Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Kuala Terengganu

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Sudah hampir tiga minggu saya berada di Kuala Terengganu dalam musim PKP atau PKPB. Nampak Kuala Terenganu biasa sahaja dengan ramai orang ke hulur ke hilir memenuhkan tempat-tempat beli-belah. Nampak kemeriahan di sebalik SOP yang mengawal pergerakan orang dalam kebebasan yang diberi.

Begitulah Kuala Terengganu, negeri yang indah dan penduduk yang mesra. Saya duduk memerhati keadaan di sekeliling. Banyak perkara yang sama sahaja kecuali pertuturan yang banyak menggunakan huruf “g”.

Bandar Kuala Terengganu selalunya aman dengan tidak banyak trafik yang berputaran dan berpusaran di sekeliling. Tidak hujan juga seperti petang hari-hari di Kelana Jaya. Bandarnya masih tidak tersusun seperti Kuala Lumpur dan Petaling Jaya dengan kepadatan yang ketara.

Saya pindah ke Kuala Terengganu pada 3 Mei untuk memegang jawatan karyawan tamu selama setahun, di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Gong Badak. Sebagai seorang penulis yang diamanahkan untuk menulis sebuah buku, berkaitan 40 tahun UniSZA ditubuhkan. Ia adalah pengalaman yang menggembirakan dan menguja untuk saya yang terkena strok hampir setahun setengah lalu dan menjadi OKU.

Saya berterima kasih kepada Naib Canselor UniSZA, Profesor Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan yang memberi peluang keemasan buat seorang OKU membuktikan keupayaan dalam melaksanakan tugas-tugas yang di beri. Tugasan ini adalah berat kerana 40 tahun mengkaji sejarah UniSZA dari awal hingga kini untuk melahirkan sebuah buku bersejarah.

Saya masih mencari bahan untuk buku ini di peringkat awal. Saya telah mendapat bantuan penerbit UniSZA dari Dr Wan Hishamudin Wan Jusoh sebagai bertindak sebagai penulis bersama.

UniSZA mempunyai rekod pembelajaran yang gemilang di Terengganu sejak tahun 1980. Dengan penubuhan Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA) dan kemudian ditukar nama, Universiti Darul Iman pada 26 Mac 2005.

Sekali lagi ditukar nama kepada UniSZA pada 13 Mei 2010.

UniSZA mempunyai tiga kampus di Gong Badak, Perubatan Kuala Terengganu dan Besut. UniSZA Gong Badak memfokuskan kepada pengajaran dan penyelidikan ilmu-ilmu Islam yang diharmonikan dengan ilmu-ilmu konvensional.

Manakala Perubatan menawarkan program dalam bidang kesihatan bersekutu dan kampus Besut dibangunkan dengan niche dalam bidang pertanian seperti bioteknologi.

Begitulah serba sedikit UniSZA yang pengajar seramai 623, pelajar prasiswazah seramai 9,887 orang, siswazah tempatan seramai 877 orang dan siswazah antarabangsa seramai 950 orang. Ada seramai 46 OKU yang belajar di UniSZA.

Ramai tak percaya pada OKU

Ramai tidak percaya kepada OKU amnya, ini adalah perkara biasa kedapatan di mana-mana. OKU mempunyai kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan yang sesuai dengan kebolehan dan kepakaran yang di miliki.

OKU dikatakan 10 peratus dari jumlah penduduk seluruh negara. Ini boleh dikatakan ramai dan memerlukan sokongan dan dorongan yang sewajarnya. Bukan sekadar tidak peduli dengan nasib mereka yang mengalami pelbagai kecacatan. OKU selalu terbiar tanpa bantuan.

Saya tidak menyalahkan sesiapa sebaiknya mengajar saya erti perjuangan yang sebenarnya. Biarlah apa orang kata dan mengejek, saya tidak kisah tentang itu. Orang boleh bercakap apa sahaja dan untuk OKU membuktikan bahawa pekerjaan ini adalah layak untuknya dan lebih dari itu.

Untuk pindah ke Kuala Terengganu dengan kehidupan yang selesa di SS7, Kelana Jaya tidak mengambil masa untuk saya dan isteri. Kami terus bersetuju serta-merta untuk pindah dengan membawa persalinan yang cukup. Tanpa bekalan untuk menyewa kerana kami memilih rumah sewa yang serba lengkap perabutnya.

Di SS7, Kelana Jaya sudah stabil dengan komuniti yang sangat aktif. Saya menjadi setiausaha Koyakin dan berpeluang mengikuti pelbagai program di bawah koperasi yang memberi dividen setelah tiga tahun. Koperasi mempunyai kedai runcit, bisnes pemasangan rumah, gunting rambut, kembara dan bermacam lagi. Diharapkan komuniti terus berjaya dan berhasil dengan usaha ini.

Saya ditawarkan daripada bulan Mac tetapi oleh kerana PKP telah tertunda kepada Mei. Saya datang untuk interviu bertemu lima orang.

Antara soalan berapakah gaji saya sebagai CEO di Dubai. Saya tergelak kerana UniSZA tidak akan dapat membayar sebanyak itu. Saya telah menerima gaji yang banyak dan itu perkara lalu. Saya menerima berapa sahaja gaji untuk membuktikan saya berdaya bersaing dengan orang bukan OKU.

Kebetulan Prof Dr Kamarul Shukri Mat Teh adalah kawan satu batch yang menjadi timbalan naib canselor. Beliau adalah pembahas terbaik dan juara Piala Sultan Ahmad Shah, Pahang yang saya turut serta dapat tempat ketiga di zaman sekolah dahulu. Saya menjadi pemidato terbaik dalam bahagian syarahan. Ini menggembirakan kerana pertemuan itu sungguh penting kerana kami bersama pernah menduduki Kursus Inggeris Insentif di ITM Shah Alam. Dia pergi ke Australia dan saya ke New Zealand. Sudah hampir 38 tahun tidak bertemu.

Saya mula menulis sewaktu di darjah enam untuk Utusan Pelajar. Di mana waktu itu Pak Matlob menjadi pengemudi. Saya tidak ingat berapa kali telah tersiar kerana masa yang sudah lama berlalu. Tetapi ialah adalah permulaan yang baik dan memberangsangkan untuk anak kampung seperti saya.

Ayah saya adalah tok kadi yang mengajar saya tulisan Jawi sejak usia empat tahun. Saya membaca Utusan Melayu, Dian dan semua buku Jawi sejak itu. Saya banyak membaca kerana tiada apa di kampung saya, Kuala Rompin selain bermain dengan kawan-kawan.

E-mel dari Azizi Abdullah

Saya menulis cerpen, puisi dan artikel untuk semua penerbitan yang ada di Malaysia serta di luar negara. Sudah beratus yang di tulis dan tersiar. Dengan memenangi lima Hadiah Sastera Perdana Malaysia, sembilan kali Hadiah Sastera Utusan dan lain-lain hadiah sastera membuktikan bakat saya telah diterima oleh masyarakat seluruh negara.

Saya tidak mempunyai ramai rakan penulis mungkin disebabkan untuk tinggal di Riyadh dan Dubai selama 18 tahun yang lalu. Ada juga penulis yang menghantar e-mel, misalnya arwah Azizi Abdullah yang menyatakan minat terhadap penulisan saya. Saya amat berbesar hati menerima penghargaan.

Dengan kemampuan saya untuk menulis semula sebaiknya setelah lupa dan lumpuh serta cacat dari strok, saya akan membuktikan saya masih tetap berupaya mencetuskan pembaharuan. Saya mempunyai banyak idea-idea baharu.

Saya buat masa ini mengikuti pengajian sarjana dalam program Halal di Inhart, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Ia membuka minda saya pada ilmu terutamanya serta pergaulan dengan mahasiswa dan siswazah.

Antara idea saya ialah perniagaan Halal sebagai konsultan untuk UniSZA yang terkenal sebagai pusat pengajian Islam di Pantai Timur. UniSZA perlu bertindak untuk memajukan bidang halal hingga peringkat antarabangsa.

Sebelum ini, setelah strok saya membaca 160 naskah buku untuk mendapatkan semula rentak dan susunan pemahaman yang saya miliki. Bukan mudah setelah kosong ingatan hingga isteri sendiri pun lupa keujudannya. Perlahan untuk mendapat semula walau berjalan masih senget dan tidak stabil. Saya tetap mencuba dan kini telah berjaya untuk pulih ingatan.

Saya juga terus menulis untuk Malaysiakini dengan kisah lalu untuk mengingati kembali peristiwa yang terjadi. Terima kasih saya kepada Malaysiakini yang terus sudi untuk menyiarkannya.

Dengan pengharapan baru dan ekspektasi yang tinggi dari UniSZA, saya akan bekerja keras di samping melahirkan lima buah buku sendiri. Selain buku-buku mengenai Terengganu yang masih belum ditulis. Banyak sejarah dan pusaka besar Terengganu yang masih belum dibukukan.

Saya berharap dengan Karyawan Tamu di UniSZA akan membuka lembaran baru terhadap seorang OKU dan membuka mata ramai orang terhadap OKU di seluruh Malaysia!


MOHD FUDZAIL MOHD NOR pernah bermastautin di UAE. Pernah bekerja di TV3, menjadi usahawan serta pengarah beberapa syarikat antarabangsa. Beliau juga penulis prolifik dengan sembilan judul buku dan pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.