Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Perangai 'nenot' Melayu

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Saya insaf. Rupa-rupanya keinginan Melayu kita nenet-nenet sahaja. Melayu kita sangat sederhana. Anak-anak Melayu pergi ke sekolah (dapat nombor berapa-berapa pun tak mengapa). Sembahyang berjemaah Subuh-Subuh sapie, naik haji dan kucup Hajarul Aswad. Kalau ada orang sedekah Melayu 50 ringgit Melayu akan rasa srikandi sangat. Melayu akan senyum; cukup serba-serbi dapat bayar bil letrik (secara ansuran pun sudah syukur sangat). Bonuslah, kalau Tok Guru datang khabarkan, yang Ah Leong jual cat Jotun di pekan, dan nyonya Mei Fong beli getah sekerap nanti masuk neraka. Rasa patriot sangat. Keinginan Melayu kita sangat sederhana. Nenet-nenet sahaja.

Akan tetapi dua tiga bulan ini, anak-anak Melayu tidak lagi ke sekolah. Melayu sudah tidak boleh sembahyang jemaah, ditakut-takutkan bahawa tangan orang yang dijamah lepas memberi salam itu ada kuman tenggiling, atau kelawar. Ini semua kerja Cina. Salah Cina. Tetapi kenapa pula Kaabah ditutup setahun kalau Cina punya angkara?

Argh, janji bil letrik dapat diskaun 20 ringgit. Melayu lega. Paling penting, ustaz Hadi kata Cina, macam mana baik sekalipun - tetap - masuk neraka. Melayu, macam mana iblis sekalipun - tetap - masuk syurga. Di syurga Melayu bayangkan dapat jamah bidadari. Harap-harap di syurga Covid-19 tak ada.

Memang kesian jugalah Edmund, doktor yang merawat Melayu. Dia baik. Melayu ada kurap. Dr Edmund yang rawat. Tetapi itulah, dia tetap akan kena rebus dalam neraka. Bukan neraka, tapi nuraka. Pakai huruf U, rasa macam dalam dan panas sedikit api itu. Padan muka Ah Leong. Padan muka Mei Fong. Duduklah sekali dengan Dr Edmund kena jerang.

Keinginan Melayu itu memang nanat-nenot sahaja. Mudah-mudah sahaja. Kalau ada orang yang dakwa-dakwi kenal Melayu itu berani duduk tekun satu dua jam membaca cerpen-cerpen arwah Keris Mas; dia akan menemui macam-macam pesan dan teguran tentang perangai Melayu.

Perangai yang nenot-nanat.

Nenot pertama kata Keris Mas, seperti diutarakan dalam cerpen ‘Sumpah Seorang Peon’ adalah perangai terbuntut oleh feudalisme. Itu memang Melayu macam kena sampuk. Tulis Sasterawan Negara Keris Mas dalam cerpen itu:

“Ia tidak mengetahui bahawa di dalam roh dan jiwa orang-orang besar Melayu sekarang masih melekat tebal faham lama, faham kebangsawanan dan kebesaran yang mendewa-dewakan darah keturunan serta pangkat kemuliaan. Datuk Setia memang akan meningkat naik semakin lama semakin tinggi dengan menggunakan rakyat jelata sebagai tangganya. Tetapi dia sendiri sebagai seorang peon, orang kebanyakan yang miskin dan sengsara akan tetap tinggal peon dengan kemiskinannya dan kesengsaraannya, tinggal rendah dan hina dalam pemandangan orang besar-besar.”

Tadah tengkuk

Nah, inilah Melayu, meskipun peon, sangatlah dia berbahagia kalau ada Melayu datang memijak kepalanya. Malah bukan setakat bahagia, dia tadah pula tengkuk dengan rasa bangga. Bila Melayu yang memijak itu menghinjaknya di atas dia pula inzal lain macam.

Nenot kedua kata Keris Mas, seperti dijelmakan dalam cerpen ‘Menjelang Merdeka’ lebih parah. Allahyarham menyesali perangai Melayu yang tidak nampak benda salah sebagai salah. Sebagaimana hari ini, perangai khianat dan korup misalnya kalau dilekatkan dengan Islam maka yang salah itu jadi betul. Kalau boleh dilabel Korup Islami, Melayu akan maafkan. Jikalau Rasuah boleh dinamakan Rasuah Tabayyun, Melayu akan klimaks. Seandainya penggubahan wang haram dikaitkan dengan Melayu, macam Pak Su, maka Melayu akan lekas sendu.

Apabila kita berusaha membetulkan Melayu pesen srikandi ini agar senonoh, agar rajin dan tidak malas, supaya nampak yang rasuah itu batil; Melayu akan membina naratif dan perasan sendiri bahawa kononnya itu semua diada-adakan untuk menjatuhkan Melayu. Atau kerana Cina tidak senang dengan Melayu. Atau lebih dahsyat, tak mengapa Melayu berbuat korup - kerana itu Melayu. Keris Mas menulis kan begini dalam cerpen ‘Menjelang Merdeka’:

Mereka hidup dalam suatu alam fikiran yang mempunyai tafsiran sendiri bahawa salah dan betul, keadilan dan kezaliman, kebenaran dan kepalsuan hanyalah anggapan umum yang diada-adakan; dipersetujui dan dipertahankan oleh masyarakat manusia untuk kepentingan dan kesenangan masing-masing atau dipaksakan untuk kepentingan yang terkuat.’”

Perihal Melayu tidak bekerja kuat (baca: malas) ditegur oleh Keris Mas; “Apakah ertinya merdeka bagi orang kampung dan orang kota, bagi kaum tani, nelayan dan kaum buruh, kalau mereka tidak mahu bekerja kuat. Nampaknya orang kaya juga yang akan bertambah kaya dan orang besar juga yang akan bertambah besar, kemerdekaan tidak membawa erti pada kehidupan.

Hal nenot pertama dan kedua di atas sangat berangkai. Kalau sentiasa menyerah diri kepada feudalisme dan tidak peduli diri ditindas, ditambah dengan malas dan tidak berdaya-juang makanya tiada apa-apa erti kemerdekaan; bahkan tiada apa erti apa perubahan atau reformasi sekalipun.

Ini kerana pengisian perubahan atau reformasi tidak boleh sederhana, tidak pula boleh berserah, apatah lagi tidak boleh pula malas. Jika itu terus berlaku, Keris Mas memesan secara pahit dalam cerpen ‘Menjual Tanahair’:

Kita akan hancur luluh, bapak,’ kata Amir perlahan-lahan, ‘Kerana tenaga dan kekuasaan harta benda dan kemegahan menghimpit keras di atas batu kepala kita, bukan saja sekarang, tetapi bapak tentulah banyak mengetahui sejak zaman-zaman yang telah lalu, nasib golongan besar rakyat jelata yang sengsara seperti kita ini senantiasa menjadi permainan segolongan kecil orang-orang yang berkuasa, yang besar dan yang katanya bertanggungjawab kepada keselamatan semua bangsa Melayu?

Terkena dengan bangsa sendiri

Itulah sebab Melayu selalu kena, dan terkena dengan bangsa sendiri.

Keinginan Melayu rupanya sederhana. Agar ada Melayu lain dapat jadi pemimpin, dan berjaya. Tidak apalah kalau Melayu yang jadi pemimpin dan bergaya itu tidak pun mempedulikannya nanti. Atau lepas berjaya menindas dia. Tengok Melayu jadi YB dan jadi Menteri, Melayu lekas puas hati. Kalau yang naik itu Cina atau India, Melayu sakit hati. Nanat sungguh.

Padahal politik Melayu itu lumpur. Melayu nenot tidak baca karya sastera agung. Mereka baca karya sastera yang nanat. Ada sebuah novel Allahyarham S. Othman Kelantan judulnya ‘Wajah Seorang Wanita’ (1990) di mana watak seorang guru bernama Ahmad berhasrat untuk menyertai politik, iaitu bertanding sebagai Yang Berhormat.

Niat Ahmad itu dihalang oleh ibunya, Siti Musalmah. Pesan Musalmah, atau sebetulnya pesan pengarang itu sendiri begini:

Berpunca daripada Wakil rakyat UMNO di Kelantan pada zaman awal itu telah wujud skandal dengan wanita sehingga ada Wakil Rakyat yang dipukul atau kena kejar dalam rumah. Ada pula Wakil Rakyat yang merasa besar kepala sehingga tidak tahu lagi siapa yang sebenarnya memenangkan mereka.”

Biasakan jumpa pemimpin besar kepala?

Jadi kerana ibunya berasa UMNO itu buruk, Ahmad berjinak-jinak dengan parti PAS. Ini kerana latar novel karangan Sasterawan Negara Syed Othman itu bertempat di Kelantan. Pun di saat Ahmad ingin menyertai politik secara langsung, ibunya masih melihat politik itu keruh, meskipun Ahmad memilih parti yang membawa imej Islam, iaitu PAS.

Kata Siti Musalmah, atau setepatnya pengarang novel ini:

Wakil Rakyat itu gah namanya. Sebagaimana gah namanya itu, gah juga soal-soal kejahatan lainnya. Cik mendengar banyak sekali penyelewengan Wakil Rakyat terhadap harta kerajaan dan amanahnya dengan rakyat. Mad pun tahu itu. Cik tidak suka Mad hidup dalam lumpur rasuah, penyelewengan dan ria takbur. Cik harap Mad berfikir panjang.

Jadi, sebetulnya, baik apa pun wadah Melayu; guna lumpur bangsa atau guna lumpur agama tetaplah lumpur. Lumpur ini lampir. Rupa-rupanya keinginan Melayu kita nenet-nenet sahaja. Melayu kita sangat sederhana. Sebab itu Melayu selalu kena tipu, dan selalu dikhianati. Tambah-tambah senang ditipu kalau menggunakan naratif abah-bapak-ayahanda-tok ayah.

Hancur luluh Melayu. Senang-senang dibodoh.

Akibat dari perangai yang nenot-nanat.


FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tulisan ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.