Skip to main
Logo Malaysiakini

Merakam sejarah – Hadi dan xenophobia

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Minggu lalu saya membuka perbincangan tentang xenophobia. Ini usaha saya untuk membawa pencerahan tentang sikap xenophobia yang sedang melanda kita semua. 

Xenophobia memberi makna benci dan takut kepada orang asing. Orang asing ini ialah yang lain – the other. Yang ganjil, yang pelik dan yang bukan orang kita. Orang lain yang tidak berkongsi ibu pertiwi dan tidak sama budaya dengan kita. Orang lain yang gaya budaya hidup mereka tak serupa dengan kita.

Saya juga telah memunculkan babak politik tentang Rohingya. Bagaimana pendatang Rohingya telah menjadi alat untuk menemukan United Malays National Organisation dengan parti Islam Semalaysia. Dua parti politik ini pernah bermusuhan.

Pada ketika dua parti ini bertemu, Najib menjawat presiden parti manakala Hadi juga presiden parti Islam. Dari pentas yang sama Najib dan Hadi telah mengacung-acungkan tangan menyokong warga Rohingya. Mereka melaung, menjerit dan bertempik menuduh kerajaan Buddha Myamar telah membelasah Rohingya. Tuan Haji Hadi mengambil garis Arab-Islam untuk mengutuk Myamar.

Pada petang Sabtu 3 Disember 2016 itu, Hadi dan Najib telah mengasak, menyelar dan mengutuk kerajaan Myanmar.

Hasil dari Perhimpunan Solidariti Rohingya ini parti ketuanan Melayu telah berjaya diijab kabul dengan parti ketuanan Arab oleh ‘tok kadi’ Rohingya. Pernikahan ini melahirkan anak yang diberi nama Muafakat Nasional.

Tup tup kapal Rohingya masuk ke perairan Malaysia. Ketika kapal masuk Tuan Haji Hadi telah berstatus menteri dalam kerajaan Perikatan Nasional. 

Dengan sekelip mata pandangan Arab-Islam Tuan Haji Hadi berubah. Tuan Haji Hadi dengan serta merta menjadi politikus yang amat jujur sama seperti para politikus di Malaysia. Bijak bersilat lidah. Amin.

Apa yang berlaku? Kenapa ini berlaku? Apa kejujuran Hadi? Apa sebab Tuan Haji Hadi seorang ulama berubah?

Sebab musabab

Semua yang berlaku atau berubah ada sebab musabab. Dalam dunia ini tidak ada sesuatu yang berlaku tanpa sebab. Mat Abduh memanjat pokok kelapa dan kemudian enggan turun pun ada sebab. 

Mat Abduh enggan turun kerana dia gila. Justeru hanya yang gila dan sasau sahaja yang akan membuat sesuatu tanpa sebab. Kerana itu orang gila yang membunuh jika dibuktikan kegilaannya maka dia akan lepas dari hukuman. Hanya dihantar ke Tanjung Rambutan.

Tetapi Tuan Haji Hadi bukan penghuni Tanjung Rambutan. Justeru pasti ada sebabnya apabila Tuan Haji Hadi ketika berhadapan dengan kapal Rohingya berkata “mereka akan diberi bekalan makanan, kemudian kapal ini akan ditunda masuk ke perairan antarabangsa”.

Suara Hadi ini terkeluar apabila sebuah kapal Rohingya dengan 202 penumpang cuba mendarat di Langkawi pada 15 April 2020. Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia telah menghalang pendaratan kapal Rohingya ini.

Apa terjadi dengan solidariti Islam parti United Malays National Organisation dan Parti Islam dengan Rohingya?

Sabar dulu. Saya mahu memberi rujukan terbaru di sini. Dari akhbar The Guardian London pada Jumaat 8 Mei 2020 telah melaporkan ucapan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres. 

Dia telah berkata “the coronavirus pandemic has unleashed a tsunami of hate and xenophobia” - pandemic koronavirus ini telah meledakkan tsunami kebencian dan xenophobia.

Ketua PBB ini juga menunjukkan pada ketika ini sikap antipendatang asing makin melimpah ruah. Bahaya rasisme melonjak-lonjak. Guterres juga berkata kempen kebencian ini tersebar luas di media sosial , “and highlighted the spread of antisemitic conspiracy theories and Covid-19-related anti-Muslim attacks”, penularan sikap anti-semitik, teori konspirasi dan sikap anti-Islam yang dikaitkan dengan Covid-19.

Tetapi Tuan Haji Hadi ialah seorang ulama Islam. Warga Rohingya juga beragama Islam. Mustahil Tuan Haji ini anti-Rohingya dan anti-Islam. Malah Hadi ialah duta ke negara Arab Islam yang bertaraf menteri. Babak yang baru berlaku ini amat pelik.

Justeru untuk memahami babak manifestasi kapal Rohingya ini kita wajib merungkai dalam dan memahami apa itu xenophobia.

Xenophobia jadi induk berita

Jangan salah faham, sikap benci pendatang asing bukan hanya ada pada Hadi. Sikap tak suka pada orang asing ini makin merebak secara global, menurut pandangan setiausaha agung PBB. Xenophobia kini terus menjadi induk berita dan wacana politik dunia kontemperori.

Lembaga Human Sciences Research Council (HSRC) yang ditubuh di Afrika Selatan pada tahun 1929 telah membuat kaji selidik tentang xenophobia. Lembaga ini amat berpengalaman kerana di Afrika Selatan sikap benci kepada orang lain ini disusun, diatur dan dilembagakan melalui sistem Apartheid.

Menurut HSRC sikap benci pada orang asing ini muncul dari perebutan kerja, perebutan bahan keperluan kehidupan dan perebutan perumahan tempat tinggal. Wujud unsur nasionalistik dalam sikap xenophobia. Sikap takut kepada orang asing kini beralih menjadi benci. Hilang takut bertukar menjadi benci.

Sahih terbukti dari kaji selidik HSRC menunjukkan bahawa asas benci kepada orang asing ini ialah ekonomi. Perebutan punca-punca ekonomilah yang mewujudkan sikap tak suka kepada pendatang, benci orang asing dan akhirnya mahu membelasah orang asing.

Di Jerman dalam tahun-tahun 1930-an sebelum Hitler muncul, ekonomi Jerman rata-rata dimiliki oleh Yahudi. Jerman yang kalah dalam Perang Dunia Pertama telah dipaksa membayar ufti. Pascaperang menjadikan ekonomi Jerman merosot. Suasana dan cuaca ekonomi sedemikianlah yang menobatkan Hitler.

Fasisme dan garis politik kanan membiak. Yang menjadi baja ialah kebencian terhadap yang lain the other yang menjarah ekonomi dan mata pencarian.

Kembali ke Malaysia, suara benci kepada pendatang ini makin kuat kedengaran kebelakangan ini. Sikap benci kepada pendatang ini memang sedia wujud terbenam dalam psikik Melayu. Orang Melayu melihat bandar dan kota semuanya dimiliki orang Cina. 

Kondo mewah dan rumah banglo yang indah permai juga dimiliki orang Cina. Gedung membeli belah semuanya dimiliki oleh Cina. Saban tahun majalah kapitalis Forbes akan melaporkan sepuluh sosok terkaya di Malaysia. 

Lapan atau 7 dari 10 billionaire di Tanah Melayu masih lagi orang bukan Melayu. Maka sahehlah kajian HSRC semua ini akan melahirkan kebencian.

Dalam realpolitik kontemperori Malaysia kebencian kepada orang asing ini dimanifestasikan

dengan penolakan orang Melayu terhadap Parti Tindakan Rakyat atau DAP. Secara berlapik Melayu yang benci kepada orang Cina memberi alasan mereka benci kepada parti politik DAP. Khalas.

Buka pekung

Kesampaian kapal Rohingya ketika Malaysia diserang koronavirus membuka banyak pekung. Sikap benci kepada orang lain, kepada orang asing, kepada pendatang halal dan yang haram bertaburan keluar. Sikap ini boleh dibaca melalui media arus perdana. Malah media sosial sikap benci kepada pendatang dan bakal pendatang rebut mengampuh.

“Rohingya ini masa bilangan kecil memang lunak, perangai-pijak semua pun tak mati tetapi bila jumlah mereka dah beratus ribu dibahamnya kita. Kaum lain datang ke mari zaman Inggeris 20-an gitu juga akhirnya. Kita sama-samalah belajar dari sejarah yang takat ini banyak menyebelahi org luar.”

Tweet ini saya ambil bulat-bulat. Tweet ini keluar pada 1 Mei 2020. Ketika negara heboh dengan persoalan pendatnng dan buruh asing.

Isi tweet ini jelas membuktikan sikap terpendam benci kepada orang lain. Sikap benci kepada orang yang bukan orang kita. Jangan terperajat bila saya nyatakan bahawa tweet ini bukan dari duta bertaraf menteri Tuan Haji Haji. Lebih memeranjatkan tweet ini datang dari hati nurani bekas menteri luar Tuan Haji Rais Yatim.

Kapal Rohingya selamat keluar dari perairan Malaysia. Tapi kita masih heboh. Kini kita berpindah ke Pasar Borong Selayang. Pasar borong ini juga wilayah Rohingya. Sikap benci kepada Rohingya dalam kapal kini beralih kepada sikap benci kepada Rohingya yang di luar kapal dan duduk di Selayang.

Untuk pertama kalinya kita diberi tahu bahawa terlalu ramai Rohingya di Malaysia. Ada yang betul-betul pelarian perang. Tapi majoriti pelarian ekonomi. Malaysia menjadi sasaran pendatang asing sebagai wilayah cari makan.

Ketika suasana lumayan, ketika ekonomi stabil, ketika ekonomi rancak berkembang pendatang dibawa masuk secara rasmi. Dalam masa yang sama ramai meloroh masuk secara haram.

Dari Tanah Seberang mereka bersampan menyeberang Selat Melaka. Di Kedah, Perlis dan Kelantan pendatang haram mencuri masuk mengikut lorong tikus. Di Kalimantan mereka masuk ke Sabah dan Sarawak hanya dengan merentas hutan berjalan kaki. Bajau dan Suluk berperahu datang dari Filipina ke Lahad Datu.

Buat ‘donno’

Pihak penguasa buat ‘donno’. Tauke dan pemaju projek perumahan - mengikut istilah Rais Yatim - mereka adalah pendatang tahun 20-an yang dibawa oleh Inggeris. Para tauke ini menggunakan tenaga buruh asing - yang halal dan haram - untuk mendapat laba. Tauke dan pemaju ini tidak memikirkan masa depan Tanah Melayu atau demografik Tanah Melayu.

Dalam masa yang sama anak tempatan yang bukan pendatang telah menyewakan tempat, lesen, kedai dan premis mereka kepada pendatang yang halal dan yang haram. Semuanya kerana merebut ekonomi.

Portal Malay Mail melaporkan pada 5 Mei 2020 bahawa ada tiga juta dan mungkin lebih pendatang haram. Saya ulangi, tiga juta orang pendatang haram. Ini belum dicampur jumlah yang ada permit kerja. Hitung punya hitung mungkin jumlah pendatang yang lama dan yang baru telah melebihi anak watan warga asal. Maka inilah yang dimaksudkan oleh Rais Yatim “membaham kita”.

Menteri, YB, polis, kastam, DBKL dan kerajaan tempatan buat dek ketika ekonomi rancak. Tetiba korona datang menyerang. Maka semua terbarai. Semua pecah. Krisis membawa tiga perkara. Kemanusiaan kita, kepimpinan kita dan kebinatangan kita. Di mana kita sekarang? Apakah kita xenophobik?

Perintah kawalan pergerakan bersyarat atau berkhalwat masih belum selesai lagi. Covid masih menyerang. Bertanya apa terjadi pasca Covid-19 agak terlalu awal. Yang wajib kita tanya sekarang ialah apa sikap kita terhadap pendatang yang lama, yang baru, yang halal dan yang haram? Tunggu minggu hadapan.


HISHAMUDDIN RAIS ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.