Skip to main
Logo Malaysiakini

Bila Trump dan Muhyiddin helo helo

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Hujung minggu lalu Perdana Menteri Muhyiddin Yassin membuat posting di Facebook untuk memberitahu kita semua bahawa beliau “telah menerima panggilan telefon daripada Tuan Yang Terutama Donald J Trump Presiden Amerika Syarikat”.

Berbanggalah kita rakyat marhaen bahawa pemimpin negara kuasa besar menelefon pemimpin negara yang lebih kecil daripada negaranya. Namun bagi Amerika semua negara di dunia ini dilihat lebih kecil daripadanya dan tak sepandai mereka.

Pun begitu kata seorang kawan lama saya, seorang editor berita yang sudah bersara, sebelum Trump mendiami Rumah Putih semua presiden Amerika dipandang tinggi oleh dunia. “All US presidents were looked up upon until Trump comes along.

Begitulah lebih kurang apa yang kawan saya katakan.

Berbalik kepada panggilan telefon Trump kepada Muhyiddin. Menurut laporan media antarabangsa Trump turut membuat panggilan telefon kepada Raja Salman Abdulaziz Al-Saud dari Arab Saudi dan Chancellor Angela Merkel Jerman.

Tak apalah itu kisah negara lain. Kisah negara kita ialah PM kata Trump mengucapkan tahniah kepada beliau dan kerajaan yang baharu. Selain itu mereka bercakap mengenai hubungan kerjasama Malaysia-Amerika yang mesti terus diperkukuhkan.

Dan pada perbualan yang berlangsung selama 30 minit itu kata Muhyiddin “Saya dan Presiden Trump berbincang mengenai pandemik Covid-19 serta pendekatan pendekatan yang telah diambil kedua dua negara.”

Ini membikin saya agak gusar. Manalah tahu Trump selaku presiden negara big and powerful kot kot cuba “menasihati” atau “mengajar” PM kita ikut apa yang beliau sudah buat. Dan lebih bimbang jika PM kita turuti.

Bak kata wartawan A Kadir Jasin “kita harap Trump tidak menyakinkan Muhyiddin dengan benda benda bodoh (silly things) semasa perbualan telefon mereka”. Betul tu.

Sebab? Pandangan Trump mengenai Covid-19 (juga terhadap pelbagai perkara lain) dan langkah yang beliau ambil agak membimbangkan, menakutkan, melucukan dan mengerikan.

Bekas presiden Amerika Barrack Obama menyifatkan respon Rumah Putih terhadap koronavirus sebagai “bencana huru-hara sepenuhnya”, absolute chaotic disaster.

Pilih apa juga media antarabangsa atau tentunya Amerika, kita akan tahu reaksi Trump terhadap Covid 19 – daripada “its going to disappear to we will win this war”, daripada ia (koronavirus) akan lenyap kepada kita akan menang perang ini.

The Washington Post mengingatkan pembacanya bagaimana ketika koronavirus mula menular, Trump meremehkan ancaman itu. Dua bulan kemudian Amerika menjadi negara pertama di dunia yang mencatatkan lebih 100,000 kes, ekonomi terhenti dan lebih 1,000 orang terkorban di New York sahaja. Keadaan sekarang lebih teruk.

The Washington Post juga mengimbas kembali apa yang dikatakan Trump sejak wabak itu bermula hingga masa kini. Pada awalnya Trump kerap, sama ada pada sidang akhbar atau menerusi Twitter mengeluarkan kenyataan seperti:

  • “ Semuanya terkawal. Ia hanya seorang yang masuk dari China. Semuanya akan baik.”

  • “Nampaknya April ini ia akan hilang bila cuaca mula panas sedikit.”

  • “ Koronavirus terkawal di Amerika. Bagi saya pasaran saham nampak baik.

  • “Ada orang dijangkiti pada peringkat rendah dan tidak pun pergi ke hospital atau jumpa doktor dan mereka akan pulih. Ramai orang yang macam itu.”

Tidak lama kemudian Trump mengubah nada.

  • “Kita bersedia dan kita sedang lakukan tugas dengan baik. Virus itu akan hilang. Bertenang.

  • Kita gunakan kuasa penuh kerajaan pusat untuk kalahkan virus ini. Virus ini mudah menjangkiti.Tapi ia sesuatu yang kita kawal dengan baik.

Ketika itu apa yang berlaku ialah sebaliknya. Dan apabila satu dunia mengklasifikasikan keadaan sebagai satu pandemik Trump mengubah pendirian.

“Saya rasa ia pandemik lama sebelum orang lain kata ia pandemik”, dakwa beliau.

Cukup setakat itu walaupun ada banyak lagi kenyataannya yang dipertikai pelbagai pihak termasuk pakar perubatan dan rakyat Amerika sendiri.

Namun antara kata kata Trump yang paling memeranjatkan umum ialah apabila beliau bertanya pakar kesihatan sama ada disinfectant atau bahan pembasmi kuman boleh disuntik kepada manusia untuk membunuh koranavirus. Ini lebih “hebat” daripada saranan minum air suam untuk bunuh koranavirus.

Kata kata Trump itu menakutkan pakar kesihatan dan para saintis . Walau pun Trump kemudian menafikan beliau menyarankan bahan pembasmi kuman disuntik kepada manusia, syarikat pengeluar disinfectant seperti Lysol dan Dettol dengan pantas membuat kenyataan mengingatkan orang ramai bahan yang mereka hasilkan tidak boleh diminum atau disuntik untuk merawat pesakit Covid-19.

Clorox turut mengeluarkan kenyataan sama sambil menegaskan adalah sangat penting pengguna tahu dan faham “all the facts”.

Itulah orang yang membuat panggilan telefon kepada Muhyiddin. Sayang bukan Obama. Jika Obama yang call boleh juga Muhyiddin dapat some political mileage.

Namun berdasarkan kenyataan Trump yang disenaraikan, agak menakutkan jika Trump ada menyarankan sesuatu untuk Muyiddin ikuti. Tapi rasanya beliau tidak ada cuba “mengajar’ PM kita. Kalau ada pun takkanlah PM kita nak dengar atau ikuti apa yang disaran Trump walaupun beliau presiden Amerika.

Ahad lalu Muhyiddin mengumumkan tempoh perintah kawalan pergerakan bersyarat dilanjutkan hingga 9 Jun. Sebelum itu ramai juga yang bimbang beliau akan membuat langkah populis melonggarkan lagi PKPB bagi membolehkan Adilfitri diraikan seperti biasa.

Keputusan Muhyiddin itu mengambil kira pandangan dan nasihat Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara.

Di Amerika khususnya dan juga negara lain, ramai stand up comedian yang mempersendakan Trump. Trump mesti salahkan dirinya sendiri kerana membuka ruang untuk dijadikan bahan lawak. Dengan hujah dan kenyataannya yang “pelik”.

Di negara kita ada menteri dalam kabinet Muhyiddin yang turut berbuat demikian. Umpamanya pasal air suam, TikTok , 500 negara dalam dunia dan sebagainya. Mujur perdana menteri tidak termasuk dalam golongan “kelakar” itu.

Kita yakin Muhyiddin mahu kekal begitu.


MOHSIN ABDULLAH ialah seorang wartawan tua yang menulis mengenai itu dan ini, di sana dan di sini.

Tulisan ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.