Skip to main
Logo Malaysiakini

Ustaz Ismail Kamus: Lucu tapi berkesan

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Suatu hari saya diajak oleh Datuk Mahfuz Omar bersama beberapa rakan makan di Restoran Wadi Hadramawt, Ampang. Setelah kami selesai menjamu nasi Arab, sebelum kami beredar pulang, tiba-tiba kelihatan Ustaz Ismail Kamus masuk ke restoran bersama beberapa orang rakan.

Kami pun bersalaman dengan Ustaz Ismail. Datuk Mahfuz Omar berkata: "Makan kambing, nanti pening kepala, ustaz."

Dengan spontan Ustaz Ismail menjawab: "Kalau tak makan kambing, itu lagi pening kepala."

Kami yang hadir di situ ketawa dengan gurauan lucu Ustaz Ismail Kamus.

Ya, itulah watak Ustaz Ismail Kamus yang kami kenal sejak sekian lama. Beliau pandai bergurau, tetapi dalam banyak-banyak gurauan beliau kadangkala mempunyai 1,001 hikmah.

Forum Perdana

Di pertengahan tahun 90-an, antara rancangan yang menjadi minat dalam kalangan orang Islam di Malaysia adalah forum Perdana Ehwal Islam di TV1.

Rancangan tersebut menampilkan beberapa tokoh besar agama seperti Datuk Dr Hasan Ali, Datuk Dr Harun Din, Datuk Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man, Datuk Ustaz Hassan Din, Datuk Ustaz Hassan Mahmud al-Hafiz dan beberapa nama besar yang lain.

Nama Ustaz Ismail Kamus antara yang terserlah. Ini kerana pendekatan beliau agak berbeza dengan yang lain, iaitu beliau ada kemampuan dalam membuat lucu dalam menyampaikan sesuatu pandangan agama beliau. Pendekatan ini sudah pasti amat diminati ramai dalam kalangan orang Melayu Muslim di Malaysia.

Ketika itu saya masih di sekolah rendah. Dari rancangan tersebut, saya mengenali nama besar yang bernama Datuk Ustaz Ismail Kamus. Malah, ia menjadi ustaz kegemaran keluarga saya yang ketika itu baru berjinak-jinak dengan agama.

Saya kira ramai yang berkongsi pendapat dengan saya, bahawa Ustaz Ismail Kamus

mempunyai kebijaksanaan dalam menegur beberapa amalan agama dalam masyarakat Melayu di Malaysia. Kebijaksanaan itu terserlah yang kadangkala kandungan teguran beliau, jika dibandingkan dengan teguran ustaz lain, ia adalah sama, tetapi implikasi penerimaannya berbeza.

Contohnya, beliau menegur orang yang menghisap rokok. Pendekatan beliau bukan menghukum tetapi membawa naratif makanan jin - beliau menjelaskan bahawa disamping tulang, asap juga makanan kegemaran jin.

"Siapa yang hisap rokok, maka dia adik-beradik jin,” ucap beliau dalam ceramah menyebabkan orang ketawa termasuk penghisap rokok.

Beliau pernah mengkritik beberapa sikap ahli politik yang bermain-main dengan hukum Islam - apabila menguntungkan mereka, hukumnya halal; apabila merugikan mereka, hukumnya haram.

Lalu, beliau menyindir ahli politik sebegitu dengan mencipta istilah "halam", iaitu gabungan antara halal dan haram.

Politik

Mungkin golongan muda agak kurang mengenali allahyarham Ustaz Ismail Kamus. Bagi golongan pertengahan dan yang sudah berumur, nama beliau bukan asing. Kaset-kaset ceramah beliau boleh dikatakan mudah didapati di kedai yang menjual barangan keagamaan.

Beliau bukan sekadar dikenali sebagai orang yang beramanah dalam beragama, malah cukup beramanah dalam pengurusan wang.

Kita tahu pada tahun 1998, sejarah pemecatan Anwar Ibrahim dari jawatan timbalan perdana menteri melahirkan keuntungan politik kepada pihak PAS yang ketika itu presidennya adalah allahyarham Ustaz Fadzil Noor.

Pada tahun 1999, berlaku pilihan raya umum. Atas permintaan beberapa rakan dan taulan, Ustaz Ismail Kamus telah masuk bertanding atas tiket PAS. Dalam pilihan raya itu, beliau menang di DUN Gombak Setia.

Ketika itu, beliau merupakan salah seorang Adun dari pihak pembangkang, yang kadangkala mempunyai masalah kewangan untuk pengurusan DUN. Menurut ceritanya, apabila keadaan begitu berlaku, beliau akan pergi ceramah ke luar negara dan meminta bantuan kewangan melalui derma-derma. Hasil kutipan derma itu, diserahkan seratus peratus untuk kegunaan DUN di tempat beliau, tanpa beliau mengambil satu sen pun untuk peribadi beliau.

Walau bagaimanapun jangka hayat politik beliau tidak lama. Pada tahun 2004, beliau kalah dalam pilihan raya umum. Selepas itu, beliau memfokuskan diri beliau dengan sudut kerja dakwah.

Tak suka gaduh khilafiah

Bagi orang yang selalu mengikuti ceramah beliau, pasti akan mengetahui bahawa beliau bukan seorang yang suka kepada perbalahan aliran pemikiran dan mazhab.

Beliau tidak pernah dilihat sebagai seorang agamawan yang dibenci oleh mereka dari aliran Asyairah mahupun Salafiyah. Semua pihak senang dengan beliau. Tidak kurang juga, di setiap pihak mendakwa bahawa beliau dari aliran mereka.

Beliau mengajar kepada kita, soal aliran dan mazhab perlu saling menghormati, bukan dijadikan sebagai alat permusuhan. Demikian juga, beliau mengajar kepada pendengar ceramah beliau agar menghormati pengamalan mazhab setempat.

Atas sebab tidak suka kepada permusuhan itu, kita tidak akan pernah mendengar sebarang caci-maki ataupun serang peribadi yang dilakukan oleh beliau di dalam ceramah.

Meninggal dunia

Sebelum ini, beberapa kali tersebar berita kononnya beliau telah meninggal dunia. Tetapi banyak berita yang tersebar itu adalah palsu.

Beberapa hari sebelum beliau meninggal dunia, turut tersebar berita kononnya beliau sedang sakit kuat. Tidak kurang juga, tersebar sekali lagi berita palsu, kononnya beliau telah meninggal dunia.

Ketika mendapat berita palsu itu, saya melihat diari di smartphone saya - apakah hari itu hari Jumaat? Saya dapati bukan hari Jumaat.

Hati saya terus berkata, Ustaz Ismail Kamus seorang yang soleh, sudah pasti Allah akan mengambil nyawanya pada hari yang mulia dan yang ada keberkatan.

Tanggal 15 Ramadan, bersamaan dengan 8 Mei, jatuh pada hari Jumaat - Ustaz Ismail Kamus yang kami pernah mengambil ilmu daripada beliau telah dijemput oleh Allah. Semoga Allah melimpahkan rahmat dan kasih sayang kepada Ustaz Ismail Kamus. Amin.


WAN JI WAN HUSSIN ialah pendakwah dan pengarah akademik Saudara Research Centre.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.