Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Sudah tiba masanya kita ke arah sistem semi-demokrasi - Isma

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Saya yakin ketika ini rakyat secara amnya sudah mual dengan keadaan politik dan mainan orang-orang politik. Tidak habis-habis siang dan malam kita dihidang dengan pelbagai berita jatuh-menjatuh, lompat-melompat, rasuah-merasuah dan sebagainya. Seolah-olah di sana tidak ada penghujung. Saya amat yakin ketika saya menulis ini pun pemimpin-pemimpin politik sedang memikirkan bagaimana untuk mendapat kuasa dan menjatuhkan lawan. Tidak kurang juga yang sudah merancang untuk membolot sebanyak mungkin habuan yang terhidang di hadapan, sama ada yang nampak atau yang belum nampak. Kita tidak pasti bilakah masa mereka ini benar-benar memikirkan soal rakyat walaupun mereka ini digelar sebagai wakil rakyat.

Lebih pelik lagi apabila yang sudah lanjut usia masih menggila merebut jawatan, yang sudah beberapa kali kalah masih mendambakan kuasa manakala yang dah pernah pegang jawatan-jawatan tinggi kerajaan masih tak berhenti berpolitik. Bagi mereka, soal maruah, soal agama, soal bangsa sudah tidak membawa apa-apa erti. Itu semua hanya dijadikan bahan dagangan ketika mahu mendapat undi dan demi kuasa. Jadi sebab itulah sehingga hari ini semua hak Melayu dan Islam sudah banyak tergadai. Hubungan antara kaum semakin menipis, ekonomi semakin meruncing, pengangguran semakin melebar, sungai semakin tercemar, hutan simpan semakin pupus, sumber makanan terpaksa bergantung kepada dunia luar dan banyak lagi. Masih adakah pemimpin politik yang benar-benar memikirkan semua ini demi rakyat?

Rakyat terus miskin dan hilang sumber pendapatan tetapi pernahkan saudara bertemu dengan pemimpin politik hari ini yang hidup miskin? Kalau tidak percaya, pergilah lihat rumah-rumah mereka, kereta yang mereka naiki, baju yang mereka pakai. Kemungkinan semuanya dibeli dari luar negara dengan jenama-jenama yang sangat mewah.

Bagi saya, ekosistem politik hari ini benar-benar telah menghancurkan negara. Versi demokrasi yang diceduk dari Barat ini tidak lagi relevan di negara Timur. Di sana perlu ada adjustment untuk disesuaikan dengan konteks setempat. Amerika sendiri yang dikatakan ‘bapa demokrasi’ atau negara demokrasi contoh kini sedang menuju ke lembah kehancuran. Demokrasi yang berdasarkan kapitalis terbukti mengundang kemusnahan dalam sistem sosial negara. Ramai juga yang mula melihat sistem sosialis China sebagai alternatif tetapi bagi saya, ia juga gagal membangunkan tamadun manusia seperti apa yang telah berlaku di Rusia satu ketika dahulu.

Kita bertuah kerana memiliki institusi raja-raja yang mempunyai kuasa yang sangat besar, yang selama ini tidak ramai yang nampak dan faham. Apa yang berlaku kepada negara baru-baru ini telah membuktikan bagaimana peranan institusi ini berjaya mengawal keadaan dan berjaya mengelakkan huru-hara daripada berlaku. Kerakusan orang politik berjaya dibendung oleh kebijaksanaan (wisdom) raja. Dari segi sejarah pun, sistem demokrasi yang ada kini hanya baru berjalan selama 60 tahun lebih walhal sistem beraja sudah wujud ratusan tahun. Sudah sampai masanya untuk rakyat memikirkan kembali sistem pentadbiran negara dan peranan institusi raja supaya diperkasakan lagi.

Ada yang mencadangkan untuk melaksanakan kembali Majlis Gerakan Negara (Mageran) supaya pemerintah diberi masa untuk memperbetulkan segala keadaan kucar-kacir pentadbiran dan politik negara. Saya tidak menolak ini sebagai satu alternatif yang boleh dilakukan. Tetapi saya ingin mencadangkan sistem semi-demokrasi di mana selain dari jawatan perdana menteri, semua jawatan-jawatan menteri dan GLC tidak dipegang oleh mana-mana wakil rakyat tetapi oleh teknokrat dan penjawat awam.

Ini bukan suatu yang asing kerana sekarang pun sistem yang hampir seperti ini berjalan dengan pelantikan senator Dewan Negara. Ia mungkin boleh dikembangkan lagi kerana bilangan lantikan senator adalah terhad. Melalui sistem ini, ahli-ahli politik tidak lagi berebut untuk menjadi menteri tetapi sebaliknya khusus untuk menjaga kebajikan rakyat. Saya harap perkara ini dapat diwacanakan dan dibahaskan supaya idea ini dapat dikembangkan dan dipermatangkan demi masa depan negara yang lebih cerah dan stabil.


AMINUDDIN YAHAYA ialah presiden Isma.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.