Skip to main
Logo Malaysiakini

Politik musang

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Domino kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) belum tamat. Riak-riak berombak datang dan pergi. Bagai musang mencari peluang. Ini bukan soal kehilangan kuasa tetapi persoalan yang lebih besar iaitu kehilangan wajah dan identiti diri.

Lupakanlah soal idealisme perjuangan yang diyakini oleh sebahagian ahli politik ataupun saudagar, ulama dan seniman yang berpolitik. Ini adalah persoalan kelangsungan kuasa. Soal berlumba-lumba mendapatkan kuasa.

Ketika Socrates bercakap soal keindahan kerajaan bulan bintang di langit tinggi, saat Al-Farabi membincangkan persoalan negara ideal, sama juga dengan Al-Mawardi, Hassan al-Banna, Maududi dan sebagainya. Mari kita bicarakan soal di depan mata ini.

Lupakan saat laungan"La syarkiah, la gharbiyyah, wehdah, wehdah Islamiah, daulah, daulah Islamiah!" memecah hingga ke angkasa. Atau bakar sahaja ingatan tentang bait-bait kata dalam buku Dokumen Negara Islam dan kitab-kitab yang tersusun di rak rumah. Kerana pada akhirnya, idea Niccolo Machiavelli juga yang paling berkesan untuk survival dalam mengurus kuasa.

Sememangnya dalam politik kawan tidak selamanya jadi kawan, musuh pula tidak selama menjadi musuh. Akan tetapi sesuatu yang berlaku bukan semestinya suatu kebenaran.

Oleh sebab itu, yang telah berlaku, dilakukan atau terjadi, perlukan dalil-dalil bagi melegitimasikan segala-galanya. Dan itulah politik musang berjanggut.

Filem Musang Berjanggut oleh P Ramlee merupakan karya relevan sepanjang zaman. Kritikan politik seniman itu sangat tajam dan halus khususnya kepada golongan yang menguruskan kuasa untuk kepentingan umum.

Masyarakat berfikiran pandir

Perumpamaan musang berjanggut bermaksud orang jahat yang berpura-pura alim. Menteri Nikah Kahwin adalah watak mewakili golongan agamawan yang memperdagangkan ilmu agamanya untuk kepuasan nafsu.

Menteri Nikah Kahwin bukan sahaja memperdagangkan ilmu agamanya untuk kepentingan diri sendiri malah mempergunakan identiti dan kedudukannya untuk mengaburi mata masyarakat.

Berapa banyak masyarakat yang terpesona hanya sekadar dengan penampilan zahir. Ini sebahagian daripada pemikiran materialistik dalam kefahaman beragama. Agama diukur dengan pakaian, ijazah, gelaran, kedudukan dan sebagainya.

Persoalan nilai seperti keadilan, kemanusiaan dan kebahagian kurang dititikberatkan semasa menilai sesuatu.

P Ramlee juga mengkritik masyarakat bawahan yang berfikiran pandir, sering diperbodohkan dan tidak menggunakan akal untuk menilai buruk baik sesuatu.

Golongan pandir ini hanya menambahkan lagi sikap gelojoh golongan agamawan semasa mereka menyalahgunakan kedudukan dan kuasa masing-masing.

Dalam Musang Berjanggut, bukan sahaja golongan agamawan yang dikritik oleh P Ramlee, malah turut membabitkan raja, menteri, pembesar dan juga masyarakat biasa.

Dalam pemikiran Melayu, ada pepatah lain yang menggunakan musang sebagai perumpamaan. Contohnya, musang berbulu ayam - yang membawa maksud orang jahat berpura-pura atau menyamar menjadi sebahagian kelompok yang mahu dimangsakan.

Pencuri akan datang

Berpura-pura adalah sejenis usaha bagi membina perspektif palsu, mencipta naratif sendiri, membuat propaganda dan sebagainya. Ini secara lebih tepatnya merupakan kerja politik. Politik menipu. Politik menjual mimpi. Politik curi ayam.

Kita tidak boleh ambil mudah akan kehadiran musang berbulu ayam. Ini kerana musang itu hanya menunggu masa untuk menghancurkan kehidupan berpolitik dan bernegara.

Selepas kejayaan merampas mandat rakyat atas apa jua alasan, segala sepak terajang itu menjadi kamus politik tanah air buat rujukan pada masa hadapan. Ahli politik pada masa hadapan akan menelaah bagi mempertajamkan muslihat memperdayakan rakyat.

Bagi ahli akademik pula, bolehlah mereka mengkaji dan menghasilkan teori-teori yang boleh dipelajari di universiti.

Contoh yang lain menggunakan musang dalam perumpamaan ialah "di mana kayu bengkok, di sanalah musang meniti". Ia bermaksud kalau ada tempat yang tidak berjaga, di situlah pencuri akan datang.

Sebuah parti - atau apa jua kumpulan manusia - yang berhimpun atas nama mencari kepentingan diri sendiri, maka ia sebenarnya meletakkan dirinya di dalam jalan kerosakan.

PH secara teorinya terbentuk secara spara matang. Banyak insiden politik yang memaksa pakatan tersebut wujud. Meskipun begitu, PH mampu menyediakan manifesto, barisan tokoh pemimpin yang berkaliber walaupun keserasian tersebut masih muda dan rapuh lagi. Belum diuji.

Tambahan pula penyertaan Bersatu secara mendadak dalam PH banyak merubah beberapa resipi yang telah sedia terjalin baik dalam ramuan politik PH.

Politik memang sukar dikawal dan liar. Politik kekal hidup meski dalam apa jua keadaan. Lihatlah sendiri gelagat ahli politik sewaktu perintah kawalan pergerakan. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa merekalah yang lebih kerap melanggar peraturan tersebut dan terlepas pula daripada tindakan undang-undang.

Yang dikenakan tindakan pula memang sudah nasib mereka untuk menjadi kambing hitam. Kadang-kadang kambing hitam perlu dikorbankan bagi mereda kemarahan rakyat.

Perumpamaan berasaskan haiwan

Jika mencari makan, biasanya musang akan bergerak pada waktu malam. Tidak seperti ahli politik. Mereka mencari makan tanpa mengira waktu siang atau malam.

Namun tetap ada perumpamaan yang menyebut bahawa jangan hidup seperti musang. Perumpamaan ini bermaksud tentang orang jahat (pencuri) yang pada siang hari tidak kelihatan tetapi pada malam hari merayap mencari mangsanya.

Maknanya, ahli politik lebih teruk daripada musang!

Masyarakat harus sedar dan bertindak. Mereka tidak lagi boleh membiarkan ahli politik jahat mendapat tempat di negara ini. Kita tidak boleh lagi "memperlapang kandang musang, tersempit kandang ayam"’. Ini bermaksud masyarakat tidak boleh sesekali memberi kesempatan baik kepada orang yang bermaksud jahat.

Masyarakat perlu meluaskan pengetahuan, pergerakan dan tindakan demi kebaikan negara.

Bagaimana untuk membaca niat jahat seseorang? Pepatah Melayu juga ada memberi jawapannya dengan pepatah berbunyi "musang terjun, lantai terjungkat" yang bermaksud terdapat tanda-tanda kejahatan yang telah diperbuat.

Musang dalam pemikiran Melayu mempunyai maksud yang jahat, licik dan liar. Sememangnya hidup di kampung, rumah yang dikelilingi dusun dan pinggir hutan adalah tempat musang bersarang. Oleh sebab itu, banyak perumpamaan yang berasaskan binatang itu tercipta.

Namun pada zaman yang serba membangun dan moden ini, perumpamaan itu masih tetap relevan digunakan bagi menggambarkan peristiwa yang berlaku terutama bersangkutan tindakan yang bersifat seperti musang.

Atau lebih tepatnya, pengkhianatan yang dilakukan oleh penakut dan sang pemunafik.


DR MUHAIMIN SULAM aktivis politik, dan penulis buku serta esei.

Rencana ini tidak semestinya mewakili pendirian rasmi Malaysiakini.