mungkin berusia pertengahan 40-an, berwajah Asia merenung kami, dengan penuh minta. Renungan itu menambah khuatir dan lebih membuatkan kami berhati-hati.

Dia bertanya kepada kami dalam bahasa Jerman. Mungkin dia terlebih ramah.

Mungkin dia menawarkan pertolongan. Setelah berhempas pulas cuba memahami satu sama lain kami yakin dia ingin menunjukkan arah. Dia membantu kami, menghela dua buah beg berat sehingga ke hadapan asrama Goethe.

Sebelum pamit, lelaki berwajah Asia itu berusaha menyatakan bahawa dia dari Vietnam, tetapi kini dia warga Jerman. Kami kemudian menebak kata-katanya; “Saya pernah hanyut di Malaysia. Di Bidong. Kemudian ke Sungai Besi. Terima kasih kerana menerima saya.”

Semacam itulah agaknya, meskipun tidak setepat itu. Kami tidak ada perasaan ketika itu. Dapatlah kami katakan, emosi lelaki itu tidak pun kami rasai. Rasa kasih itu tidak terkongsikan oleh jiwa yang barangkali dibunuh oleh rasa teruja kami kerana akhirnya tiba di destinasi yang ditujui.

Lelaki itu meminta untuk mendakap. Kerana itu sahaja peluang dia mengucapkan terima kasih. Maka dengan sungguh-sungguh kami dipeluk erat sekali. Tentu, pautan lelaki Vietnam itu tidak pun kami balas. Ia adalah momen paling absurd yang pernah kami ingat. Ia serasa komik meskipun tidak lucu.

Kadir namanya. Wajahnya teduh. Matanya sejenis menangkap. Bukan mata galak tetapi mata yang menjerat rasa ihsan. Seakan-akan sepasang mata itu berlari-lari dari hambatan yang amat melelahkan. Kadir bekerja sebagai tukang cuci kereta di bawah kolong apartmen kami. Taukenya Cina Sentul. Kadir membasuh kereta Tiara milik kami sungguh-sungguh. Kalau ada satu calit lumpur atau tahi gagak yang sukar ditanggalkan, dia beria-ia berusaha menghilangkan. Oleh selalunya kami mencuci kenderaan di situ, kami jadi berkenalan. Namanya Kadir. Bahasa Melayunya fasih sekali. Wajahnya mungkin tidak sesegak Priyanshu Painyuli dalam filem Extraction di Netflix, tetapi dia tergolong tampan. Terlalu segak untuk menjadi seorang tukang cuci kereta di bawah kolong.

Kadir baca Times

Pada masa lapang, Kadir membaca majalah Times lama. Kami tidak tahu dari mana dia beroleh majalah-majalah lama itu. Tetapi majalah Times? Tidakkah itu keterlaluan untuk Kadir?

Senyap-senyap kami tahu Kadir boleh berbahasa Inggeris, malah dengan sempurna sekali. Mungkin Inggerisnya jauh lebih baik dari penguasaan Inggeris kami.

Minggu demi minggu, kami mencungkil rahsia dan Kadir memberitahu dia masih bujang. Awal 30-an. Dia punya sarjana dari University of Dhaka. Tapi merempat di Sentul. Universiti itu menghasilkan graduan yang cemerlang seperti penerima Hadiah Nobel 2006, Muhammad Yunus, dan Kazi Nazrul Islam, penyair terkenal Benggali. Ia merupakan salah satu universiti ternama di Asia.

“Bidang kajian saya sejarah Bangladesh.”

Kami terkesima, “Mengapa kamu di sini? Mengapa kamu mencuci kereta di Kuala Lumpur?”

“Siapa yang ingin tahu sejarah Bangladesh, abang? Siapa yang perlukan sejarah?” tanyanya kembali.

“Politikus selalu memporak-perandakan sejarah untuk kepentingan diri,” tambahnya lagi.

 Kami mengerti manusia tidak merasakan ilmu kemanusiaan punya apa-apa erti.

Beberapa lama kemudian kami tidak lagi melihat Kadir. Dia diganti seorang anak muda Melayu yang cengkung dengan mata kuyu, dan kelihatan selalu khayal atau mengantuk. Pernah kami bertanyakan, “Apa yang terjadi kepada Kadir?”

“Bangla bang, dah kena tangkap. Tak ada pasport.”

Meskipun pemuda itu tidak menyatakan yang sesungguhnya, bahawa Kadir bukan tidak punya pasport tetapi kerana disimpan orang tengah yang membawanya masuk sebagai tebusan. 

“Bangla, memang macam tu bang. Tak ada pelajaran, mengemis di negara kita.”

Tambah pemuda mata kuyu seraya tertawa. Dia mengelap kereta kami acuh tidak acuh.

Kami ingin membantah, tetapi memilih diam.

Ciapan Rais Yatim

Selang hujung minggu berikutnya, pemuda lain menggantikan pemuda bermata kuyu dan kami diberitahu pula, “Budak tu dah kena tangkap bang. Budak dadah.”

Kami tidak pernah melihat Kadir lagi kemudiannya.

Baru-baru ini Rais Yatim dalam satu ciapan menyatakan begini: “Kaum lain yang datang ke mari zaman Inggeris 20-an begitu juga akhirnya. Kita sama-samalah belajar dari sejarah yang setakat ini banyak menyebelahi orang luar." 

Kata-kata mutiara Kadir banyak tahun lalu tiba-tiba menerpa bagai peluru melesat dari pistol masa silam, menembak sel-sel otak, “Politikus selalu memporak-peranda sejarah untuk kepentingan diri.”

Rais Yatim

Apa yang diciap Rais itu tidak pun separuh benar. Barangkali tidak sampai suku benar. Kami bukan pakar sejarah bangsa India di tanah Melayu, tetapi untuk bangsa Cina, dalam tahun-tahun abad ke-19 mereka diundang - bukan sekadar dibawa masuk - tetapi diundang untuk datang ke sini.

Siapa mengundang mereka?

Itulah yang kami katakan kita wajib belajar sejarah. Dan jangan jadi jahil. Apatah lagi memilih menjadi rasis. Kajian Carl A Trocki, dalam sebuah tulisan ilmiah mendalam mengenai pelanunan dan politik lampau berjudul Prince of Pirates: The Temenggongs and the Development of Johor and Singapore 1784—1885 menceritakan perihal kaum Cina diundang datang untuk bekerja, khususnya di Johor:

“The phenomenon of Chinese labour migration, beginning as it did in the early eighteenth century, shattered the old cliche: ‘the colonialists brought the Chinese to Southeast Asia’. Not only did Chinese come on their own, in Chinese ships, with the assistance o f Chinese capital, and to serve the Chinese economy, they also came at the request o f native rulers who were eager to profit from their work. These rulers, like the kings of Siam, the Yamtuan Mudas of Riau, the Sultans o f Palembang and Pontianak and the Temenggongs o f Johor, invited them to come and develop their countries. I would estimate conservatively that there were already at least 100,000 Chinese hard at work in the broad region covering Bangka, Pontianak, Riau, Trengganu, Kelantan, and Phuket by 1780. They were there before the British established colonies (with the exception of Bencoolen) and were there much to the worry and chagrin of the Dutch.”

Bisnes menggunakan buruh Cina ini dilakukan bangsawan dan borjuis Melayu-Bugis membabitkan pelbagai perniagaan merangkumi candu, senapang, dan kain: 

The Chinese junk trade, the settlements of Chinese labourers, the British trade in opium, guns and cloth, and the Bugis trading network had already been woven together under the management o f Malay and Bugis rajas more than half a century before Raffles set foot on Singapore Island.”

Komentar rasis

Jadi tiap kali kami mengingati Kemboja, Vietnam dan Bangladeshi; balik-balik Cina juga yang kena. Asal bukan Cina. Padahal Cina diundang.

Setelah bulan keempat di Bonn, atau setepatnya di Bad Godesberg, kami menemui sekali lagi lelaki Vietnam itu. Dia rupa-rupanya memiliki sebuah toko cenderamata di pusat bandar Bonn. Dia sudah berkahwin dengan seorang perempuan Jerman dan punya dua orang anak lelaki yang wajah kacuk mereka bagaikan secuil titis darah Nabi Sam Alaihissalam.

Kami terserempakkannya lagi di stesen kereta api. Lelaki itu menyatakan, “Saya tahu kamu dari Malaysia. Orang kamu baik-baik. Saya hidup sederhana di sini tetapi bahagia. Saya tidak akan lupakan Malaysia yang berani dan sempat menerima saya setelah kami mengharung laut luas.”

Kami diam. Yang tidak kami nyatakan terdapat rakyat Malaysia yang membenci pelarian atau pencari suaka. Bahkan gembira jika mereka mati dihempas ombak Laut China Selatan, atau menembak mereka biar karam di samudera buas.

Apa yang akan kami katakan untuk lelaki yang berterima kasih ini?

Kami sekadar tersenyum pahit. Yang tidak juga kami nyatakan adalah penderitaan mereka, orang hanyut itu hanya pernah datang atau mampir sebentar di Sungai Besi.

Ia cepat hilang di bawah susunan kain ela di Globe Silk Store. Hilang luput di ciapan atau komentar sebegitu rasis oleh rakyat Malaysia di media sosial.


FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tulisan ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.