Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Menjadi masyhur

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

“In the future, everyone will be world famous for fifteen minutes”

Menurut pendapat popular, kata-kata itu diucapkan oleh pelukis pop terkenal, Andy Warhol, namun terdapat bebagai versi tentang bagaimana kata-kata ini mula diucapkan.

Ada yang mengatakan bahawa ia adalah kata-kata yang diucapkan oleh kurator seni yang terkenal di Eropah, Pontus Hulten. Jurufoto ternama Nat Finkelstein pula mendakwa bahawa beliaulah orang pertama yang mengucapkan kata-kata itu kepada Warhol.

Walaupun banyak pertikaian mengenai siapa sebenarnya pengucap asal kata-kata yang mula dirakam sekitar 1968 itu, kebenaran mengenainya terserlah mutakhir ini.

Apa yang tidak diketahui oleh Warhol dan teman-temannya adalah betapa dengan kemasyhuran 15 minit itu juga akan datang pendapatan yang lumayan.

Hari ini siapa saja boleh jadi terkenal. Ada yang untuk 15 minit dan tidak kurang juga yang kekal untuk lebih lama.

Kalau dulu, hanya orang ternama dan terkenal yang mendapat siaran atau liputan di media, khususnya TV, namun hari ini semua orang mempunyai peluang yang sama.

Semuanya terserah kepada diri sendiri, sama ada mahu mempamerkan kehidupan peribadi kita kepada orang banyak atau tidak.

Kerja menilai makanan

Kejayaan pasangan Sugu Pravitra sebagai seorang YouTuber membuka mata orang ramai bahawa untuk menjadi terkenal tidak memerlukan sesuatu yang ajaib.

Dengan menjadi diri sendiri dan mempamerkan kehidupan sebenar sahaja pasangan itu meraih puluhan ribu ringgit hasil daripada video-video masakan yang mereka hasilkan.

Manakala rakan mereka yang menamakan siaran video YouTube sebagai Kakak Sri Di Sini pula hanya menceritakan hal keluarga dan rumah tangga dengan sekali-sekala memasak juga mendapat perhatian ramai.

Keduanya - yakni keluarga Kak Sri dan Sugu - tinggal jauh di estet kelapa sawit dan keluarga itu tidak memaksa penonton mereka dengan pengisian yang indah-indah.

Apa yang mereka ada, itulah yang mereka persembahkan. Rezeki mereka dilihat bertambah bilamana penonton senang dengan ketelusan menjalani hidup itulah yang dipamerkan.

Begitu juga dengan Beby Tora yang membuat penilaian tentang makanan. Si Beby itu - jika kita berkata jujur - adalah sedikit gelojoh cara makannya. Namun seperti kedua YouTuber diatas, beliau juga menjadi diri sendiri.

Jika dilihat daripada jumlah penonton setiap videonya yang berjumlah ratusan ribu itu, penonton hari ini berbeza selera mereka berbanding generasi waktu dahulu.

Durasi satu-satu video juga memainkan peranan. Penonton hari ini mempunyai daya ingatan yang pendek lalu setiap video yang ditayangkan hendaknya tidak melebih 30 minit.

Masa sesuai untuk berniaga

Selain orang perseorangan, terdapat juga kumpulan profesional yang beralih ke YouTube. Dan yang paling memberangsangkan adalah apabila sebuah kampung di Bangladesh kini dikenali sebagai Kampung YouTube.

Di sana, seluruh kampung terlibat menerbitkan sekurang-kurangnya empat video sebulan.

Selain video penyediaan makanan dalam skala besar rangkaian YouTube AroundMeBD juga memperkenalkan cara hidup masyarakat tempatan kepada dunia dengan cara yang agak jujur.

Semua orang berpeluang untuk menjadi terkenal sekarang. Dan dari situ terbukalah peluang untuk menghasilkan pendapatan. Ini adalah realiti zaman dalam talian.

Justeru waktu wabak ini, ia juga merupakan waktu yang teramat sesuai untuk menjalankan apa juga perniagaan.

Siapa sangka kita akan membeli sekilo bawang atau membeli ikan hanya melalui pesanan dalam talian, misalnya. Kurang 10 tahun dulu, perkara begini tidak dapat kita bayangkan.

Bahkan kini - jika kita mahu terbuka dalam berfikiran - terdapat perkhidmatan mendoakan kesejahteraan hidup dunia akhirat oleh orang yang dikatakan tahu hal-hal agama.

Perkhidmatan doa dalam sembahyang tahajud dengan tajaan pada Ramadan telah dimulakan baru-baru ini dan ianya kelihatan mendapat sambutan hangat.

Yang malang sedikit cuma perkhidmatan ini dimulakan agak terlewat yakni di hujung-hujung bulan yang mulia tadi. Setakat kami tahu buat masa ini hanya terdapat seorang pengamal agama yang melakukannya.

Beliau tentu saja terbeban. Jadi untuk masa akan datang adalah dicadangkan supaya lebih ramai lagi pengamal agama yang tampil untuk menawarkan perkhidmatan doa tahajud pada bulan puasa.

Perkara ini seharusnya diambil berat oleh beliau sendiri yakni bersedia untuk merekrut lebih ramai penolong pembaca doa. 

Juga wajib menjadi perhatian kepada pengamal agama yang lain untuk bersiap menjadikan kerja berdoa dengan tajaan pada malam Ramadan ini sebagai salah satu jalan menuju sorga Tuhan.


ABDULLAHJONES mengucapkan selamat hari raya, maaf zahir dan batin kepada semua pembaca.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.