Skip to main
Logo Malaysiakini

Kerajaan belakang pintu

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Maka seorang siswa pun bertanya kepada saya, pernahkah terjadi dalam sejarah kesultanan Melayu, perkara seumpama penubuhan kerajaan pintu belakang?

Saya tertawa mendengar soalan tersebut.

"Kerajaan pintu belakang mungkin sedang terjadi pada zaman moden ini, akan tetapi kerajaan belakang pintu pernah dirakam dalam Sejarah Melayu. Dan penubuhan kerajaan belakang pintu ini digerakkan oleh seorang perempuan.

"Maka Sejarah Melayu semacam mengisyaratkan supaya diperhatikan siapa wanita di belakang seorang pemimpin.

"Sultan Mahmud melantik calon bendaharanya setelah ada dorongan seorang perempuan istana - Queen Mother - dari belakang pintu.”

Siswa itu kelihatan terkesima. Saya menjelaskan, terdapat sembilan calon bendahara yang berpotensi untuk diangkat oleh raja, tetapi baginda memilih calon paling lemah atas bisikan 'dari belakang pintu.'

Begini. Saya mendapatkan rujukan saya dan membacanya di atas talian: “Menurut Sulalat-us-Salatin: [Maka titah Sultan Mahmud Syah, “Siapa daripada Orang Kaya sekalian akan jadi Bendahara? Barangsiapa patut?”Maka sembah Paduka Tuan, “Tuanku, sekalian yang sembilan orang ini semuanya patutlah jadi bendahara. Barangsiapa yang dikehendaki Yang Dipertuan, itulah jadikan Bendahara.” Maka [Tun Senaja] bonda Sultan Mahmud Syah menengar dari balik pintu, maka bonda Sultan Mahmud Syah berkata pada anakanda baginda, “Tun Mutahirlah jadi Bendahara.” Maka titah Sultan Mahmud Syah, “Pak Mutahirlah jadi Bendahara,” maka sekalian orang pun kabullah akan Seri Maharaja jadi bendahara.]

Perhatikan bagaimana Tun Senaja mempengaruhi keputusan sultan untuk memilih calon perdana menteri atau bendahara yang paling lemah, dan kurang berwibawa, iaitu Tun Mutahir.

Kita harus mengingat, Sejarah Melayu - yang dikarang seorang lelaki, kononnya Tun Sri Lanang (dari keturunan Tun Mutahir, iaitu seorang Bendahara pada akhir pemerintahan kerajaan Melaka) - dapat dianggap sumber utama pengetahuan kepada segala macam budaya dan kehidupan sosial orang Melayu. Betul atau tidak apa yang dibabad, wallahu a'lam.

Perempuan pimpin daulah terpendam

Wanita di istana pada zaman itu mungkin sahaja terlihat sebagai permaisuri, puteri, dayang atau gundik – dalam hal ini isteri kedua atau ketiga.

Akan tetapi wanita-wanita ini juga adalah pemain siasah yang licik. Kadangkala peranan mereka tidak diketahui rakyat. Atau jika pun diketahui, tidak ramai yang akan bercakap mengenainya.

Bagaimanakah Tun Senaja boleh begitu berkuasa mempengaruhi sultan?

Kita harus memahami, kaum wanita di istana ikut terlibat dalam segala kemelut politik secara langsung dan tidak langsung. Mereka kadang-kadang terkehadapan dan memperagakan keberanian semasa menangani krisis serta konflik yang melecut terpacul dari segenap rekah dinding istana.

Hal ini, sangat bergantung kita melihat dari sudut pandang siapa. Jika kita prowanita, maka episod ini akan memperlihatkan kebijaksanaan wanita turut bermain helah politik membidak jawatan. Maknanya bukan hanya lelaki dapat menjadi pemain siasah. Malah perempuan boleh sahaja memimpin daulah terpendam, atau deep state.

Namun jika mereka yang melihat dari sudut pandang keluhuran adat, penglibatan perempuan - khusus dalam kes Sultan Mahmud itu - akan ternampak kewujudan campur tangan dalam sistem.

Episod kerajaan belakang pintu di atas tidak bermula dan terjadi tiba-tiba. Kita harus melihat kisah sebelum Tun Senaja. Seorang bonda atau permaisuri untuk seorang sultan dan raja tidak akan sebegitu berpengaruh jika tidak ada latar yang boleh kita telusuri.

Dalam situasi tertentu pula, wanita istana ini menjadi jambatan dan berperanan sebagai orang tengah atau pendamai di antara pihak yang bertelagah. Merek atidak semestinya menjadi ‘bahan penyedap’ atau sebagai hadiah politik semata-mata.

Bahkan - dalam banyak keadaan - mereka melawan fungsi sebagai penyedap itu, dan menukar nikmat menjadi hikmat.

Bagaimanakah kerajaan belakang pintu ini berlaku?

Ceritanya begini. Kita lupakan sebentar Tun Senaja. Menurut Sejarah Melayu, pengaruh Tun Kudu dalam politik Kesultanan Melaka amat besar. Menurut saya, amat besar, memandangkan Tun Kudu merupakan anak Bendahara Seri Wak Raja, salah seorang bendahara Melaka yang terbunuh (bunuh diri minum racun, atau mungkin saja dibunuh) secara tragis.

Kudu mengahwini Raja Kassim yang berketurunan Tamil. Raja Kassim kemudian beroleh takhta setelah melalui perebutan kuasa dengan saudara tirinya iaitu Raja Ibrahim. Raja Kassim berkomplot dengan bapa saudaranya, Tun Ali Seri Nara Raja, dan setelah ditabal sebagai sultan beliau memilih gelaran Sultan Muzaffar Syah.

Bijak mengampu dari jauh

Tun Ali bagaimanapun mendorong Seri Wak Raja membunuh diri (atau mungkin juga meracun beliau) lantas menjawat peran sebagai Bendahara Seri Nara Diraja. Maka hal ‘racun meracun’ untuk menjadi perdana menteri ini bukanlah sesuatu yang baru dalam sejarah obses menjadi pemimpin untuk orang Melayu.

Kita tidak wajar menyalahkan Cina. Melayu - menurut saya - memang gila berebut kuasa.

Tun Kudu, sebagai satu-satunya anak perempuan Seri Wak Raja, amat berdukacita dengan kematian bapanya yang menyayat hati itu. Tun Kudu melihat peranan Tun Ali dan Sultan Muzaffar di sebalik kematian dahsyat bapanya.

Maka Tun Kudu yang terkenal dengan kejelitaan itu berazam menuntut bela atas kematian ayahnya. Pada saat yang sama, Tun Ali mulai melebarkan pengaruhnya di dalam istana. Tun Perak, adik Tun Kudu membawa diri ke Kelang.

Prestasi Tun Perak di Kelang (semacam sebagai menteri besar) berkembang baik dan beliau pandai mengampu dari jauh.

Tun Perak memasang Langkah Kelang dalam senyap, sementara pertelagahan dengan Tun Ali menjadi semakin sengit. Tun Kudu mulai tersepit.

Pun - seperti watak jahat yang tidak dapat dibendung - politikus lelaki yang rakus bernama Tun Ali ini mengidamkan Tun Kudu yang merupakan permaisuri Melaka. Sultan Muzaffar yang resah dengan pertembungan dua keluarga bangsawan ini menceraikan Tun Kudu. Tun Ali adalah bapa saudaranya yang perlu dijinakkan.

Seperti drama petang hari yang kita tonton, Tun Kudu diceraikan dan Tun Ali mengahwini kakaknya Tun Perak itu. Sebagai perempuan yang melihat pembunuhan ayahandanya, dan diperisterikan dengan orang yang berkonspirasi di belakang pembunuhan itu, Tun Kudu berdepan dengan penghinaan berganda.

Baginda terpaksa turun takhta sebagai permaisuri dan disendal menjadi mangsa kegelojohan Tun Ali (seksual) dan Sultan Muzaffar (kuasa).

Apakah Tun Kudu memberikan kemaafan mutlak kepada lelaki jahanam itu? Tentu tidak. Akan tetapi Tun Kudu memilih untuk tidak panik. Melaka waktu itu tepu feudalisme. Kuasa lelaki mencakar.

Tun Kudu memilih melawan secara perempuan. Dia melawan dengan cara terpendam. Daulah terpendam. Dia menurut segala langkah lelaki tidak berguna dalam hidupnya.

Pada ketika yang baik, Tun Kudu menggunakan kuasa wanitanya, memperdayakan baginda Sultan (memujuk dengan licik) dengan memberi syarat agar Tun Perak, adiknya diangkat sebagai Bendahara menggantikan Tun Ali dengan alasan demi keharmonian Melaka.

Tun Perak selaku Penghulu atau Menteri Besar di Kelang memang sudah memasang Langkah Kelang. Sekali imbas tindakan itu menunjukkan kepintaran Sultan Muzaffar iaitu mendamaikan keluarga Tun Perak dengan Tun Ali (ingat, bapa Tun Perak dibunuh Tun Ali).

Dua kali imbas, kita dapat memahami bahawa sultan dan bendahara (bapa saudaranya) yang kena main.

Seorang daripada sembilan calon

Saat Tun Perak berkuasa, pengaruh Tun Ali perlahan-lahan menjadi lemah. Meskipun Seri Wak Raja bapanya dilengser dari kuasa dengan kejam, Tun Kudu dengan peranan tersendiri berjaya mencatur politik sehingga Tun Perak (baca: pengaruh keluarga mereka) dapat dikembalikan di titik tengah, dan lelaki yang menjadi punca masalah ini - Tun Ali - dikucil dan dipenjurukan di titik bucu secara tersendiri.

Pengaruh Tun Kudu tidak kecil. Tun Kudu sudah meletak asasnya menerusi Tun Perak untuk menggenggam pemerintahan Melaka.

Kita tidak harus membayangkan Tun Kudu wanita lemah yang akur dan dijadikan mangsa, ditolak ke tengah ke tepi oleh lelaki. Dalam keadaan lelaki meramas, Tun Kudu menjadi perempuan yang berontak dengan licik sekali. Pendek kata, Tun Kudu tidak bekerja seorang diri.

Kedua-dua suaminya - iaitu Sultan Muzaffar dan Tun Ali - ditelan dosa. Tun Kudu berjaya meletakkan adiknya Tun Perak menjadi bendahara di bawah tiga sultan; manakala anaknya Tun Mutahir (iaitu anak saudara Tun Perak) juga dilantik sebagai bendahara semasa pemerintahan Sultan Mahmud Syah sehingga tahun 1510. Di sinilah datang Tun Senaja yang saya sebut di atas.

Yang membolehkan Tun Mutahir dilantik dari 'pintu belakang' tidak lain dan tidak bukan adalah Tun Senaja, anak Tun Kudu; yang juga ibu Sultan Mahmud Syah.

Setelah kematian Tun Perpatih Putih, Sultan Mahmud Syah yang masih muda perlu memilih seorang daripada sembilan calon untuk menjawat kedudukan bendahara.

Tun Senaja - anak Tun Kudu dan balu Sultan Alauddin Riayat Syah - telah mencatur agar anaknya Sultan Mahmud Syah melantik adiknya iaitu Tun Mutahir (justeru bapa saudara Sultan) yang berjawatan temenggung untuk naik pangkat.

Harus diingat Tun Mutahir punya prestasi sebagai temenggung sangat buruk, malah korup serta digambarkan sebagai “mengajar anak harimau makan daging.”

Temenggung pada waktu itu semacam menteri dalam negeri pada hari ini. Jadi dia menteri yang lemah tetapi didorong kakaknya untuk menjadi perdana menteri. Sejarah era Tun Kudu berulang lagi.

Di situlah kita mendapati perenggan Sulalat-us-Salatin ini: [Maka titah Sultan Mahmud Syah, “Siapa daripada Orang Kaya sekalian akan jadi Bendahara? Barangsiapa patut?” Maka sembah Paduka Tuan, “Tuanku, sekalian yang Sembilan orang ini semuanya patutlah jadi Bendahara. “Barangsiapa yang dikehendaki Yang Dipertuan, itulah jadikan Bendahara.” Maka [Tun Senaja] bonda Sultan Mahmud Syah menengar dari balik pintu, maka bonda Sultan Mahmud Syah berkata pada anakanda baginda, “Tun Mutahirlah jadi Bendahara.” Maka titah Sultan Mahmud Syah, “Pak Mutahirlah jadi Bendahara,” maka sekalian orang pun kabullah akan Seri Maharaja jadi bendahara.]

Selemah manakah Tun Mutahir ketika menjadi perdana menteri? Cukup lemah sehingga Sultan Mahmud kemudiannya mempercayai acuman Laksamana Khoja Husain bahawa Tun Mutahir itu berkomplot merampas kuasa.

Padahal Tun Mutahir itu jenis lewa dan mewa yang mengabaikan nasihat bapa saudaranya, Tun Perak, sebelum meninggal dunia. Ingatan Raja Di Baruh agar Tun Mutahir berhati-hati mengendalikan urusan dengan sultan juga diabaikannya.

Tun Mutahir malah ketika menjadi Seri Maharaja menghukum orang secara semberono. Melihat keadaan itu Tun Perak sampai menasihatkan, "mengajar anak harimau makan daging."

Ada banyak pengajaran daripada kejadian ini. Sejarah berulang. Bisik dan provokasi, pengaruh dan hasut dari belakang pintu akan berulang terjadi. Bagaimana Melayu dapat mencegah ini daripada terjadi lagi?

Terdapat satu kod pemerintahan yang penting di sini iaitu "biar mati anak jangan mati adat." Betapa ramai kalangan kita salah tafsir akan pepatah ini. Ia tidak bermaksud orang Melayu taasub akan adat sehingga sanggup membiarkan keturunannya mati.

Adat di sini adalah undang-undang tradisi Melayu; maka yang dimaksudkan adalah keluhuran undang-undang. Justeru, ia bermaksud apabila bertembung kepentingan diri dengan undang-undang dan aturan sistem, kita jangan sampai melebihkan kaum, kerabat dan kroni sehingga menjahanamkan keluhuran undang-undang.

Biar anak yang mati, yakni jangan sampai kita mengangkat kepentingan dan agenda politik sendiri berbanding undang-undang, yang mana dalam konteks hari ini maruah dan mandat rakyat.

Peristiwa mendengar bisikan Tun Senaja dari belakang pintu harus jadi panduan agar tidak berlaku sekali lagi. Calon sembilan orang yang dihadapkan kepada Sultan Mahmud itu diketepikan dan yang terpilih ialah Temenggung Tun Mutahir yang lemah dan korup (menerima rasuah satu bahara emas).

Ia berlaku semata-mata kerana campur tangan Tun Senaja.

Jika baginda Sultan Mahmud memilih calon perdana menteri yang baik, sudah tentu perkara berdepan dengan gempuran kuasa luar iaitu Portugis kelak akan dapat ditangani dengan lebih rapi. Hari ini ia jangan dibiar berlaku lagi.

Pepatah biar mati anak jangan mati adat ini nampak diliwat semahu-mahunya oleh orang Melayu. Adat atau undang-undang dinoda. Demi kerabat parti. Maka ada jual beli jiwa. Biar mati pengundi. Jangan mati gaji GLC. Pergi lantakkanlah demokrasi.

Jadi di manakah nilai Melayu-Islamnya pada Melayu hari ini?


FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tulisan ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.