Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Bermanja-manja, bermesra-mesra

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Dewasa ini beberapa nama timangan atau panggilan manja digunakan untuk merujuk kepada para menteri. Malah perdana menteri sendiri menggunakan gelaran seperti abah, pak long, Ayoh Chik dan pak su sehingga gelaran rasmi mereka 'diketepikan.'

Gelaran seperti Tan Sri, Datuk Seri, Datuk Wira, Datuk dan sebagainya itu semua dianugerah oleh Yang di-Pertuan Agong atau sultan-sultan.

Namun saya percaya ini bukan bererti golongan yang mengilhamkan panggilan manja itu bertindak biadab terhahap raja-raja. Begitu juga orang yang mengambil nama-nama itu apabila merujuk kepada para menteri.

Adapun menteri yang diberi nama-nama manja itu tersenyum saja apabila dipanggil dengan gelaran sedemikian.

Saya yakin mereka tidak biadab. Bukan juga mereka tidak menghargai anugerah yang diberi raja-raja Melayu.

Jadi mengapa panggilan manja ini timbul? Pemerhati politik percaya ia sekadar strategi untuk meningkat imej orang politik khususnya menteri supaya dilihat lebih mesra kepada rakyat.

Dan sasaran strategi ini ialah orang Melayu khususnya. Ia tidaklah memeranjatkan kerana orang Melayu merupakan bangsa majoriti di negara ini dan sokongan mereka amat penting terutamanya apabila datangnya pilihan raya.

Tapi tentu kita masih ingat dulu pun panggilan seperti ini digunakan oleh dan untuk orang politik. Contohnya, Che Det untuk Dr Mahathir Mohamad. Atau Ayah Chik sebagai panggilan manja buat Abdul Hadi Awang.

Dan yang boleh dianggap paling popular ialah Pak Lah untuk bekas perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi.

Dikenang hingga akhir hayat

Bagaimanapun panggilan itu wujud atau digunakan sejak sekian lama iaitu sebelum mereka memegang jawatan tinggi dan menjadi terkenal.

Bagi Che Det and Ayah Chik, panggilan itu digunakan dalam kalangan orang tertentu khususnya di negeri asal masing masing iaitu Kedah dan Terengganu. Ia tidak menyeluruh.

Hanya panggilan Pak Lah kekal digunakan merata-rata sehingga hari ini oleh hampir setiap lapisan masyarakat.

Aktivis media Ahmad Lutfi Othman masih ingat dulu "Umno Kelantan juga pernah mendakwa gelaran Tok Guru pada Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat selepas jadi menteri besar hanyalah strategi politik. Tapi rakyat menerimanya dengan senang hati."

Kawan-kawan saya orang Kelantan kerap memberitahu bahawa Allahyarham Nik Aziz dikenali sebagai Tok Guru lama sebelum beliau memegang jawatan menteri besar.

Lantas allahyarham lebih terkenal dengan panggilan Tok guru berbanding Datuk menteri besar sehingga ke akhir hayatnya.

Berbalik kepada strategi politik masa kini. Panggilan mesra buat perdana menteri dan menterinya timbul secara tiba-tiba sejak kebelakangan ini.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dulu dikenali sebagai Abang Din dalam kalangan orang Umno. Umno memang gemar memberi panggilan manja kepada pemimpin mereka.

Ada matlamat sendiri

Rafidah Aziz pula dipanggil Kak Dah, Shahrizat Jalil menjadi Kak Jat manakala Mohamad Hasan digelar Tok Mat. Semasa Anwar Ibrahim dalam Umno beliau dipanggil penyokongnya sebagai Pak Sheikh.

Sekarang Muhyiddin dipanggil Abah Din - panggilan yang diuar-uarkan seantero negara. Bukan hanya dalam Bersatu atau pun Umno.

Muhyiddin bukan Abang Din lagi tapi Abah Din. Mungkin faktor usia? Dulu agak muda bolehlah dipanggil abang. Sekarang usia beliau sudah 70-an maka Abah lebih sesuai?

Pun begitu ada pemerhati politik (saya akui termasuk saya) melihat panggilan Abah ialah untuk memberikan Muhyiddin imej seorang ayah yang sayang atau mengambil berat terhadap anak-anaknya iaitu rakyat jelata. A fatherly figure who cares for his people, gamaknya.

Begitu juga panggilan lain - pak long, pak ngah, pak su dan sebagainya - untuk anggota jemaah menteri Muhyiddin. Semua ada matlamatnya tersendiri.

Tak perlulah saya sebut siapa dipanggil apa kerana rasanya semua sudah maklum.

“Mereka mahu kau panggil mereka bapak. Jadi bila mereka buat salah takkan anak anak nak tegur bapak," kata wartawan veteran Zin Mahmud.

Dan "apabila ahli politik dah dianggap sanak-saudara, nak tegur atau kritik pun jadi susah. Bebaslah pak pak hang buat salah. Ini semua taktik nak menghalalkan kesalahan," kata Zin lagi.

Tidak dinafikan ada logik apa yang beliau katakan ini.

Perlu diingat Zin pernah suatu ketika dulu menyandang jawatan pengarang kanan akhbar milik Umno, Utusan Malaysia, yang dianggap ramai sebagai akhbar “pakar propaganda” Umno/BN.

Bagi Lutfi, panggilan Abah atau gelaran keluarga kepada perdana menteri dan menteri-menteri lain "takkan bawa ke mana-mana” kerana rakyat boleh menilai prestasi sebenar perdana menteri.

"Dulu Pak Lah panggilan lebih jujur dan lama sebelum Abdullah Ahmad Badawi menjadi perdana menteri lagi," kata Lutfi, "tapi akhirnya ditolak rakyat juga pada 2008. Imej baik dan bersih Pak Lah tidak dapat menyelamatkannya.

"Strategik politik boleh saja dipromosikan mana-mana pemimpin dengan apa jua pendekatan termasuk panggilan manja seperti Abah dan lain lain tapi akhirnya yang mempengaruhi rakyat ialah rekod kerja bukan propaganda murahan."

Jika saya boleh menambah, selain rekod kerja, faktor lain juga mempengaruhi, temasuk bebas rasuah, adil, telus serta berpegang teguh kepada kedaulatan undang undang (rule of law).


MOHSIN ABDULLAH ialah seorang wartawan tua yang menulis mengenai itu dan ini, di sana dan di sini.

Tulisan ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.