Untung rugi Bersatu pada PRU15 nanti
Sebahagian daripada kita dijanjikan bahawa Perikatan Nasional adalah baik untuk Bersatu demi menghadapi PRU15.
Yang pasti jika Bersatu benar-benar mahu kekal bersama Umno dan PAS dalam PN sewaktu PRU15, Zahid Hamidi tidak akan dicabar oleh Bersatu, Najib Razak akan kekal di Pekan, Azeez akan kekal di Baling, Ku Nan akan kekal di Putrajaya.
Ini kerana Bersatu logiknya hanya akan bertanding di kerusi majoriti Melayu. Kini dengan PN, Bersatu tidak akan bertanding di kesemua kawasan yang telah dimenangi oleh Umno dan PAS.
Apakah relevannya lagi bahagian-bahagian Bersatu di kawasan-kawasan tersebut? Apakah nanti PRU15 mereka hanya akan menjadi jentera untuk memenangkan Zahid, Najib, Azeez, dan Ku Nan?
Berdasarkan logik ini jugalah, di Kedah, Kelantan dan Terengganu, Bersatu akan menjadi paling tidak relevan.
Jika Bersatu tidak akan bertanding di kerusi-kerusi Umno dan PAS, maka bahagian-bahagian Bersatu di ketiga-ketiga negeri tersebut boleh melupakan hasrat untuk menjadi ahli parlimen atau Adun di sana.
Mereka hanya mempersiapkan diri untuk menjadi jentera kepada Umno dan PAS tanpa berpeluang menjadi sebahagian dari kerajaan yang memerintah.
Jika dipanjangkan perhitungan ini kepada negeri-negeri lain pula, Bersatu tidak akan memerintah mana-mana negeri selepas PRU15, kerana itulah status quo yang ada pada hari ini.
Sanggup sedekah kerusi?
Melainkan mereka sanggup berkorban dengan menfaraidkan kawasan mereka kepada Bersatu. Tetapi adakah Annuar Musa, Zahid Hamidi, Najib Razak, Azeez Rahim, Ku Nan dan tokoh-tokoh lain dalam Umno dan PAS sanggup menyedekahkan kerusi mereka kepada Bersatu?
Bacaan kasar ini sahaja pun sudah boleh kita bayang siapa pemenang dan pihak yang akan mendapat laba paling besar nanti, sudah tentu bukan Bersatu.
Jika ada yang masih ragu-ragu dan masih yakin Bersatu akan terus menjadi parti yang besar dan megah di dalam PN, bolehlah kita rujuk data dan fakta dari PRU lalu.
Pada PRU14 lalu, Bersatu telah bertanding di 52 kerusi.
Kita berjaya menang sebanyak 13 kerusi (termasuk di Parlimen Tanjung Piai yang kemudiannya dirampas oleh BN).
Jumlah undi yang dikutip oleh Bersatu di kesemua kerusi yang kita masuk bertanding ialah 718,648.
Jumlah ini bersamaan dengan 28 peratus dari jumlah keseluruhan iaitu 2,573,505 pengundi yang keluar di 52 parlimen tersebut.
Kesimpulannya, semasa ‘menumpang rumah dan bendera PKR’, Bersatu cuma mampu meraih maksima 28 peratus sokongan rakyat.
Perlu diingat, 718,648 undi untuk Bersatu di 52 tempat ini datangnya tentu dari pengundi asas PKR, sebahagian dari Umno, selebihnya dari Amanah dan DAP.
Jika kita tidak bersama PH, bererti kita akan hilang sekurang-kurangnya 80 peratus daripada 718,648 pengundi tadi.
Puas hati dengan 25 kerusi?
Jika Bersatu bersama Muafakat Nasional, Bersatu hanya akan bergantung kepada kekuatan Umno-PAS, itu pun jika benar mereka mahukan Bersatu secara en bloc, bukan hanya menyokong individu tertentu dalam Bersatu seperti perdana menteri sahaja.
Jadi persoalan yang lebih penting untuk kita tanyakan kepada diri kita sendiri, adakah hanya ini yang kita mahu?
Apakah kita hanya berpuas hati dengan 25 kerusi parlimen yang ada (12 asal dimenangi Bersatu dan 13 dari kalangan mereka yang melompat ke Bersatu)? Itu pun kalau kita berjaya mencapai persetujuan supaya kerusi ini dikekalkan kepada Bersatu yang pada pengamatan saya, sangatlah mustahil.
Dan apakah ahli-ahli dan ketua-ketua bahagian Bersatu hari ini reda dengan kerusi parlimen setakat 25 itu sahaja? Dan menutup peluang kepada mereka untuk memenangi kerusi-kerusi parlimen dan Adun yang baharu buat Bersatu?
Apa yang lebih menarik, dengan jawatan-jawatan di kementerian dan juga GLC yang telah difaraidkan kepada Umno, Umno akan menjadi semakin bertenaga dan mengumpulkan dana yang lebih, serta semakin bersedia untuk kembali menjadi kuasa dominan yang memerintah Malaysia selepas PRU15 nanti.
Dan kepada ahli-ahli dan pimpinan akar umbi Bersatu, soalan saya mudah sahaja, apakah ini yang kita mahukan?
Apakah untuk ini kita menubuhkan Bersatu?
Apakah untuk menjadikan Umno kembali berkuasa merupakan tujuan kita semua menyertai parti keramat ini?
Tepuk dada tanyalah selera.
DR MASZLEE MALIK ialah anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu dan bekas menteri pendidikan.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.
Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai