Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Tunjukkan Islam baik

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

KOLUM | Saya kadang kala rasa takut tambah gerun apabila dengar ada sebilangan orang agama tertentu yang bermain politik sehingga sanggup menuduh orang yang tidak sealiran politik dengan mereka sebagai ahli neraka. 

Di Malaysia, malah di negara-negara lain juga, amalan sebegini bukan hanya dalam soal perbezaan pandangan politik. Perbezaan aliran mazhab pun agak menakutkan juga.

Bagi mereka yang suka mengambil mudah perkara ini, saya mengajak kita bersama-sama memikirkan perkara berikut:

Pertama, kelayakan menentukan syurga atau neraka terhadap mana-mana individu bukan milik kita, tetapi Tuhan yang empunya syurga dan neraka. Bimbang jika di saat kita menuduh orang lain sebagai ahli neraka, tiba-tiba Allah tidak menentukan kita sebagai ahli syurga – wal ‘iyazubillah.

Kedua, Kita bukan Nabi yang mempunyai darjat maksum. Apabila tidak ada darjat itu, kita sendiri pun tidak pasti apakah kita akan ke syurga. Apa yang kita boleh lakukan adalah sentiasa berharap agar dikurniakan syurga oleh Allah.

Ketiga, amat ramai manusia sangat baik dalam kehidupannya. Namun, saat kematian menjenguk dia tidak terpilih sebagai orang bertakwa. Dalam kitab tafsir, sering diselit kisah Bal’am bin Ba’ura’ - seorang ahli ibadah yang mati dalam keadaan kufur. Kita wajar mengambil pengajaran daripada kisah ini.

Oleh sebab itu, apabila saya membaca pelbagai takrifan takwa yang dikemukakan oleh ramai ulama, takrifan yang dekat dengan jiwa saya adalah "berhati-hati dalam menjalani kehidupan di dunia, seperti ketika berjalan di dalam bilik gelap yang dipenuhi dengan duri".

Apabila kita berhati-hati dalam menjalani kehidupan di dunia, kita tidak mudah untuk menuduh orang yang berbeza parti dengan kita sebagai ahli neraka. Kita juga tidak mudah menganggap hanya orang yang semazhab dengan kita layak masuk syurga.

Apabila kita berhati-hati, sudah pasti kita ada kebimbangan untuk menuduh orang lain sebagai ahli neraka, kerana entah-entah dia akan menjadi ahli syurga, dan kita pula ahli neraka. Wal 'Iyazubillah.

Bukan Islam masuk Syurga

Saya pernah membaca tulisan ulama-ulama muktabar zaman silam berkenaan dengan isu orang bukan Islam masuk syurga. Selain al-Imam Ibn al-Qayyim, ulama terkenal bernama al-Imam Al-Ghazali merupakan antara ulama muktabar yang pernah menulis tentang perkara ini - melalui sebuah buku nipis yang bertajuk Faisal al-Tafriqah Bain al-Islam wa al-Zandaqah.

Dalam buku tersebut, Imam al-Ghazali menjelaskan bahawa terdapat juga orang bukan Islam yang masuk syurga. Komentar beliau diulang bahas oleh Rashid Ridha dalam karya tafsir Quran bertajuk al-Manar.

Rashid Ridha menyatakan ada orang bukan Islam yang tidak tahu tentang agama Islam disebabkan tidak ada pendakwah yang menyampaikan kepada mereka. Pada beliau, orang bukan Islam seperti ini diberikan keuzuran dari Tuhan - dia masuk syurga.

Beliau turut membahaskan bahawa ada orang bukan Islam yang tahu tentang Islam dalam wajah yang salah. Beliau juga menyimpulkan orang bukan Islam seperti ini turut diberikan keuzuran dari Allah - masuk syurga.

Islam wajah perkauman

Pernahkah kita fikir bahawa di negara kita ini antara salah faham terhadap wajah Islam ialah anggapan bahawa memeluk agama Islam bermaksud "masuk Melayu".

Kita perlu sedar, Islam adalah agama yang tidak boleh disamakan dengan Yahudi. Jika agama Yahudi bersifat eksklusif - agama yang berkaitan dengan Bani Israel sahaja - Islam pula berbeza; ia agama untuk semua manusia dan tidak dibataskan untuk kaum tertentu. Nabi Muhammad pernah berkata: "Aku diutuskan untuk semua manusia".

Walaupun berbangsa Arab, Nabi Muhammad tidak diutuskan untuk golongan itu sahaja. Semua kaum - tidak kira Melayu, Cina, India, Arab, kadazan, Iban, Yahudi, atau apa sekalipun - adalah umat Nabi Muhammad.

Oleh sebab itu, amat tidak wajar apabila agama Islam diberi kaitan perkauman. Tindakan mengangkat Islam atas wajah Melayu pastinya melahirkan tanggapan tidak baik kepada sudut pandang masyarakat selain Melayu terhadap agama ini.

Dengan amat ramai yang percaya bahawa memeluk agama Islam adalah bermaksud "masuk Melayu", ia secara tidak langsung mengaburkan lagi sudut pandang mereka terhadap Islam.

Masuk syurga dengan rahmat

Dalam sahih al-Bukhari, ada dinyatakan satu hadis - Nabi Muhammad bersabda: seorang itu tidak masuk ke dalam syurga dengan sebab amalannya.

Memandangkan amalan Nabi Muhammad begitu hebat dan banyak, Aisyah bertanya kepada nabi: Apakah perkara yang sama berlaku kepada baginda juga?

Baginda menjawab, bahawa soal masuk syurga bukan dengan sebab amalan itu, termasuk juga dirinya. Menurut penjelasan Nabi, seorang itu masuk syurga dengan rahmat dan keampunan daripada Tuhan. (Hadis 6467)

Kita perlu sedar bahawa rahmat dan keampunan hanya datang daripada Tuhan. Tuhan boleh memberi rahmat dan keampunan kepada siapa yang dimahukan-Nya dan boleh membenci dan tidak mengampunkan dosa siapa saja yang dimahukan-Nya.

Semata-mata memeluk agama Islam tetapi terus terjebak dalam amalan rasuah, pengkhianatan, memburukkan imej agama di hadapan orang bukan Islam, sentiasa mengeluarkan kenyataan yang mencetuskan permusuhan, melakukan penindasan dan kezaliman; tiada jaminan bahawa seorang Muslim itu mendapat rahmat dan kasih sayang dari Allah. 

Apatah lagi, segala kejahatan yang disebutkan di atas amat dibenci oleh Allah.

Tidak dinafikan, memang ramai ulama berkata bahawa Muslim yang melakukan kejahatan diberi ruang untuk bertaubat. Tetapi perlu diingat, soal penerimaan taubat tidak berada di tangan ulama terbabit, tetapi di tangan Tuhan yang Maha Berkuasa.

Persoalannya, apakah Tuhan akan menerima taubat pelaku rasuah dan penzalim yang semasa melakukan dosa itu, dia berkata: “Hari ini kita makan rasuah, esok nak mati nanti kita bertaubatlah”.

Bukankah ini sudah amat jelas seperti mahu menipu Tuhan yang Maha Mengetahui?

Kalau menipu manusia adalah haram, sudah pasti lebih haram apabila mereka menipu Allah yang Maha Mengetahui.

Tidak boleh dinafikan bahawa ada orang bukan Islam yang selalu melakukan kebaikan tetapi kekal tidak Islam kerana mereka tidak mengetahui hakikat sebenar ajarannya, ataupun terkabur daripada ajaran yang sebenar akubat sikap yang ditunjukkan oleh ulama dan orang Islam sendiri.

Pengetahuan Allah jauh lebih hebat berbanding pengetahuan manusia. Apakah mustahil untuk Allah melimpahkan rahmat dan kasih sayang-Nya kepada mereka? Rahmat Allah meliputi segala-galanya.

Sentiasa melakukan kebaikan

Negara kita akan jadi baik jika semua warganya melakukan kebaikan. Orang Islam tidak boleh berharap bahawa orang Islam sahaja baik. Kita juga perlu berharap agar orang bukan Islam turut melakukan perkara yang sama. Apabila ada orang bukan Islam melakukan kebaikan, kita perlu akui kebaikan mereka.

Pada masa sama, orang Islam wajar malu kepada orang bukan Islam jika mereka tidak melakukan kebaikan. Orang Islam perlu lebih bencikan rasuah dan khianat berbanding orang bukan Islam.

Penganut agama Islam perlu ingat tanggungjawab untuk melakukan kebaikan dan tidak terjebak dalam rasuah, pengkhianatan dan tindakan zalim. Jika tidak kebaikan, dibimbangi Tuhan membenci dan tidak memberikan rahmat-Nya kepada mereka. Ini pastinya berbahaya untuk kehidupan di akhirat kelak.

Seorang beragama Islam tidak boleh mendabik dada dengan angkuh dengan berkata mereka adalah ahli syurga, dibimbangi keangkuhan sebegitu menjadikan dia dijauhkan daripada rahmat-Nya.

Apa yang perlu dilakukan setiap orang Islam adalah melakukan kebaikan setulus hati agar mendapat rahmat dan kasih sayang Tuhan, dan seterusnya dianugerahkan syurga.

Soal orang bukan Islam ke syurga atau tidak ditentukan oleh Allah, itu bukan urusan kita. Serahkan perkara itu kepada Allah yang merupakan pemilik syurga dan neraka.

Tugas kita sebagai orang Islam adalah berusaha membuktikan kebenaran dan kebaikan agama ini kepada mereka, agar mereka datang kepada Islam; atau paling tidak pun, mengatakan islam adalah agama yang baik.


WAN JI WAN HUSSIN ialah pendakwah dan pengarah akademik Saudara Research Centre.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.