Dua terompah kayu jaga GLC
Begitu ramai yang diberi ‘amanah’ menjaga Syarikat Milik Kerajaan atau GLC sejak akhir-akhir ini. Kita membacanya pun terasa gerun. Nanti kita perihalkan kenapa kita patut berasa gerun. Sebelum itu, kita ada terbaca sepucuk surat pembaca yang diterbitkan oleh sebuah portal berita dengan judul ‘Pengkhianatan bos GLC terhadap orang Melayu miskin’.
Dalam surat tersebut dinyatakan, ada gaji CEO sebuah anak syarikat GLC itu jumlahnya bersamaan dengan RM903,000 sebulan ataupun RM10.84 juta setahun. Padahal orang kampung menabung pun setelah berpuluh tahun barulah mengumpul RM10,000. Pembaca itu, yang membuat kira-kira sebuah lagi anak syarikat GLC kemudian merumuskan ada pendapatan penjaga GLC ini bersamaan RM30,000 sehari, sedangkan simpanan penabung yang mengeruk untuk memupuk duit kadangkala tidak pun sampai RM700. Kalau tidak rasa gerun tak tahulah.
Akan tetapi penjaga-penjaga GLC yang baru dilantik itu tentu sahaja tidak berasa gerun. Malah mungkin, mereka yang baru dilantik itu akan berasa syok dalam hati. Juga syok dalam seluar. Bukan gerun. Tapi syok. Kalau tidak rasa gerun tak tahulah.
Hari ini orang kurang mengerti sangat makna ‘amanah’. Kata amanah diberi pengertian oleh ramai para ulama sebagai, ‘segala hak yang dipertanggungjawabkan ke atas seseorang untuk dilaksanakan, baik berupa pekerjaan, pemeliharaan, perkataan dan kepercayaan hati’.
Mungkin kata yang bergaya sedikit selain amanah adalah apa yang kita fahami sebagai akauntabiliti. Yakni rasa tanggungjawab seseorang akan akibat dari segala sesuatu yang diserahkan kepadanya. Kalau tidak rasa gerun tak tahulah.
Makna amanah secara mudahnya ialah kepercayaan, dari bahasa Arab akarnya ialah amina atau percaya. Nabi Muhammad suatu ketika dahulu, sebelum diangkat sebagai Rasul telah pun dipanggil al-Amin atau orang yang boleh dipercayai. Jadi gandingan amanah ini dengan kerja Nabi. Kalau tidak rasa gerun tak tahulah.
Sebab itu, untuk menambah gempar; orang yang diminta menjaga GLC itu kerjanya semacam al-Amin, orang terpercaya. Kalau tidak rasa gerun tak tahulah.
Dalam al-Quran Allah memesankan agar amanah, dan jangan mengkhianat. Firman Allah dalam kitab suci al-Quran, pada surah Al Ahzab ayat 72 (terjemahannya): “Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanat kepada langit, bumi dan gunung-gunung, maka semuanya enggan untuk memikul amanat itu dan mereka khuatir akan mengkhianatinya, dan dipikullah amanat itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat bodoh.”
Setiap kali kita membaca ayat 72 surah Al-Ahzab ini datanglah rasa gerun dalam jiwa, dalam dada, pada benak, masuk dalam pembuluh darah. Kalau tidak rasa gerun tak tahulah.
Kemudian, ada lagi; ini kisah amanah sesama manusia. Jadi pemimpin itu kan kerja amanah. Sebagai pemimpin, amanah itu memang beban. Apatah lagi kalau penjaga GLC. Bayangkan ustaz kalau disuruh jaga GLC. Kalau dia tidak cukup takut, kita tidak tahu apa lagi yang dapat menakutkan dia. Kalau tidak rasa gerun tak tahulah.
‘Seberat-berat agama ialah memelihara amanah’
Amanah ini melibatkan hubungan manusia seluruhnya dalam setiap aspek kehidupan. Kalau ia seorang penguasa di peringkat kampung atau keluarga sekalipun, ada amanah yang dibebankan dan kewajipan yang perlu dilaksanakan.
Pendek kata, manusia ini sentiasa memikul amanah. Kalau tidak dari Allah dan Rasul, tentu dari manusia itu sendiri. Amanah yang telah diserahkan itu tentu akan diadili sama ada ia telah benar-benar ditangani dengan jaya atau tidaknya di mahkamah Mahsyar kelak. Segala nanti tidak akan terlepas dari perhitungan Allah. Kalau tidak rasa gerun tak tahulah.
Allah ada berfirman dalam ayat 283 surah al-Baqarah terjemahannya berbunyi; “Maka hendaklah yang menerima amanat (yang dipercayai) itu, menunaikan amanat yang telah diserahkan kepadanya”.
Kemudian ada juga sabda Rasulullah SAW, bermaksud: “Seberat-berat Agama ialah memelihara amanat. Sesungguhnya tidak ada Agama bagi orang yang tidak memelihara amanat, bahkan tidak diterima solatnya dan zakatnya” (Hadis Riwayat Al Bazar).
Nah, tidakkah takut; sesia kita bersembahyang dan berzakat tetapi dikeronyok dan dibaling semula ke muka kita. Kalau tidak rasa gerun tak tahulah.
Urusan yang berkait dengan pemerintahan, kepimpinan atau dilihat secara mudah sebagai politik ialah urusan yang banyak sekali berlegar sekitar amanah. la bukanlah tugas yang mudah dan ringan, sehingga Rasulullah saw sendiri mengingatkan kepada sahabatnya, Abu Dzar Al Ghiffari: “Hai Abu Dzar! Sesungguhnya kamu adalah seorang yang lemah, dan jabatan itu sesungguhnya suatu amanah, kamu tidak kuat memikulnya kecuali bagi orang yang menjawatnya dengan penuh rasa tanggungjawab dan sanggup menunaikan segala kewajipan yang dipukulnya.” (Hadis Riwayat Tarmidzi).
Akan tetapi ada gamaknya ustaz yang lebih baik daripada Abu Dzar al Ghiffri sahabat Nabi itu di zaman ini. Sebab itu mereka semua tersengih-sengih menerima kerja menjaga GLC. Kalau tidak rasa gerun tak tahulah.
Lawan amanah adalah khianat. Janganlah lupa yang khianat itu satu trend sekarang ini. Lagi khianat lagi bergaya. Malah lagi khianat terasa lagi Melayu dan Islam. Khianat ini ialah memperlakukan amanat yang dikehendaki syarak, baik dengan jalan mengingkarinya, dengan jalan mengurangkannya atau dengan jalan bermudah-mudah dalam memeliharanya sehingga apa yang diamanahkan itu rosak atau terbengkalai. Kalau tidak rasa gerun tak tahulah.
Selain itu ada pula pengertian yang hampir seerti dengannya seperti ghadar iaitu merosakkan janji, ghisysyi atau melahirkan yang tidak sebenar dan khadie'ah iaitu tipu daya, bahkan mempengaruhi seseorang ke jalan kebinasaan dengan rayuan. Sengaja kita petikkan kata-kata Arab itu supaya setara dengan kata tabayyun, dan khalas. Kalau rasa bahasa Arab itu lebih bersyurga. Jadi ambillah kata ghadar, ghisysyi dan khadie’ah ini. Bolehlah bersipongang dalam gegendang telinga. Kalau tidak rasa gerun tak tahulah.
Pengkhianatan dalam amanah kepimpinan adalah sesuatu yang membawa implikasi sangat buruk. Sabda Rasulullah SAW yang bererti. “Orang yang paling dahsyat menerima seksa di hari Kiamat ialah penguasa yang curang.”(Hadis Riwayat Imam Baihaqi). Tetapi ada pemimpin kita tidak rasa apa-apa kalaupun curang. Khianat itu macam biasa. Hendak-hendak kalau yang dia khianat itu Cina, dia tidak rasa mengkhianat Cina itu akan menyebabkan dia dibakar api neraka. Sebab dalam kepala dia, dia dikhatan; sedangkan Cina itu tidak. Ustaz penjaga GLC pun lupa soal curang, soal hadis atau soal Kiamat. Kalau tidak rasa gerun tak tahulah.
Sikap bermuka-muka ahli politik
Ada sekali dahulu almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat menyelar sikap bermuka-muka ahli politik dan memanggil mereka ‘terompah kayu’. Guru kita, Shahnon Ahmad namanya, beliau sangat bersetuju dengan gelar ‘terompah kayu’ yang diberikan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu. Lagi-lagi kalau diberi kepada para ulama dan ustaz. Lagi-lagi kalau mereka itu hipokrit dan bacul. Kalau diberi kata bacul pun tidak rasa gerun dan malu kita tidak tahu apa lagi yang boleh kita katakan. Kalau tidak rasa gerun tak tahulah.
Jadi, Shahnon Ahmad pun seingat kita mentafsir panjang lebar analogi ‘terompah kayu’ itu. Apa yang Shahnon tuliskan dalam tahun 1995? Ada kita simpan lagi. Karang Shahnon begini, kita petik dari kolum beliau ‘Sasterawan Negara Shahnon Ahmad Menulis’ dengan tajuk ‘Watak Si Terompah’, di majalah Tamadun:
‘la jenis manusia yang rela membongkok dan menghulurkan belakangnya untuk ditunggang-langgang asalkan ada ganjaran kemudian. Atau rela menunduk kepalanya untuk dipijak dan dilanyak habis-habisan asalkan ada habuan kemudiannya. Atau menyerah apa saja yang ada padanya tanpa memikirkan status harga diri dan martabat maruahnya untuk dijadikan perkakas bagi keuntungan orang lain’. Itulah, kalau tidak rasa gerun tak tahulah.
Kemudian lagi Shahnon memperli ‘terompah kayu’ ini. Kata arwah Cikgu: ‘Tujuan terompah di sini benar-benar sebagai perkakas semata-mata; perkakas untuk kesenangan sementara agar kaki si pemakai tidak kotor.’ Aduh, kalau tidak rasa gerun tak tahulah.
Tidak cukup itu, Shahnon menghuraikan kisah sedih ‘terompah kayu’ ini. Nukilan Shahnon saya kutip di sini; ‘Memang amat hodoh dan cukup pedih bagi yang terlibat dalam perwatakan jenis terompah begini kerana asosiasi terompah dengan manusia jenis ini cukup tepat sekali. Mungkin lima tahun akan datang akan tiba lagi selera baru memakai terompah. Tetapi pada waktu itu, terompah baru akan digunakan pula. Dan berdasarkan perkembangan mutakhir ini memang banyaklah yang setia menjadi si terompah dalam erti kata terompah yang benar-benar terompah.’ Cis, kalau tidak rasa gerun tak tahulah.
Shahnon juga, pada tahun 1995 itu begitu anti dengan politikus yang berubah-ubah pendirian. Beliau menyebutkan; ‘Memang soal berubah sikap dan strategi perjuangan adalah perkara biasa dalam politik tetapi biarlah perubahan sikap dan strategi itu memperlihatkan kematangan kita berpolitik; bukan kebudak-budakan dan bukan yang bertujuan hanya untuk kepentingan diri dari aspek kebendaan semata-mata’. Kata kuncinya benda. Jadi hamba benda. Kalau tidak rasa gerun tak tahulah.
Kalau Shahnon Ahmad masih hidup dan melihat pemimpin-pemimpin parti yang pernah disokong dan diwakilinya hari ini; mungkin gamaknya arwah akan rasa kesal. Atau mungkin gerun. Sebab rasuah sudah tidak jadi apa. Dapat jaga GLC sebagai tukaran kesetiaan itu apa? Kalau tidak rasa gerun tak tahulah.
Dunia memang akhir zaman
Sebabnya kita berani mengatakan Shahnon akan berasa gerun, ini kerana beliau pernah menyatakan dalam bukunya ‘Corat-coret Berkelongsong’ perihal gejala rasuah ini. Menurut beliau, rasuah menjadi-jadi berleluasa kerana masyarakat yang tidak diberi pimpinan dari sudut agama dan akhlak telah meracau sifat dan jiwanya.Tetapi bayangkan sekarang, yang patut memimpin dengan agama dan akhlak itu yang terhegeh-hegeh menadah jawatan GLC. Kalau tidak rasa gerun tak tahulah.
Kita bagai ternampak Shahnon bangkit dari pusara dan membacakan perenggan ini dari buku beliau itu; ‘Jenayah pengurusan yang meliputi penipuan, rasuah, penyelewengan, pecah amanah, pembaziran benda dan wang ringgit, yang melahirkan manusia yang tamak haloba, tak beramanah dan tak bertanggungjawab, tidak ada rasa malu kepada diri sendiri, tak ada perasaan bersalah sedikit pun, mementingkan diri sendiri dan sanak saudara dan kelompok sendiri, cintakan dunia melampaui batasan, cintakan harta dan kuasa yang berlebihan adalah berpunca dari manusia yang hanya mengakui dirinya sebagai unsur benda, unsur jasmaniah, unsur alam syahadah atau unsur fizika inilah. Manusia itu menafikan atau meminggirkan unsur penciptaannya yang satu lagi yang lebih kudus, suci dan mulia, iaitu unsur alam ghaib, unsur metafizika, unsur rohaniah ataupun unsur ketuhanan’.
Seperti kata kita tadi, bayangkan kalau yang patut membimbingkan kita umat ini, iaitu para ulama dan ustaz sudah terpalit dengan pengkhianatan, serta tidak rasa gerun dengan amanah. Malah bangga dapat mengkhianat kawan untuk mendapat setitik dua keuntungan dunia. Kalau tidak rasa gerun tak tahulah.
Dunia memang akhir zaman. Diberi jawatan GLC dianggap satu amanah padahal ia pembelian undi untuk kesetiaan. Berapa jumlah kerusi kesetiaan?
Dua. Rupa-rupanya dua. Dua biji terompah kayu. Sepasang.
Kalau tidak rasa gerun tak tahulah.
FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Tulisan ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai